Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria semalam melahirkan keyakinan terhadap kewibawaan adjudikator di Malaysia yang terlatih dan sedia memikul tanggungjawab masing-masing.

Beliau berkata adalah penting untuk mereka menjalankan tanggungjawab masing-masing dengan penuh bermaruah, terhormat, berintegriti dan mengamalkan tahap profesionalisme yang tinggi memandangkan mereka memikul tanggungjawab berat.

"Anda kini merupakan sebahagian daripada mekanisme penyelesaian pertikaian. Satu mekanisme, yang meskipun belum teruji di negara ini, namun menjanjikan pelbagai kehebatan," katanya dalam ucapan pelancaran Persatuan Adjudikator Malaysia (MSA) di ibu negara malam tadi, anjuran Pusat Timbang Tara Serantau Kuala Lumpur (KLRCA).

Ucapan beliau dibacakan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Ahmad Maarof.

Arifin juga berkata Akta Bayaran dan Adjudikasi Industri Pembinaan 2012 (CIPAA) akan mempunyai kesan terhadap perjalanan industri pembinaan dan semua pihak berharap ia mampu menangani sebarang kekusutan.

Beliau berkata akta itu bertujuan memudahkan aliran tunai dalam industri berkenaan serta memastikan keadilan yang pantas, dan ini hanya boleh berlaku jika semua dinamik yang terbabit dalam proses berkenaan sudah bersedia.

Arifin berkata pelancaran MSA juga penting untuk tujuan ini kerana terdapat keperluan untuk satu badan yang mengawal adjudikator dan memastikan mereka menjalankan tugas masing-masing pada tahap profesionalisme yang tinggi.

Beliau juga berkata adjudikator perlu mengikuti perkembangan semasa undang-undang, justeru, MSA mempunyai peranan penting dalam mengekal serta mempertingkat pengetahuan anggotanya.

"Begitu juga dengan hakim, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP) ditugaskan melatih mereka dan saya melihat MSA memainkan peranan serupa dalam menyediakan latihan yang sistematik, relevan serta progresif kepada adjudikator," katanya.

-Bernama