NGO Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) bertegas untuk mengadakan perhimpunan pada 11 Oktober di KLCC walau Presiden Amerika Syarikat Barack Obama menangguhkan kunjungannya ke Kuala Lumpur.
Dalam satu kenyataan hari ini, SAMM menegaskankan perhimpunan bagi membantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), memandangkan ketiadaan Obama tidak bermakna perjanjian tersebut tidak akan dimaterai.

Menurut pengasas SAMM, Badrul Hisham Saharin, badan tersebut akan mengadakan pertemuan dengan NGO dan parti politik tertentu, esok bagi membuat persiapan untuk mobilisasi peserta untuk demonstrasi 11 Oktober.

Kumpulan itu juga mengadakan pengumuman berhubung demonstrasi berkenaan pada hari Jumaat, katanya.

“Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) tetap menggesa agar wakil Obama iaitu Setiausaha negara John Kerry perlu 'disambut' oleh rakyat Malaysia dengan simbol-simbol penolakkan.

“Tidak kira siapa pun wakil Amerika Syarikat yang datang ke Malaysia,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan bahawa Obama menangguhkan lawatannya ke Malaysia pada bulan ini berikutan krisis penutupan sebahagian operasi pentadbiran di negara itu.

Menurutnya, Obama tetap berhasrat untuk melawat Malaysia pada satu tarikh lain.

Najib juga berkata, krisis yang dihadapi AS pada masa ini juga tiada kaitan dengan TPPA.