Kerajaan menyasarkan untuk membangunkan dan meningkatkan ekonomi di 39 kampung di seluruh negara di bawah Program Kampung Abad Ke-21.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata usaha itu akan dilaksanakan melalui pembangunan koperasi di bawah Program Desa Lestari selama dua tahun, bermula 2014.

Bercirikan kampung abad ke-21, beliau berkata keseluruhan petempatan itu akan dimajukan dengan kemudahan perkhidmatan Internet tanpa wayar (Wifi), namun mengekalkan ciri-ciri perkampungan tradisional dan keindahan alam semula jadi.

"Walaupun telah diiktiraf sebagai kampung moden tetapi nilai-nilai ketradisionalan kampung tersebut masih dikekalkan.

"Selain untuk membangunkan ekonomi, ia juga bertujuan menghalang migrasi belia ke luar bandar," katanya pada majlis perjumpaan dan taklimat kementerian itu bersama Majlis Ahli Parlimen Barisan Nasional Malaysia (BNBCC), di Kuala Lumpur malam ini.

Selain itu, Mohd Shafie berkata kementeriannya juga menyasarkan untuk melatih 39 usahawan belia bagi meningkatkan industri luar bandar melalui pertandingan rancangan perniagaan luar bandar (RBC).

"Kementerian juga akan membangunkan sebanyak 15 buah ladang buah-buahan dan sayuran berskala besar dengan kerjasama sektor swasta," katanya.

Bagi memperkasa belia luar bandar pula, beliau berkata kementerian juga akan memperkasa keupayaan golongan belia luar bandar dalam semua sektor pekerjaan.

Terdapat 2.3 juta daripada 3.4 juta belia luar bandar mempunyai pekerjaan tetap.

Hadir sama Pengerusi BNBBC, Tan Sri Shahrir Samad.

- Bernama