PAS hari ini berkata jumlah keseluruhan peruntukan kerajaan persekutuan dan negeri kepada penduduk di Kuala Besut setakat semalam mencecahkan RM377.45 juta dalam bentuk projek pembangunan sempena kempen pilihan raya kecil DUN itu.

Jumlah itu diperolehi daripada pengumuman yang dibuat kepimpinan negara dan negeri Terengganu dan ia dilaporkan dalam media arus perdana dan alternatif.

Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat Dr Hatta Ramli berkata peruntukkan yang didakwanya berbentuk "janji dan sogokan" itu mengesahkan lagi dakwaan mereka berhubung isu yang dibangkitkan oleh mereka sebelum ini sepanjang kempen pilihan raya.

Sebagai contoh projek mendalamkan Sungai Besut yang diluluskan sebanyak RM250 juta dan penambahbaikan empangan di Pengkalan Nangka berjumlah RM35juta.

"Jika pilihan raya kecil ini tidak ada, tidak adalah apa-apa yang akan berlaku dan berterusan akan dikesampingan di Kuala Besut.

"Perancangan ad-hoc dan penyelesaian krisis seperti ini ternyata bukanlah melalui peruntukan belanjawan yang dibuat oleh kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan," katanya dalam sidang media pagi ini.

Sehubungan itu, Dr Hatta mempersoalkan dari sumber mana yang digunakan oleh BN yang mengumumkan peruntukan tersebut kepada rakyat di Kuala Besut sempena kempen pilihan raya kecil itu.

"Adakah perbelanjaan daripada kerajaan persekutuan, atau menggunakan dana khusus atau daripada royalti rakyat Terengganu?" katanya sambil menambah beliau tidak sempat membuat perbandingan sama ada jumlah tersebut adalah tertinggi berbanding pilihan raya kecil yang lain.

"Jelas serangan kita mereka tidak dalam membalasnya tetapi 'membalasnya' (dengan peruntukan) untuk rakyat. Sebab itu kita mahu 16:16 untuk supaya mereka tidak boleh membuat sesuka hati," katanya.

Dr Hatta yang juga ahli parlimen Kuala Krai berkata adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk mendedahkan 'kelemahan' pentadbiran sehingga apa yang mereka dedahkan mendapat reaksi daripada kerajaan pusat atau negeri.

Dalam sidang media juga, Dr Hatta turut mengedarkan senarai "peruntukan dan habuan" yang dilaporkan oleh media arus perdana termasuk menaiktaraf Masjid Haji Ishal, Kampung Dengir sebanyak RM343,000; projek pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Alor Peroi, Tok Saboh RM28 juta.

Bercakap selepas sidang media itu, Dr Dzulkefli mendakwa peruntukan itu menunjukkan BN terdesak untuk meraih sokongan, dan mahu menutup kelemahan calon BN Tengku Zaihan Che Ku Abdul Rahman yang didakwanya "ada kaitan" dengan masalah yang berlaku.

"Dan isu empangan, isu muara sungai cetek, semuanya ada kaitan dengan calon. Di mana katanya cemerlang. Mana kerja buat dia. Mereka mahu cover-up segala kelemahan calon sebab dia jurutera daerah. Jangan lari daripada perkara ini," katanya.