Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

7.2.09

Pengkhiatan kepada Pakatan Rakyat



SULTAN Perak Sultan Azlan Shah (tengah) dan Raja Muda Raja Dr Nazrin Shah (kiri) menerima menghadap Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelapang Hee Yit Foong di Istana Kinta di sini, semalam berikutan tindakannya keluar dari DAP dan memberi sokongan kepada Barisan Nasional (BN). Baginda turut menerima menghadap tiga lagi ADUN Pakatan Rakyat yang keluar dari parti masing-masing dan memberi sokongan kepada BN. Terdahulu, Sultan Azlan Shah menerima menghadap Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak yang juga Pengerusi BN Perak bagi mendapatkan perkenan baginda untuk BN mengambil alih pentadbiran kerajaan negeri

TranungKite

Serahkan kepada Rakyat



Dilulus terbit pada Saturday, February 07 @ 07:06:55 MYT oleh TokPenghulu


Oleh peluit

"Bagi Peluit, kekecuhan politik Perak tentunya lantaran masing-masing mahu membuktikan gahnya kuasa yang ada. Buat PR yang jelas masih berkuasa & mesra di hati rakyat; BN pula dengan pengaruh wangnya boleh meronakan suasana politik negara. Apa jadi pada pengundi jika ketua parti telah bertindak sendiri.



Lompat si katak lompat sebenarnya adalah laguan kanak-kanak. Bagi politik yang matang tidak seharusnya sikap keanak-anakan ini sampai merobohkan sesuatu empayar. Pastinya PR terkilan belum pun sampai setahun jagung memerintah Perak; lantaran kuasa politik wang yang dimainkan oleh parti lawan BN maka jadilah PR terpinggir.

Hakikatnya di hati rakyat sekali lagi Peluit ulangi telah jelas melalui Pilihanraya lalu PR berkuasa di Perak. Apakah dengan tindakan pemimpin politik kotor telah mencemar bersihnya demokrasi di Malaysia; Yup! semakin pudar demokrasi kita.

Tidak sehaluan dalam parti yang sama adalah lumrah politik. Baik BN atau PR perasaan tidak puas hati sememangnya ujud sejak azali dalam jiwa ahli atau kalangan ketua juga pemimpin. Tak rasional lantaran tidak sehaluan menjadikan sebuah parti itu berpecah. Peristiwa Mantan PM kita dengan DS Anwar sudah cukup mengajar kita tentang perpecahan orang Melayu, dalam BN & luar BN.

Perlu diingat; baik DAP, MIC mahupun MCA pasti mendapat laba biar parti mana memerintah. Tanah bangsa Melayu bagaimana kini. Bumi tempat kita lahir bagaimana kini jika politik Melayu semakin kalut.

Tanah Peluit di Perak yang statusnya Rezab Melayu juga ada yang terlepas ke bangsa asing semasa BN memerintah. Bila berbalah martabat bangsa kita bangsa Melayu yang patut kita fikirin; apakah akan jadi dengan tanah air kita yang permai ini. Perlu diingat. Kaum lain sering menangguk di air keruh jika politik Melayu mula pudar.

Kampung Peluit baru sahaja mendapat pembangunan dari kerajaan PR, bila PR kini mungkin telah hilang kuasa apa akan jadi projek mega PR di kampung Peluit.

Semua rakyat marhaen tidak mahu; lantaran Gajah bergaduh sesama Gajah, Pelanduk di tengah tersepit... terhimpit. Silap-silap pelanduk yang rata-ratanya rakyat marhaen Mati Katak.

Perak dilanda krisis politik apabila empat ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan Rakyat keluar parti dan menjadi Adun bebas.

Budibicara Sultan boleh dipertikaikan dalam krisis ini; ini mengingatkan kita tentang Hang Jebat & Hang Tuah. Pasti kalangan kita ramai memihak akan tindakan derhaka Hang Jebat. Apakah ini bakal terjadi di Perak?.

Dalam pergolakan politik Perak kini, yang jelas tindakan Datuk Najib campur tangan di negeri orang akan tambah membuatkan kepopularitinya semakin merundum, rata-rata rakyat marhaen akan merasakan tindakan Datuk Najib@BN ini melampau & gila kuasa. Sementelah hampir setahun kini PR memerintah Perak amat aman & tiada pun pergolakan besar; tapi kekinian lantaran mainan Ketua Politik yang boleh dipertikaikan kewibaannya ini semuanya jadi tak keruan; Apatah lagi semua tahu ada antara mereka yang mengamalkan politik lompat katak ini dalam siasatan korapsi. Di mana moralnya ceritera ini.

Tidakkah ini akan menampak politik kita kini amat kotor. Huh!

Perlulah diinggat PKR yang sering diserang; Tindakan pemimpinnya sering dipersoalkan; parti PR lain yang sering diaibkan media arus perdana tanpa dapat membela diri. Semua parti akan bertanding sekitar 3 ke 4 tahun lagi. Rakyat marhaen sentiasa memerhati. Dalam keadaan sekarang baik BN mahupun PR belum tentunya kuat jika terusan berbalahan. Terutama Umno & PAS. Seharusan jika sebuat parti yang matang; janganlah cuba terlibat dengan pergolakan politik yang besar & gempak. Yang boleh memakan diri. Takutnya nanti pengundi terutama bukan Melayu akan lari & mengunci ke parti lain yang bakal lebih popular. Apa akan jadi kepada kita oramg Melayu.

SPR seharusnya tidak memihak mana-mana parti perlu memantau sebaiknya kouta calon bertanding. Pastikan calon bertanding tidak sampai dimonopoli oleh bangsa asing yang bila-bila masa merancang merampas tanah air ini yang dulunya bernama Tanah Melayu.

Peluit : Mahu jadi pengundi kampung. Masih sayangkan kampung halaman.

6.2.09

Kecoh besar bantah MB baru Perak

Feb 6, 09 5:50pm
Suasana kecoh lebih sejam depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar angkara bantahan ribuan penyokong Pakatan Rakyat terhadap menteri besar baru Perak memaksa polis melepaskan gas pemedih berkali-kali.

Sebahagian daripada 3,000 penunjuk perasaan itu membaling batu ke arah kenderaan-kenderaan rasmi pemimpin BN yang menuju ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah Datuk Dr Zambry Abd Kadir.

Mereka juga berbaring di atas jalan, cuba menghalang kenderaan-kenderaan berkenaan.

Perhimpunan yang turut disertai penyokong wanita itu diadakan sejurus selepas solat Jumaat itu kira-kira 2.15 petang tadi dengan merempuh halangan polis di pintu depan luar kawasan masjid.

Mereka cuba berarak ke istana itu tetapi segera dihalang polis dengan melepaskan gas pemedih mata bagi kali pertama sehingga memaksa kumpulan penunjuk perasaan itu berundur ke kawasan masjid.

Suasana tidak menentu antara penyokong kerajaan pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin itu dengan polis memaksa pihak berwajib melepaskan lagi gas-gas pemedih mata sehingga kawasan itu diliputi asap tebal.

Kawasan perkarangan masjid dan kediaman-kediaman berdekatan tempat ibadat itu turut terkena sasaran tembakan gas pemedih mata.

Bagaimanapun tindakan polis itu gagal melemahkan semangat penyokong Pakatan Rakyat sehingga memaksa dua pemimpin PAS, termasuk pembantu Mohamad Nizar, menyeru mereka bersurai.

Kedua-duanya menyeru para penyokong Pakatan pada jam 3.30 petang dan setengah jam kemudian, termasuk dari atas kenderaan polis bagi meredakan baki 2,000 mereka yang kecewa dengan tindakan BN menumbangkan kerajaan campuran di Perak.

Beberapa ratus orang terus tinggal berdekatan masjid menunggu kenderaan-kenderaan rasmi itu melalui jalan tersebut selepas acara angkat sumpah yang selesai kira-kira 4.30 petang.

Mereka mengboo setiap kali kenderaan itu melepasi depan masjid sebagai lambang kemarahan luar biasa susulan drama mencemaskan peralihan kuasa di Perak kepada BN melalui lompat parti.

Malaysia Kini

Isu Politik Perak

: Ulasan Menarik Tentang Strategi Anwar Malukan Umno
Dikirim pada 4 Februari 2009 oleh dupahang


Satu analisis menarik yang dibuat oleh blogger Nuraflah tentang strategi licik Anwar. Betul atau salah boleh fikirkan!!!!!

DS Tajol Rosli pernah memberitahu, kerajaan Pakatan Rakyat di Perak akan tumbang sebelum 31 Ogos 2008. Seperti misi 916 Anwar, misi Tajol juga gagal. Biarpun kedua-kedua misi itu gagal disempurnakan mengikut tarikh yang telah ditetapkan, namun itu tidak bermakna yang kedua-dua misi itu telah ditamatkan

Dalam posting saya yang bertajuk “Patutkah Adun Bota Buat Begitu?” [di sini], memang saya tidak mahu mengulas sesuatu yang bersifat ‘khabar angin’. Oleh kerana khabar angin yang saya maksudkan itu sudah bertukar nyata, saya terpanggil untuk mengulasnya ‘sedikit’. Gerakan untuk menarik ADUN Pakatan Rakyat berhijrah ke BN sudah bermula sejak Nizar dilantik sebagai MB Perak yang baru.

Mulanya, Tajol memujuk PAS menyertai BN secara terbuka dan pada ketika itu, isu muzakarah UMNO-PAS sedang heboh diperkatakan oleh peminat politik. Oleh kerana PAS menolak untuk bersama UMNO dan memilih untuk kekal dalam Pakatan, maka UMNO terpaksa memikirkan strategi baru. Tajol diberikan kepercayaan untuk menyerang kerajaan Pakatan Perak dari dalam. Sasaran mereka adalah ADUN Pakatan yang tidak bersetuju dengan perlantikan Nizar (PAS) sebagai Menteri Besar.

Jika dilihat dari permukaan air, pemilihan Nizar sebagai MB seolah direstui oleh semua ADUN Pakatan. Akan tetapi, realiti sebenarnya bukanlah begitu. Terdapat beberapa ADUN DAP dan PKR yang tidak berpuas hati dengan perlantikan Nizar. Mereka mahu wakil PKR menjadi MB dan bukannya wakil PAS. Nizar sedar tentang perkara itu. Sebagai wakil PAS, Nizar cuba bersikap neutral biarpun terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah wakil PKR dan DAP.

Nizar terpaksa membelakangkan dulu prinsip perjuangan PAS untuk mendengar dan melaksanakan permintaan PKR dan DAP. Beliau berbuat begitu kerana mahu memastikan kerajaan Pakatan berada dalam keadaan stabil.Hasilnya, Nizar berjaya mengubah persepsi masyarakat Cina di Perak mengenai parti PAS. Jika sebelum ini mereka menganggap PAS sebagai parti ‘Islam Ortodok’, kini mereka mengganggap PAS sebagai parti yang jujur, ikhlas dan kuat beragama.

Perkara ini diluahkan sendiri oleh bapa saudara saya (bukan Melayu) yang tinggal di negeri Perak.Oleh kerana masyarakat bukan Melayu Perak semakin menyukai cara Nizar berkhidmat, beberapa ADUN DAP yang dulunya menentang perlantikan Nizar mula berlembut dan semakin menerima kepimpinan Nizar.

Bagaimanapun, tindakan Nizar mendahulukan perjuangan DAP dan PKR membuatkan dirinya dikritik hebat oleh masyarakat Melayu. Nizar dilabel sebagai pembelot bangsanya sendiri malah dituduh menderhaka kepada Rajanya. Dalam masa yang sama pula, 2 exco PKR gagal dalam ujian “BMW” iaitu “business, money & woman”. Kerana iman yang sangat lemah, mereka mudah diperangkap dan terperangkap.

Akibatnya, mereka diberkas SPRM (dulunya BPR) dan kestabilan kerajaan Pakatan kembali bergolak. Penyokong Melayu PKR dan PAS mula bertelagah sesama sendiri. Tajol Rosli nyata gembira dengan perkembangan ini. Untuk mengelakkan ‘perang mulut’ yang lebih parah, Nizar mengambil jalan tengah. Dia membela kedua-dua ADUN itu sehingga kedua-duanya diputuskan bersalah oleh pihak mahkamah.

Bila Nizar mengambil pendirian itu, penyokong PKR semakin menghormati Nizar dan penyokong PAS menerima pendirian itu sebagai sesuatu yang lojik dan patut disokong. Isu penahanan 2 exco itu lebih menjejaskan nama baik PKR daripada kerajaan Pakatan di Perak. Masyarakat mula menyamakan PKR sebagai ‘UMNO yang berkulit baru’. Untuk mengelakkan persepsi itu berterusan melemahkan imej PKR, Anwar cuba memancing ADUN UMNO untuk memulihkan semula imej PKR.

Usaha Anwar berjaya, Nasaruddin berjaya dipujuk dan keyakinan rakyat kepada PKR dapat dipulihkan. Strategi ini hanya dapat menjamin kedudukan kerajaan Pakatan Perak buat sementara waktu. Jika kedua-dua ADUN PKR didapati bersalah oleh mahkamah, kerajaan Pakatan masih mempunyai lebihan 1 kerusi. Keadaan ini tidak boleh dibiarkan berterusan. Pakatan perlu berbuat sesuatu untuk terus mengukuhkan kedudukannya. Dengan segala bukti yang ada (termasuk pengakuan melakukan hubungan seks), keputusan mahkamah sudah dapat dijangka.

Anwar mula mengatur strategi seterusnya. Beliau mahu 2 ADUN PKR itu berunding dengan UMNO. Untuk berunding, 2 ADUN itu perlukan ‘modal’ dan modal yang mereka gunakan, ada ADUN DAP yang mahu mengikut jejak mereka [di sini]. UMNO tentu tertarik untuk berunding kerana kerajaan Pakatan dapat ditumbangkan dengan mudah. Bagaimanapun, Tajol Rosli tidak setuju dengan kemasukan 2 ADUN itu. Jika UMNO menerima mereka, liabiliti yang ditanggung PKR akan berpindah pada UMNO. Biar apapun alasan yang diberikan UMNO nanti, UMNO akan dilabel sebagai parti yang melindungi pesalah dan natijah sebenarnya pada PRU ke 13 nanti.

Tajol mengambil keputusan untuk berundur. Tugasnya digantikan Najib dan Zahid. Sebagai anak didik Anwar, Zahid gagal membaca strategi Anwar. Zahid tidak sedar yang kedua ADUN PKR itu sudah menandatangani surat perletakan jawatan. Apa-apa sahaja tawaran balas yang Najib dan Zahid berikan pada 2 ADUN itu hanya akan menguntungkan ADUN PKR itu dan merugikan UMNO. Strategi ini akan melemahkan imej Najib sebagai pemimpin harapan UMNO dan BN. Jika tidak, Anwar takkan me’link’kan keputusan ‘undian’ yang dibuat blog The People’s Parliament dan tulisan Raja Petra yang telah diterjemahkan oleh Mat Saman Kati di blog peribadinya malam tadi.

Semua ini dilakukan untuk mengaburkan mata penganalisis politik mengenai apa yang sebenarnya berlaku. Malah media juga berjaya dipergunakan kerana berita kehilangan ADUN PKR dan ADUN DAP berjaya menghangatkan lagi pentas politik Malaysia. Lebih hebat lagi, penyokong UMNO dan BN yang sedang teruja menantikan perubahan kerajaan Perak akan bertambah hampa pada kepimpinan mereka. Bahkan, penyokong Pakatan pun turut terpedaya dengan strategi ini.

Yang sebenarnya, Anwar memang mahu mengadakan pilihanraya kecil untuk memalukan lagi UMNO dan BN. Lalu, tidak perlu dihairankan bila Jamaluddin menafikan surat perletakan jawatan yang sampai ke tangan Speaker Perak [di sini].

Anwar memang sudah bersedia untuk mengadakan pilihanraya kecil kerana peluang untuk Pakatan menang kini 60:40. Kemenangan dalam pilihanraya kecil itu nanti amat penting untuk projek seterusnya di Persiangan dan DUN Sarawak.

Kini kita sudah tahu, kenapa Anwar digelar pemimpin yang bijak di Asia dan kenapa Tun Razak memujuknya masuk ke dalam UMNO dan kenapa Mahathir lebih sayangkan Anwar daripada anaknya sendiri pada suatu ketika dahulu.Fikir-fikirkanlah.

Nur Aflah: Sebelum ini ada yang bertanya, kenapa Nasaruddin masuk PKR dan bukannya PAS? Jawapannya mudah. Pemimpin PAS tidak meminang Nasaruddin.

SOFI WAHAB

Pulih kestabilan tugas utama MB baru

Feb 6, 09 5:18pm
Menteri Besar Perak yang baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir berjanji untuk memberi keutamaan kepada usaha memulihkan kestabilan politik dan keharmonian di negeri itu dengan meningkatkan lagi hubungan antara kaum.

"Saya yakin dengan kematangan rakyat Perak, dan saya lihat mereka mampu mencapai satu peringkat persefahaman politik yang begitu baik berteraskan kehidupan rakyat pelbagai kaum," katanya di Kuala Kangsar.

Zambry, 47, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor, petang ini mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Perak ke-11 di hadapan Sultan Perak Sultan Azlan Shah di Istana Iskandariah di Kuala Kangsar, lapor Bernama.

Graduan bidang ekonomi, politik dan pemikiran Islam itu, berkata beliau yakin rakyat Perak sendiri ingin melihat suasana poltik yang stabil kerana jika ketidakstabilan politik berpanjangan, ianya tidak akan mendatangkan kebaikan kepada semua.

Zambry, anak kelahiran Pulau Pangkor yang menjadi anggota exco kerajaan negeri Perak selama satu penggal dari tahun 2004 hingga 2008, juga berkata dalam keadaan suasana politik apa sekalipun "dengan riuh rendahnya serta jatuh bangunnya, kita dapat mengawalnya bagi memastikan kestabilan wujud di negeri ini".

Mengenai keengganan kerajaan Pakatan Rakyat melepaskan kuasa walaupun telah dititahkan oleh Sultan Perak semalam, Zambry berkata:

"Saya yakin rakan-rakan saya di pihak pembangkang memahami asas Perlembagaan, termasuklah hal ehwal yang berkaitan kuasa untuk melantik MB, kuasa untuk membubarkan DUN terletak di bawah bidang kuasa Sultan."

Katanya beliau akan bersikap terbuka dan sedia mendengar teguran dan pandangan, dan akan meneruskan apa yang perlu dalam mentadbir negeri itu.

"Saya masih lagi seorang manusia biasa yang dipertanggungjawabkan dengan satu tugas besar untuk kembalikan keharmonian," katanya.

Malaysia Kini

Zahid: Kereta saya dibaling, ditendang

Feb 6, 09 5:36pm
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Zahid Hamidi percaya orang ramai yang berhimpun membantah pelantikan menteri besar baru, bukan daripada negeri Perak.

Sebaliknya, beliau yang timbalan pengerusi badan perhubungan Umno Perak, percaya mereka diimport dari negeri-negeri lain.

Ribuan orang penyokong Pakatan Rakyat berkumpul membantah pelantikan menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir selepas solat Jumaat di Masjid Ubudiah di Kuala Kangsar.

Masjid tersebut terletak kira-kira satu kilometer dari Istana Iskandariah - tempat berlangsungnya majlis angkat sumpah menteri besar yang baru.

"Kereta saya di baling batu, ditendang. Mereka berbaring di jalan seolah-olah di Timur Tengah dan Pakistan," katanya ketika ditemubual RTM.

"Adakah itu cara Islam dan orang beriman?" soalnya lagi

Menurutnya, mereka yang terbabit telah memberi gambaran yang buruk terhadap agama Islam.

'Raja saya dihina'

"Perkara itu amat memalukan dan tidak pernah berlaku di negeri Perak," katanya

"Saya percaya mereka bukan dari negeri Perak, tetapi diimport dari negeri-negeri lain.

"Saya sedih Raja saya dihina begitu.

"Kalau itu rakyat negeri Perak, itu adalah rakyat yang derhaka kepada Sultannya," tambahnya.

Mengulas mengenai pelantikan Dr Zambry sebagai menteri besar yang baru, Zahid berkata ianya sah mengikut undang-undang tubuh negeri Perak

"Ia telah diperkenankan oleh Tuanku dan ada sokongan majoriti daripada ahli dewan undangan negeri," katanya.

Perak dilanda krisis politik apabila empat ahli dewan undangan negeri (Adun) Pakatan Rakyat keluar parti dan menjadi Adun bebas.

Berikutan itu, jumlah kerusi yang dimilik Pakatan di Dewan Undangan Negeri (DUN) tinggal 28 dan sama jumlahnya dengan kerusi Barisan Nasional.

Keempat-empat Adun bebas itu kemudiannya menyatakan sokongan mereka kepada BN.

Tindakan itu sekaligus memberi kelebihan majoriti kepada BN untuk menubuhkan kerajaan negeri yang baru.

Keadaan menjadi tegang apabila Menteri Besar Pakatan, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin enggan meletakkan jawatan sepertimana yang dititahkan oleh Sultan Perak.

Berikutan itu, kesemua 28 Adun Pakatan memulaukan majlis angkat sumpah Dr Zambry petang tadi.

Malaysia Kini

Politik bergolak: Najib @ Anwar menang?

Amin Iskandar | Feb 3, 09 7:40pm
Semenjak pilihanraya umum tahun lalu, rakyat Malaysia tidak sunyi daripada pergolakan politik yang menyaksikan Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat sentiasa bertempur.

Politik pilihanraya di Malaysia sentiasa panas - daripada pilihanraya umum kepada dua pilihanraya kecil. Selepas 8 Mac, pertempuran berterusan di Permatang Pauh dan Kuala Terangganu.

Setakat dua pilihanraya kecil yang berlangsung, kesemuanya memihak kepada Pakatan - fenomena baru kerana dalam sejarah politik negara, pilihanraya kecil jarang sekali tidak memihak kepada BN.

Cuma kes-kes terpencil seperti pilihanraya kecil DUN Lunas dan Anak Bukit yang menyaksikan parti pembangkang berjaya memenanginya.

Dalam pilihanraya kecil, BN mampu mengerahkan seluruh jentera kerajaan dan media arus perdana untuk membantu mereka menang.

Di pihak pembangkang pula, mereka hanya bergantung kepada media-media alternatif dan jentera parti untuk berkempen dengan tampungan dana yang kecil.

Namun keadaan kini telah berbeza. Strategi lama yang sering digunapakai oleh BN tidak lagi berjaya untuk menarik pengundi. Walaupun mempunyai kelebihan undi pos, BN tetap gagal dalam pilihanraya kecil Permatang Pauh dan Kuala Terengganu.

Selepas pilihanraya kecil 17 Januari lalu yang menyaksikan Pakatan merampas kerusi P36 daripada BN, politik negara terus bergolak.

Semuanya bermula dengan kemasukkan Adun Bota, Nasharuddin Hashim daripada Umno kepada PKR pada 25 Januari.

Kemasukan “orang lama” Umno itu memberikan tamparan hebat kepada Umno terutamanya timbalan perdana menteri Najib Razak yang akan mengambil alih jawatan Presiden Umno daripada Abdullah Badawi bulan depan.

Tamparan hebat yang diterima oleh beliau akibat kekalahan pada pilihanraya kecil Kuala Terengganu belum lagi pulih dan kini beliau ditampar lagi apabila Adun Umno menyertai PKR.

Belum reda Pakatan Rakyat di Perak merayakan kemasukan Nasharuddin, krisis terbaru muncul. Kali ini lebih hebat lagi. BN yang terduduk akibat kehilangan seorang Adunnya membuat "serangan balas".

Bermula dengan kehilangan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi dan Adun Changkat Jering, Mohd Osman Jailu - kedua-duanya exco kerajaan Perak dari PKR - selama beberapa hari sehingga menteri besa dan ahli keluarga gagal menghubungi mereka.

Desas-desus kuat mengatakan bahawa dua pemimpin PKR ini berada di Pekan, Pahang - kubu kuat Najib.

Kerajaan Perak yang dipimpin oleh Pakatan tidak hanya duduk diam dalam menghadapi permasalahan ini. Speaker DUN V Sivakumar mengumumkan pada bahawa beliau menerima surat peletakan jawatan daripada kedua-dua Adun tersebut.

Katanya, beliau menerima surat peletakan jawatan mereka melalui faksimili pada kira-kira jam 5.45 petang di kediamannya.

Keesokan harinya, beliau memaklumkan SPR Perak mengenai perkara tersebut dan menyerahkan notis pengosongan kerusi Behrang dan Changkat Jering. Beliau turut menyerahkan surat peletakan jawatan kedua-dua wakil rakyat tersebut.

Tindakan Sivakumar telah memecahkan kebuntuan. Kedua-dua wakil rakyat yang hilang muncul dan menafikan peletakan jawatan mereka menerusi media.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini memutuskan pilihanraya kecil tidak adakan diadakan kerana kedua-duanya masih lagi wakil rakyat yang sah dan menolak surat peletakan jawatan mereka yang diserah oleh Sivakumar.

Keputusan SPR itu bagaimanapun dicabar. Pakatan Rakyat di Perak memberikan tempoh 48 jam untuk suruhanjaya itu menarik balik keputusan itu atau menghadapi tindakan mereka selanjutnya.


(ii)

Jamaluddin dan Mohd Osman sedang menghadapai pertuduhan rasuah yang akan mula dibicarakan pada 10 Febuari ini.

Menurut dakwaan pemimpin PKR, jika mereka menyertai Umno, dakwaan kes rasuah tersebut akan digugurkan.

Dari segi politik, adalah tidak bijak bagi Umno untuk menerima dua exco kerajaan negeri yang sedang terpalit dengan tuduhan rasuah ini. Jika Umno tetap menerima mereka, sahlah apa yang dituduh selama ini bahawa Umno parti yang mempertahankan rasuah.

Tindakan pantas yang diambil oleh kerajaan Perak telah menyebabkan Umno dan Barisan Nasional berada dalam keadaan tertekan.

Ia ditambah dengan pengakuan bersumpah seorang ketua bahagian PKR dan laporan polis yang dibuat oleh exco kerajaan Kedah semalam.

Fauzi Muda dari Ipoh Barat mendedahkan dalam akuan berkanunnya, mendakwa Timbalan Perdana Menteri, Najib Razak menawarkan RM50 juta kepadanya untuk memujuk dua Adun PKR itu untuk menyertai BN, sekali gus menumbangkan kerajaan Pakatan Perak.

Fauzi seterusnya mencabar Najib yang juga timbalan presiden Umno untuk menafikan dakwaannya itu.

Sehingga kini, Najib belum lagi menyahut cabaran Fauzi untuk menafikan tuduhan tersebut walaupun bekas timbalannya di Kementerian Pertahanan, Zainal Abidin Zin telah mengesahkan pertemuan tersebut di kediaman rasminya di Putrajaya.

Adun PKR Kedah itu, V Arumugam mendakwa usaha menariknya meninggalkan PKR bermula sejak kemenangannya tahun lepas.

Beliau membuat satu laporan polis, mendakwa ugutan jenayah terhadapnya, keluarganya dan pegawai-pegawainya, antaranya:

cubaan menculiknya pada 17 Oktober tahun lepas,
diugut melalui pegawainya dengan panggilan telefon, antaranya pada 31 Mac tahun lalu,
cermin kereta rasmi exco kerajaan negeri yang diguna olehnya dipecahkan dengan meninggalkan nota ugutan yang diikat pada seketul batu pada 17 Disember lalu, dan
beberapa individu dihantar untuk memujuknya keluar dari PKR, yang terbaru sekali beberapa hari yang lalu, dengan beberapa tawaran lumayan.

Menurut Arumugam lagi, beliau membuat laporan polis oleh kerana khuatir terhadap keselamatan diri dan keluarganya selepas melihat perkembangan yang berlaku di Perak sekarang.

Kedua-dua dakwaan ini sekaligus ibarat “mempalitkan arang” kemuka Najib yang seharusnya merayakan kemasukan dua Adun PKR bersama BN. Tambahan lagi, Najib akan menjadi presiden Umno secara rasmi pada Mac.

Terlalu banyak perkara yang perlu diselesaikan oleh Najib. Selain menjawab pertuduhan-pertuduhan berat yang dilemparkan terhadap dirinya, persepsi umum masih lagi belum dapat dipulihkan mengenai penglibatan dirinya dalam kes pembunuhan warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu - walau beliau sering menafikannya.

Dalam pertempuran hebat dan yang belum pernah berhenti semenjak tsunami politik 8 Mac, Malaysia berada di persimpangan: Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat? Sama ada Najib Razak atau Anwar Ibrahim?

Malaysia Kini

Mahathir: Pengajaran untuk Anwar

Feb 6, 09 12:24pm
Mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan sandiwara politik di Perak sekarang sebagai menggelikan hati.

"Ada lompat keluar kandang, ada lompat masuk kandang.

"Duli Yang Maha Mulia Sultan sudah bertitah. Tetapi menteri besar Pakatan (Rakyat) tidak hendak berhenti jadi MB.

"Pejabatnya sudah dikosongkan oleh polis. Apakah polis akan usung MB dan campak dia keluar?

"Tentu tidak kerana tiada peruntukan undang-undang yang mengizinkannya," tulis Dr Mahathir dalam blognya.

Katanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dapat banyak pengajaran daripada sandiwara tersebut kerana beliau yang beria-ia sangat untuk ada 'lompat katak yang terbesar' pada September 16.

"Amat menggelikan hati mendengar telatah Anwar berkenaan Nasarudin Hashim (Adun Bota) masuk PKR dan keluar daripada PKR.

"Lompat masuk (perangkap) boleh tapi lompat keluar tak sah...," katanya.

Dr Mahathir berkata, Pakatan Rakyat Perak boleh bentuk kerajaan minoriti kerana demokrasi mengizinkannya.

"Tetapi kerajaan minoriti lemah. Dia boleh ditumbang dengan undi tidak percaya oleh majoriti ahli Dewan Undangan Negeri, kalau Dewan bersidang.

Peruntukan undang-undang

"Mungkin Pakatan tak mahu ada persidangan," tulisnya.

"Siapakah yang berhak mengadakan persidangan? Bolehkah puak majoriti paksa kerajaan minoriti adakan persidangan khas untuk undi tak percaya?

"Jika tidak dapat paksa kerajaan minoriti mengadakan persidangan, mereka boleh ambil bermacam-macam tindakan untuk merosakkan negeri Perak.

"Apakah yang boleh dibuat kepada kerajaan minoriti jika ia kekalkan dirinya dan terus merosakkan negeri?

"Keadaan seperti ini masih kelabu; tak ada peruntukan undang-undang setakat yang saya tahu," katanya.

Dr Mahathir berkata, ada kemungkinan pegawai tidak akan patuh kepada kerajaan minoriti ini.

"Tetapi pegawai profesional perlu akur akan perintah kerajaan yang halal.

"Kita hanya boleh pandang dan lihat sandiwara yang sedang berterusan," katanya.

Malaysia Kini

Dua MB Perak? Pakatan bermesyuarat

Feb 6, 09 12:05pm
kemaskini 4.39pm Polis Perak mengesahkan kira-kira sejam lalu bahawa sembilan penunjuk perasaan berjaya ditahan.

Lebih kurang 3,000 penyokong Pakatan Rakyat bersurai beransur-ansur selepas diarahkan oleh seorang pemimpin PAS Perak setengah jam lalu.

kemaskini 4.22pm Mesyuarat beberapa pemimpin kanan Pakatan Rakyat di pejabat Datuk Seri Anwar Ibrahim di Petaling Jaya berlangsung selepas jam 4 petang tadi.

Naib pengerusi DAP Dr Tan Seng Giaw, setiausaha agung PAS Datuk Kamaruddin Jaffar kelihatan bersama beberapa lagi pemimpin gabungan tiga parti itu.

Mereka dijadual mengadakan sidang media jam 4.30 petang ini, mengulas perkembangan terkini di Perak yang menyaksikan kewujudan dua menteri besar - Datuk Dr Zambry Abd Kadir bagi pihak BN dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin bagi pihak Pakatan Rakyat.

kemaskini 4.17pm Difahamkan exco kerajaan Kedah, V Arumugam yang dilaporkan "gagal dihubungi" masih bersama PKR.

Kebimbangan tentang "kehilangannya" cepat merebak susulan wujud dakwaan terdapat usaha seumpama Perak sedang dilakukan terhadap kerajaan Pakatan di Kedah.

kemaskini 4.12pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak selesai selepas bacaan doa mufti Datuk Seri Harussani Zakaria.

kemaskini 4pm Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, Datuk Dr Zambry Abd Kadir mengangkat sumpah sebagai menteri besar baru Perak, memimpin kerajaan BN yang berjaya menumbangkan Pakatan Rakyat melalui usaha lompat parti.

Seorang AJK PAS Perak dibenarkan menaiki kenderaan polis pencegah rusuhan FRU dan berucap kepada 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di depan Masjid Ubudiah.

Beliau berkata mesej mereka "telah disampaikan ke serata dunia" dan mereka bersurai.

kemaskini 3.55pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir sedang berlangsung dan disiarkan secara langsung melalui TV1.

kemaskini 3.48pm Tiada penunjuk perasaan di depan Istana Iskandariah, tempat majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, tetapi masih ada lebih kurang 1,000 penyokong Pakatan Rakyat di Masjid Ubudiah.

Dilaporkan 10 orang berjaya ditangkap polis. Tiada kenyataan rasmi polis dikeluarkan, setakat ini.

kemaskini 3.36pm Majlis angkat sumpah menteri besar baru Perak, Datuk Dr Zambry Abd Kadir akan berlangsung tidak lama lagi.

Semua 28 wakil rakyat Pakatan Rakyat termasuk Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin telah memutuskan untuk memulaukan majlis tersebut di balai istiadat Istana Iskandariah, Kuala Kangsar.

kemaskini 3.33pm Seorang wakil pemimpin PAS, Khalilul Rahman Abdul Samad mengarahkan para penunjuk perasaan bersurai, dan menyeru polis agar bertenang dan berundur.

Beliau juga seorang pegawai Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin, menteri besar Pakatan Rakyat yang masih mempertahankan jawatannya dan enggan mengiktiraf penggantinya.

kemaskini 3.25pm Keadaan mulai kembali tenang di Masjid Ubudiah di bandar diraja Perak.

Kelihatan beberapa orang menangis, sambil mengeluh "kenapa masjid diperlakukan sebegitu."

Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengadakan sidang media khas di ibu pejabat PKR, Petaling Jaya jam 4.30 petang ini.

kemaskini 3.20pm Polis berjaya memecahkan halangan para penyokong Pakatan Rakyat.

Sebuah kenderaan yang bernombor pendaftaran kuning (diraja) dibaling batu oleh penunjuk perasaan.

kemaskini 3.18pm Sebahagian penyokong Pakatan Rakyat berhimpun di kawasan masjid.

Polis melepaskan lebih banyak gas pemedih mata, termasuk ke arah kawasan masjid dan beberapa kediaman berhampiran tempat ibadat itu.

Kenderaan rasmi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak kelihatan masuk ke istana.

kemaskini 3.11pm Kelihatan sejumlah orang berbaring di atas jalan menuju istana untuk menghalang sesiapa ke arah istana.

Sekejap tadi polis berjaya menyuraikan kumpulan 300 orang tadi.

kemaskini 3.08pm Kira-kira 300 orang menghalang jalan menuju istana. Polis pencegah rusuhan melepaskan gas pemedih mata bagi kali ketiga ke arah mereka.

Sementara itu, polis menangkap para penyokong menteri besar Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Tiada angka rasmi jumlah tangkapan diketahui, setakat ini.

kemaskini 3.01pm Polis pencegah rusuhan mengejar orang ramai di jalan depan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar. Mereka berlari tidak tentu arah dalam keadaan asap tebal gas pemedih mata.

Beberapa orang penyokong kelihatan membaling objek seperti kayu ke arah polis.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

kemaskini 2.58pm Perkumpulan orang ramai mula berundur ke dalam kawasan perkarangan Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar sekali lagi selepas polis melepaskan gas pemedih mata bagi kali kedua.

Jumlah mereka dianggarkan 3,000 orang. Lebih banyak gas pemedih mata dilepaskan, termasuk ke arah tempat letak kereta masjid.

Mereka masih mendesak ingin bergerak ke Istana Iskandariah, tempat berlangsung majlis angkat sumpah menteri besar baru Datuk Dr Zambry Abd Kadir jam 3.30 petang ini.

kemaskini 2.50pm Polis mengarahkan orang ramai bersurai. Penyokong Pakatan Rakyat kini berada di tepi jalan. Gas pemedih mata dilepaskan sekali lagi.

Lima trak polis kelihatan, tiada kenderaan pemancut air kelihatan. Tiada tangkapan dilaporkan, setakat ini.

Jalan depan masjid dari kedua-dua arah ditutup oleh polis.

kemaskini 2.40pm Perkumpulan orang ramai yang bertempiaran bergabung semula di atas jalan depan Masjid Ubudiah selepas polis melepaskan gas pemedih mata.

Polis pencegah rusuhan dari arah Istana Iskandariah sedang menuju ke arah ratusan penyokong Pakatan Rakyat itu. Kedengaran siren polis.

kemaskini 2.26pm Mereka merempuh sekatan polis di luar pintu masuk Masjid Ubudiah untuk berarak ke Istana Iskandariah.

Kira-kira 50 anggota polis termasuk unit pencegah rusuhan FRU terpaksa mengelak dan berdiri di tepi jalan.

Polis melepaskan gas pemedih mata, kedengaran sekurang-kurangnya tiga das ke arah kumpulan orang ramai.

Sebahagian kumpulan itu berundur semula ke dalam kawasan pagar masjid, sementara sebahagian lagi lari bertempiaran di tepi jalan menuju istana.

kemaskini 2.21pm Beberapa ratus orang, termasuk wanita, penyokong Pakatan Rakyat berkumpul di Masjid Ubudiah selepas solat Jumaat sebentar tadi.

Mereka dijangkakan berarak ke Istana Iskandariah, Kuala Kangsar yang terletak beberapa ratus meter dari masjid.

kemaskini 2.15pm Gelaran "Datuk Seri" yang dianugerahkan kepada bekas menteri besar Pakatan Rakyat di Perak wajar ditarik balik sebagai pengajaran kepada mereka yang menderhaka.

Ketua bahagian Umno Cheras, Senator Datuk Syed Ali Alhabshee juga berkata beliau tidak menolak kemungkinan penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi dalang krisis tersebut dan bersikap
"lempar batu sembunyi tangan", lapor Bernama.

kemaskini 1pm Datuk Seri Najib Razak dilaporkan membayangkan perkembangan di Perak ini akan berulang di negeri-negeri lain yang diperintah Pakatan Rakyat.

Timbalan perdana menteri berkata, bagaimanapun ia bergantung kepada perkembangan semasa politik.

kemaskini 12.40pm Speaker DUN Perak, V Sivakumar akan mengutuskan surat kepada Sultan Azlan Shah bagi memohon perkenan baginda mengadakan sidang khas dewan.

Sidang tergempar - seboleh-bolehnya hari ini atau esok - bagi menentukan sama ada BN atau Pakatan Rakyat yang menguasai majoriti di dewan tersebut.

Sivakumar berkata beliau juga memohon baginda menunda majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abd Kadir 3.30 petang ini.

Surat itu akan dikirimkan kepada baginda secepat mungkin.

kemaskini 12.10pm Satu perhimpunan besar menyokong Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan membantah pelantikan menteri besar baru kerajaan BN akan diadakan di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.

kemaskini 12.01pm Menteri Besar Pakatan Perak akan bertolak ke Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar untuk menunaikan solat Jumaat tengah hari ini.

kemaskini 11.50am Tiada kepungan polis di kediaman rasmi menteri besar. Polis hanya berkawal di jalan-jalan raya menuju dan berdekatan kediaman Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

kemaskini 10.45am Ketua Polis Perak, Datuk Zulkifli Ahmad berkata polis telah mengawal pejabat SUK atas permintaan setiausaha kerajaan negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim.

kemaskini 10.20am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan barisan anggota exconya berkereta keluar dari pejabat SUK. Menteri besar pulang ke kediaman rasminya.

kemaskini 10.15am Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin dan anggota exco mengadakan sidang akhbar sebelum ia diganggu oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim dan ketua polis daerah Ipoh, Azisman Alias.

Abdul Rahman dengan kasar mengarahkan wartawan meninggalkan bilik tersebut.

Exco kanan kerajaan negeri, Datuk Ngeh Koo Han kedengaran memberitahu ketua polis daerah itu supaya mematuhi prosedur.

kemaskini 9:40am Menteri besar Pakatan Rakyat itu, yang berpakaian Melayu berwarna hijau dan barisan exconya tiba di bangunan setiausaha kerajaan negeri.

Pada mulanya pintu ditutup, selepas menemui pengawal, mereka dibenarkan masuk. Mohamad Nizar terus ke pejabatnya tetapi mendapati ia telah dikosongkan.

kemaskini 9.30am Semua anggota exco negeri Pakatan Rakyat berkumpul di kediaman rasmi menteri besar.


Laporan sebelumnya:

Ketua Pemuda PAS Perak, Norazli Musa memberitahu bahawa satu protes besar-besaran akan diadakan di Masjid Ubudiyyah, Kuala Kangsar selepas solat Jumaat.

Ketika dihubungi Malaysiakini, protes anjuran Pemuda Pakatan Rakyat itu bertujuan membantah majlis angkat sumpah menteri besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir.

Dr Zambry, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pangkor, dipilih BN untuk mengisi jawatan tersebut setelah empat wakil rakyat Pakatan Rakyat keluar kerajaan campuran pimpinan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin.

Jamaluddin Mohd Radzi (bekas wakil rakyat PKR Behrang) dan Mohd Osman Mohd Jailu (PKR Changkat Jering), Hee Yit Foong (DAP-Jelapang) mengisytiharkan wakil rakyat bebas.

Adun Bota, Datuk Nasarudin Hashim - setelah 10 hari berada dalam PKR – kembali bersama BN kelmarin.

Norazli menambah, beliau difahamkan lima trak unit pencegah rusuhan FRU telah berada di masjid tersebut. Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui jumlah anggota polis yang dikerahkan.

Katanya, beliau menjangkakan lebih 10,000 orang akan hadir untuk menyertai perhimpunan tersebut.

Ditanya sama ada mereka akan mengadakan bantahan di Istana Iskandariah – tempat berlangsung majlis angkat sumpah Dr Zambry jam 3.30 petang ini, Norazli berkata:

"Tidak. Pemuda Pakatan Rakyat tidak merancang untuk mengadakan protes di Istana Iskandariah."

Mohammad Nizar malam tadi berkata semua 28 Adun Pakatan Rakyat termasuk beliau akan memulaukan majlis tersebut sebagai lambang tidak mengiktiraf kerajaan baru BN itu.

Malaysia Kini