Laporan siasatan awal berhubung kejadian siling runtuh di ruang temu bual Pusat Saringan Pesakit (PAC) Hospital Serdang awal pagi ini diserah kepada Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan.

Pengarah Hospital Serdang Datuk Dr Ardi Awang, dalam satu kenyataan, menyebut kawasan siling runtuh dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu melibatkan keluasan 8 kaki x 12 kaki persegi.

Beliau berkata ketika kejadian, terdapat lapan pesakit dan enam petugas di kawasan sekitar.

Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dan perkhidmatan di PAC masih berjalan seperti biasa, katanya.

"Siasatan awal telah dijalankan dan laporan lengkap telah diberi kepada pihak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Kementerian Kesihatan untuk tindakan selanjutnya," katanya.

- Bernama