Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

30.3.11

Rumah pertamaku: Golongan muda dibebani hutang


Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 30 Mac: Skim Rumah Pertamaku yang baru diperkenal kerajaan hanya akan menyebabkan golongan muda bukan sahaja terus dibebani hutang malah berdepan insolvensi.

AJK PAS Pusat, Dr Dzulkefly Ahmad berkata skim yang dilancar Perdana Menteri pada 8 Mac lalu itu tidak lebih hanya sebagai tindakan populis namun pada masa yang sama, memusnahkan masa depan golongan muda.

Dengan tawaran 100 peratus pinjaman tanpa deposit sehingga RM200 ribu, golongan muda katanya bukan dibantu, namun dibebankan hutang tambahan selain hutang pinjaman barangan lain yang sedia ditanggung.

Malah jelasnya juga, peserta skim ini terpaksa menanggung bayaran ansuran bulanan yang tinggi untuk tempoh 30 tahun.

Jelasnya, apa yang lebih dituntut generasi muda ketika ini adalah tambahan ke atas pendapatan mereka.

"Isu yang lebih kritikal berhubung pemilikan rumah adalah menangani isu pendapatan sebenar bakal pemilik rumah.

"Majoriti golongan pekerja masih terperangkap dalam pendapatan sederhana," katanya yang juga ahli parlimen Kuala Selangor pada sidang media di parlimen hari ini.

Turut serta pada sidang media itu Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar.

Beliau turut memberi contoh pengiraan mudah bagi seorang pekerja berpendapatan RM3000.

"Ansuran bulanan kereta RM500, bil telefon RM80, sewa kediaman RM400, makanan RM500.

"Hanya ada RM1,000 sahaja lagi lebihan selepas pemotongan EPF dan Socso," katanya.

Untuk rekod, Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) melaporkan sejumlah 50,361 kes berkaitan kegagalan membayar hutang pinjaman.

Dari jumlah itu 10.6% adalah mereka yang tidak membayar hutang kad kredit manakala 74.3% bermasalah membayar pinjaman rumah, kereta dan baki kad kredit.

Kamaruddin dalam pada itu berkata, PAS bersedia memberi penjelasan lanjut berhubung perkara itu.

Tambahnya, kehadiran melebihi jangkaan iaitu 300 ribu golongan muda pada pameran kerjaya anjuran Pemuda Umno baru-baru ini membuktikan masih ramai sebenarnya golongan belia menganggur.

Senaman poco-poco haram - Mufti Perak


Harakahdaily

IPOH, 30 Mac: Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak yang bersidang pada 24-26 Januari 2011 lalu telah memperakukan supaya tarian atau senama poco-poco diharamkan.

Ia dibuat atas asas ianya mempunyai kaitan dengan kepercayaan agama juga pemujaan roh berdasarkan kajian yang menyatakan ianya sering diamalkan di Jamaica serta bercirikan agama Kristian.

"Mesyuarat mengambil keputusan bahawa pengharaman ini akan diwartakan," kata Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dalam satu suratnya.

Surat fatwa Mufti Perak itu dihantar kepada Pengerusi Persatuan Kakitangan Islam Malayan Banking (PKIMB) Perak.

Sebelum ini media sentiasa sahaja menyiarkan aktiviti Perdana Menteri dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor yang sering melakukan senaman poco-poco ini khasnya di tempat awam.

Bahkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga pernah melakukan senaman ini di atas pentas bersama isteri dan pembesar negara yang lain. (gambar atas)

9.3.11

Ajaran Syiah dilarang disebar tetapi bebas diamal

3:19PM Mac 9, 2011

Pengikut ajaran Syiah di negara ini adalah dilarang sama sekali menyebarkan fahaman tersebut kepada pengikut ahli Sunnah wal-Jamaah tetapi bebas untuk terus mengamalkannya, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

NONEBeliau berkata, mereka dibenarkan berbuat demikian selaras dengan peruntukan dalam Perlembagaan Negara yang memberi kebebasan hak beragama kepada rakyat negara ini.

"Kita tidak melarang pengikut ajaran ini untuk terus beramal, tetapi terdapat akta yang diperuntukkan dalam undang-undang syariah di negeri-negeri yang tidak membenarkan ajaran ini disebarkan kepada penganut ahli Sunnah wal-Jamaah yang sedia ada," katanya ketika menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Mohamed Said (BN-Kuala Krau) pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Ismail mahu tahu sama ada Syiah adalah satu ajaran baru atau mazhab baru dan tindakan yang dikenakan terhadap pengikut Syiah.

Jamil Khir berkata, walaupun Syiah telah dikategorikan sebagai ajaran menyeleweng oleh Majlis Fatwa Kebangsaan tetapi tidak semua ajaran fahaman itu yang bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah wal-Jamaah seperti yang diamalkan oleh umat Islam di negara ini.

"Oleh sebab itu mereka (pengikut Syiah) tidak boleh ditahan di bawah Akta Keselamatan dalam Negeri (ISA)," katanya ketika menjawab soalan tambahan Nasharuddin Mat Isa (PAS-Bachok) yang mahu tahu mengapa pengikut Syiah tidak ditahan di bawah ISA.

NONEMenjawab soalan asal Ismail, Jamil Khir berkata, pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam membanteras fahaman Syiah daripada terus menular.

Ia termasuk menyebarkan fatwa yang sudah dibuat tentang larangan penyebaran fahaman tersebut, sesi penerangan kepada masyarakat menerusi ceramah dan media massa, pemantauan dan mengawal bahan-bahan media yang cenderung dalam menyebarkan fahaman Syiah.

Selain itu, kerjasama antara agensi-agensi agama turut ditingkatkan dan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka yang melanggar peruntukan negeri-negeri yang mewartakan kesalahan penyebaran ajaran Syiah.

- Bernama