Jabatan Insolvensi Malaysia kini dalam proses untuk meminda Akta Kebankrapan 1967, kata Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Nancy Shukri.

Beliau berkata cadangan pindaan itu berkaitan usaha memudahkan mendapat pelepasan kebankrapan dan memperkenalkan peruntukan alternatif kepada pemiutang untuk mendapat semula hutang.

Katanya lagi, cadangan itu berasaskan kepada kerangka perundangan insolvensi seperti "individual voluntary arrangement" dan "debt repayment scheme".

"Bagi peruntukan pelepasan, antara peruntukan yang dicadangkan adalah pelepasan automatik selepas kes ditadbir dalam suatu tempoh masa tertentu.

"Draf Rang Undang-undang Kebankrapan ini telah pun dibawa kepada perhatian pihak Jabatan Peguam Negara dan sesi perbincangan sedang dijalankan," katanya.

Beliau menjawab soalan Teresa Kok (DAP-Siputeh) berhubung jumlah individu yang muflis yang disenarai hitam dan dilarang keluar negara serta sama ada kerajaan bercadang untuk meminda undang-undang untuk mengeluarkan individu keluar dari kemuflisan.

Dalam jawapan bertulisnya juga, Nancy juga berkata berdasarkan rekod Jabatan Insolvensi Malaysia sebanyak 246,357 individu yang disytiharkan bankrap secara automatik tertakluk kepada subseksyen 38(1)(c) akta itu.

Subseksyen itu melarang individu yang diisytihar bankrap untuk keluar negara melainkan telah dibenarkan oleh ketua pengarah insolvenso Malaysia.