Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

29.2.12

Konsert Erykah Badu di ibu negara malam ini dibatalkan - Rais


KUALA LUMPUR, 28 Feb. - Konsert penyanyi wanita Amerika Syarikat, Erykah Badu yang dijadual berlangsung di ibu negara malam esok dibatalkan kerana melanggar garis panduan Agensi Pusat Penggambaran Filem dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal).

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, konsert artis itu dibatalkan setelah didapati melanggar garis panduan Puspal dan syarat-syarat kelulusan iaitu menyentuh sensitiviti agama, bangsa serta nilai budaya masyarakat Malaysia.

"Paparan grafik kalimah 'Allah' di badan penyanyi tersebut sudah cukup mencetuskan kontroversi agama di kalangan umat Islam yang pasti tidak menyukai amalan itu.

"Keputusan pihak Jawatankuasa Puspal membatalkan persembahan terbuka penyanyi tersebut pada hemah kami adalah berasaskan justifikasi bahawa meneruskan persembahan itu pasti menimbulkan masalah yang lebih besar dan berlarutan dalam keadaan sekarang.

"Tindakan mempamerkan simbol 'Allah' dan 'Nabi Muhammad SAW' dalam pertunjukan hiburan tidak boleh diterima oleh umat Islam." katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Akhbar harian The Star dalam ruangan muziknya semalam menyiarkan gambar penyanyi funk, hip-hop dan soul itu yang menunjukkan wajah dan sebahagian dadanya yang terdedah dan tertera pelbagai tatu, termasuk perkataan 'Allah' di sisi kiri dan kanan.

Jelas Rais, mesyuarat Puspal hari ini telah memutuskan pembatalan konsert itu berdasarkan pandangan anggota mesyuarat khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Perlanggaran syarat ini menimbulkan bantahan masyarakat yang boleh menjejaskan keselamatan negara dan memberi impak negatif kepada imej kerajaan," ujarnya.

:Utusan

Giliran suami wanita beri keterangan

KUANTAN 28 Feb. - Suami wanita yang dikaitkan dengan kes khalwat Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Dr. Badrulamin Bahron di sebuah hotel di sini awal pagi Sabtu lalu, hadir memberi keterangan di Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) hari ini.

Pertemuan selama kira-kira empat jam itu bermula pada pukul 3 petang.

Bagaimanapun, lelaki itu enggan ditemui media untuk memberi komen lanjut berhubung isu yang membabitkan isterinya itu.

Timbalan Pengarah JAIP, Datuk Mohd. Ghazali Abd. Aziz pula berkata, keputusan berhubung kes khalwat itu hanya akan dibuat setelah JAIP berpuas hati dengan siasatan yang dijalankan.

"Siasatan yang dijalankan baru selesai fasa pertama dan berharap semua pihak dapat memberi kerjasama supaya kes ini dapat diselesaikan dengan segera.

"Dalam kes ini (khalwat), JAIP belum sahkan sesiapa bersalah kerana siasatan masih dijalankan. Apa yang kita lakukan iaitu serbuan pada awal pagi 25 Februari lalu adalah atas aduan suami wanita itu sendiri," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Badrulamin ditahan oleh JAIP selepas diberkas oleh suami wanita berkenaan kerana disyaki berkhalwat dengan isteri lelaki itu di sebuah hotel di Kuantan awal pagi 25 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Ghazali berkata, apa yang diinginkan pihaknya dalam siasatan kes itu adalah keadilan bukan sahaja kepada tertuduh malah pengadu.

"Keadilan untuk agama diuruskan oleh jabatan agama (JAIP) melalui hukum syarak dan tidak boleh mengikut nafsu. Kami akan lakukan siasatan ini sebaik mungkin demi keadilan kedua-dua belah pihak," katanya.

Beliau berkata, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 145 Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982.

Sementara itu, beliau sekali lagi mengulangi bahawa JAIP tidak pernah merancang atau berkomplot untuk membuat tangkapan terhadap mana-mana individu, sebaliknya ia dibuat atas aduan yang diterima.

"Kami (JAIP) adalah bersendirian dan dalam kes ini kami bertindak atas aduan dan ia masih dalam peringkat siasatan. Saya hanya menguruskan bagi pihak jabatan," katanya.

Kerajaan siarkan surat Dr. Mahathir kepada tiga PM Israel


KUALA LUMPUR 29 Feb. - Kerajaan hari ini menyiarkan kepada umum tiga pucuk surat bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad kepada tiga Perdana Menteri Israel yang jelas menunjukkan ketegasan Malaysia terhadap kekejaman Israel.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata, ketiga-tiga surat itu ialah bagi menyangkal dakwaan sesetengah pihak bahawa kerajaan Malaysia tidak konsisten dalam pendirian dan dasarnya berhubung Palestin.

Dalam satu kenyataan hari ini, beliau berkata, surat berkenaan ialah; i) Surat daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Yitzhak Rabin, Perdana Menteri Israel, bertarikh 21 Disember 1993; ii) Surat daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Benyamin Netanyahu, Perdana Menteri Israel, bertarikh 14 Mac 1997; dan iii) Surat daripada Dr. Mahathir Mohamad kepada Ehud Barak, Perdana Menteri Israel, bertarikh 8 Jun 1999.

Perdana Menteri Datuk Sri Najib Tun Razak ketika melawat Melaka pada 24 Februari dan Sekinchan, Selangor pada 26 Februari telah menyatakan kesediaan Kerajaan Malaysia untuk menyiarkan kepada umum beberapa pucuk surat Mahathir kepada Perdana Menteri Israel. - BERNAMA

15.2.12

Kes jual bayi berleluasa berikutan harga, permintaan tinggi

2012/02/15

KUALA LUMPUR: Harga serta permintaan yang tinggi bagi bayi dikatakan merupakan antara punca kegiatan menjual bayi masih berleluasa.

"Polis percaya sindiket penjualan bayi yang sudah lama wujud ini semakin berleluasa kerana terdapat permintaan yang sangat tinggi terutamanya bagi pasangan yang tidak mempunyai zuriat," kata Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kongsi Gelap, Judi dan Maksiat (D7) Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Abdul Jalil Hassan.

Beliau berkata, seorang bayi boleh mencapai harga melebihi RM20,000 berdasarkan kesempurnaan dan kecerahan warna kulit.

"Harga menjadi lebih tinggi sekiranya disertakan dengan dokumen pengenalan diri seperti Sijil Kelahiran ketika pembelian," katanya.

Abdul Jalil menjelaskan kebanyakan bayi dijual pada lingkungan umur satu hingga tiga bulan namun ada juga kanak-kanak berusia sehingga enam tahun turut dijual.

"Kegiatan terancang ini bermula dengan penjagaan rapi yang diberikan kepada ibu-ibu yang mengandung di pusat penjagaan haram, bagi menghasilkan bayi yang sihat demi mendapatkan nilai jualan yang tinggi.

"Wanita yang dihantar ke pusat penjagaan haram ini biasanya terdiri daripada gadis yang mengandung anak luar nikah dan juga wanita warga asing yang tidak mahukan bayi kandungan mereka dan sanggup menjual untuk mendapatkan wang," katanya.
Statistik D7 mencatat sembilan kes menjual bayi tahun lalu berbanding 20 kes pada tahun sebelum itu.

Misalnya, Januari 2011 polis berjaya menumpaskan kes penjualan bayi yang berumur antara lima hingga tujuh hari yang dijual dengan harga antara RM15,000 hingga RM20,000.

Polis turut berjaya menyelamatkan tiga bayi, seorang ibu kepada salah seorang bayi berkenaan serta dua wanita yang sarat mengandung di Selangor.

Presiden Pertubuhan Sukarelawan Pembangunan Sosial, Pencegahan Jenayah dan Anti Dadah Kuala Lumpur (PENCEGAH), Jeevan S Ramamurthy juga tidak menolak kemungkinan kegiatan menjual bayi berlaku di kawasan pedalaman.

"Sindiket pemerdagangan bayi semakin rancak di kawasan pedalaman kerana kebanyakan keluarga amat terdesak untuk mendapatkan duit. Namun ia sukar dikesan," katanya.

Beliau turut mempertanggungjawabkan kepada segelintir klinik swasta yang sanggup bekerjasama dengan sindiket untuk memalsukan rekod kelahiran bayi, bagi memudahkan bayi dijual.

- BERNAMA

Dr Mahathir nasihat Shahrizat jangan sayang jawatan


2012/02/15
SERDANG: Tun Dr Mahathir Mohamad menasihatkan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dibelenggu isu Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) agar "jangan sayang kepada jawatan".

Bekas Perdana Menteri berkata Shahrizat, yang juga Ketua Wanita Umno, harus mengambil tindakan sewajarnya demi kepentingan parti.

"Saya tak suruh dia meletak jawatan tetapi kita harus sentiasa fikir berkenaan masalah yang kita timbul kepada parti. Sebab itu, saya sendiri pun bila dah terlalu lama dan orang dah naik bosan, saya pun letak jawatan.
"Jadi, janganlah sayang jawatan sangat sampai tidak mahu langsung dipisahkan daripada jawatan. Satu hari kita kena pisah juga," katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata kepentingan parti harus diberi keutamaan ketika membuat sebarang keputusan.

"Kalau kita fikir ini baik bagi parti, kita patut ambil tindakan tetapi ini terpulang kepada dia untuk membuat apa-apa keputusan," katanya. - BERNAMA