Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.4.08

Abdullah minta Guan Eng hati-hati buat kenyataan

ABDULLAH Ahmad Badawi menyambut Lim Guan Eng yang mengunjungi beliau di pejabatnya di Putrajaya, semalam.

PUTRAJAYA 3 April – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng supaya berhati-hati dalam membuat kenyataan kerana pemimpin DAP itu kini adalah ketua sebuah kerajaan negeri.

“Beliau tak seharusnya cuba meraih populariti,” kata Perdana Menteri kepada Bernama selepas pertemuan selama 30 minit dengan Guan Eng, yang juga Setiausaha Agung DAP di pejabatnya di sini.

Abdullah berkata: “Saya memberitahu beliau yang kita sedang mengawasi dengan teliti apa yang sedang berlaku di Pulau Pinang. Saya nasihatkan beliau bahawa beliau kini menerajui sebuah kerajaan negeri dan beliau seharusnya berhati-hati ketika membuat kenyataan.”

Merujuk kepada kenyataan Guan Eng baru-baru ini mengenai Dasar Ekonomi Baru (DEB), Perdana Menteri berkata, Guan Eng tidak sepatutnya membuat kenyataan tidak berasas yang mengaitkan dasar itu dengan rasuah.

Abdullah berkata, beliau tidak dapat menerima kenyataan liar seperti itu kerana ia boleh mencetuskan kemarahan dan salah faham yang sukar dibendung.

Mengenai sistem tender terbuka yang dicadangkan oleh Guan Eng, Abdullah berkata, ia mungkin tidak adil kepada golongan yang kurang berkemampuan.

Perdana Menteri berkata, proses tender hendaklah saksama.

Guan Eng pula memberitahu pemberita selepas pertemuan itu bahawa Kerajaan Pusat memberi jaminan semua projek utama di Pulau Pinang, termasuk jambatan kedua akan berjalan mengikut jadual.

“Semua pihak yang terlibat berharap jambatan itu akan siap mengikut jadual pada 1 Jan 2011,” katanya.

Guan Eng berkata, kerajaan Pulau Pinang akan berusaha sedaya upaya untuk memastikan projek itu tidak menghadapi sebarang masalah.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Pusat tidak akan membiayai pembinaan jambatan itu dengan menggunakan dana Petronas.

“Saya membuat cadangan, jika tidak sepenuhnya, sekurang-kurang sebahagian (guna dana Petronas), tetapi beliau (Perdana Menteri) berkata itu tidak mungkin.

“Walaupun saya berpendapat Petronas boleh membiayainya, beliau memberitahu saya bahawa disebabkan oleh subsidi dan komitmen lain, itu tidak mungkin pada masa ini walaupun mereka inginkannya,” kata Guan Eng.

Beliau berkata, Perdana Menteri memberi jaminan bahawa projek itu tidak akan menghadapi sebarang masalah.

Pada pertemuan itu, Guan Eng turut menyerahkan surat menyenaraikan beberapa cadangan bagi kemajuan Pulau Pinang.

“Kita juga meminta agar peruntukan kepada Pulau Pinang daripada Kerajaan Pusat dinaikkan ke jumlah asal,” katanya merujuk kepada peruntukan yang berkurangan kepada Pulau Pinang tahun lepas.

Guan Eng berkata bahawa pada pertemuan itu, mereka membincangkan bukan saja projek akan datang tetapi juga “perkara-perkara yang lepas”.

Guan Eng berkata, beliau telah membangkitkan beberapa isu politik tetapi “saya tidak mahu menyebutnya di sini.”

“Mengenai Dasar Ekonomi Baru, kami bertukar-tukar pendapat dan penjelasan mengenai apa yang telah disebut dan apa yang tidak disebut. Ada perkara didakwa disebut oleh saya yang saya tidak sebut tetapi ada perkara yang saya sebut tidak disiarkan langsung.

“Tetapi yang penting ialah kami akur dengan situasi baru politik. Beliau adalah PM bagi negara ini dan saya mewakili penduduk Pulau Pinang,” katanya.

Guan Eng juga berkata, kerajaan Pulau Pinang inginkan hubungan yang baik dengan Kerajaan Pusat supaya semua projek pembangunan yang dirancang dapat diteruskan demi manfaat rakyat.

“Rakyat telah membuat keputusan untuk menyokong kerajaan baru di Pulau Pinang dan juga menyokong Kerajaan Pusat. Adalah perlu bahawa kami masing-masing menjalankan mandat yang diberikan untuk meneruskan projek-projek yang telah ditetapkan,” katanya.

Guan Eng juga berharap semua kementerian tidak akan mengamalkan sikap diskriminasi terhadap kerajaan Pulau Pinang walaupun ia kini ditadbir oleh pembangkang.
– Bernama