Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.4.08

MTUC sokong, MEF anggap CUEPACS kurang matang

KUALA LUMPUR 3 April - Kerajaan perlu menimbang dan membuat keputusan positif terhadap kesemua tuntutan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) sebagai tanda menghormati sumbangan dan bakti kakitangan dalam sektor awam.

Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) Syed Shahir Syed Mohamud berkata, jika kerajaan mengiktiraf sumbangan kakitangan awam dengan mengadakan Hari Pekerja maka adalah wajar juga menimbangkan tuntutan CUEPACS yang dilakukan untuk kebajikan pekerja.
Menurutnya, MTUC akan menyokong segala usaha dan keputusan yang diambil oleh CUEPACS jika tuntutan mereka itu munasabah dan adil untuk kebajikan pekerja.

Syed Shahir menegaskan, pemimpin CUEPACS sudah tentu berbincang dan menimbangkan kesemua tuntutan mereka dengan panjang lebar dan inginkan tindak balas dan keputusan yang positif daripada kerajaan.

“Kerajaan sebagai majikan terbesar di negara perlulah memberi jawapan yang positif terhadap tuntutan CUEPACS itu sebagai mengiktiraf dan menghormati mereka sebagai kakitangan awam,” jelasnya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Syed Shahir berkata demikian sebagai reaksi kepada ancaman CUEPACS yang akan memboikot dua sambutan Hari Pekerja Mei depan jika lima tuntutan mereka tidak dipenuhi kerajaan.
Sehubungan beliau berkata, MTUC akan menyokong tuntutan-tuntutan yang dibuat oleh pihak pekerja sama ada dari sektor swasta dan awam demi keadilan dan kebajikan pekerja.

Sementara itu Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menyifatkan tindakan CUEPACS memboikot sambutan Hari Pekerja Mei ini sebagai kurang matang.

Pengarah Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan berkata, sambutan Hari Pekerja itu diadakan sebagai meraikan sumbangan pekerja kepada negara, maka itu tidak patut acara itu diboikot.
Menurut beliau, jika CUEPACS tidak puas hati mereka masih boleh bertemu dan berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN).

‘‘Tidak semestinya semua tuntutan akan diterima dan dilaksana oleh kerajaan tetapi saya yakin mereka (kerajaan) tidak menolak untuk mendengar dan membincangkan mengenai lima tuntutan CUEPACS itu,’’ jelasnya.