Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

28.8.09

PM kesal, arah IGP bertindak segera


Ogos 28, 09 7:23pm
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kesal dengan tindakan penduduk mengarak kepala lembu sebagai membantah cadangan pemindahan kuil Hindu ke kawasan mereka, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam.

Beliau yang juga setiausaha agung MIC memberitahu Malaysiakini bahawa Najib telah menyuarakan kekesalannya itu apabila beliau menghubungi perdana menteri untuk melaporkan kejadian tersebut.

Subramaniam berkata perdana menteri teramat kesal dan berjanji perkara itu akan disiasat secara terperinci.

"Kira-kira 15 minit kemudian, perdana menteri menelefon balik dan berkata beliau telah bercakap dengan Ketua Polis Negara (Tan Sri Musa Hassan) dan mengarahkan beliau mengambil tindakan segera," tambahnya.

Samy Vellu kecam arak kepala lembu


Ogos 28, 09 4:46pm
Presiden MIC, Datuk Seri S Samy Vellu mengecam tindakan sekumpulan penduduk Seksyen 23 Shah Alam dengan beberapa NGO Melayu mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor sebagai membantah idea membina kuil baru Hindu.

Katanya, lembu merupakan binatang suci kepada penganut Hindu, dan tindakan kumpulan tersebut tidak boleh diterima dan dianggap mencabar kebebasan beragama yang dijamin dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Ia menjadi hak rakyat pelbagai agama, termasuk penganut Hindu untuk membina kuil dan tempat-tempat ibadat.

"Saya amat sedih kerana kumpulan ini telah mengarak kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (Selangor)," katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, tiada sesiapa pun yang harus dibenarkan untuk mencabar atau mempersendakan sebarang agama di negara ini.

Beliau bimbang tindakan tersebut boleh mengundang tindak balas dari masyarakat Hindu.

"Bagaimanapun, saya menggesa penganut Hindu khususnya supaya bertenang dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan," tambahnya.

Samy Vellu berkata, MIC mahu kerajaan dan pihak polis mengambil tindakan terhadap penganjur protes tersebut.

Katanya, mereka mesti dikenakan tindakan mengikut undang-undang kerana membahayakan keharmonian kaum di negara ini.

26.8.09

Oleh : Zaharuddin Abd Rahman

"Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan."

Negarawan Malaysia, Tun Dr Mahathir, berkata di dalam blognya : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak? Beliau kemudiannya berkata :


Sebagai menyahut pertanyaan Tun tersebut, saya sediakan artikel ringkas ini memberikan input kepada beliau dan mereka yang masih tertanya-tanya.

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan secara ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.

Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 - 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alkohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alkohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

(Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain 'menelan' arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak' sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB' sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri'?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dan lain-lain negara aktif arak.

HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a.w

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

"Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan" (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث

Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawapannya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم

Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :

أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi

كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين

Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4. Hadis Nabi :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi

أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال

Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jika dikatakan, itu semuadari hadis, maka apakah pula dalil al-Quran yang menyuruh? jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur'an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta'zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta'zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta'zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta'zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta'zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta'zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta'zir dan bukan hudud. Wallahu'alam.

2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta'zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta'zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta'zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

SEJAUH MANA SEBATAN INI ADIL?

Pertama

Jika ia benar-benar hudud dan termasuk dalam hak Allah swt, tidak layak manusia yang hina untuk mempersoalkan tentang keadilan, kerana Allah swt sentiasa adil walau menghumban sesorang manusia ke nerakaNya. Allah tetap adil walau Dialah yang menyesatkan sekumpulan manusia dan memberi hidayat kepada sebahagian yang lain. Kerana apa adil? Kerana piawan adil Allah tidak sama dengan manusia yang dicipta. Keadilan Allah adalah kerana dia yang mencipta kita, dan Dia berhak untuk menentukan apa sahaja yang diinginiNya. Jika kita merasakan Allah tidak adil menyesatkan sekumpulan manusia, maka individu tersebut perlu memulangkan nyawa yang Allah berikan kepada mereka dan beredar dari galaksi ciptaan Allah swt ini ke sebuah alam ciptaan sendiri.

Kedua

Sebatan ini, tidak zalim sama sekali kerana ia bukan bertujuan menyakitkan seperti sebatan ekor pari yang menghakis kulit, daging dan sampai ke tulang. Sebatan ini hanyalah untuk pengajaran, seperti denda cikgu kepada muridnya, ibu kepada anaknya atas tujuan mengajar, atas asas belas kasihan dan bukan dendam kesumat dan ‘geram' memukul.

Hasilnya, pelbagai displin sebatan telah ditentukan dalam hukum Islam iaitu [9] :-

  • Tidak boleh dipukul wajah dan kemaluan.[10]
  • Alat yang digunakan mestilah tidak besar, bukan tongkat yang besar, ia adalah seperti dahan dan ranting sederhana sahaja.
  • Tidak diharuskan si pemukul mengangkat tanganya melebihi paras ketiaknya, atau tidak boleh terlihat bawah lengannya semasa mengangkat pemukul, dan pukulan tidak terlalu menyakitkan, tidak pula terlalu perlahan.
  • Yang diangkat adalah sikunya sahaja dan bukan lengan.
  • Lelaki disebat secara berdiri, wanita secara duduk.

Adakah jenis pukulan yang sebegini pun dianggap zalim? Jika demikian guru-guru sekolah, ibu bapa, suami memukul, adalah lebih zalim kerana hukumannya tidak dibicarakan di mahkamah.

Bagi saya, jika hukuman sebegini pun masih zalim, tentunya yang menuduh ia zalim itu akan jadi lebih zalim kerana bercakap dan mengkritik tanpa ilmu.

Ketiga

Sejauh mana pula adilnya orang luar seperti Tun Dr Mahathir dan yang lainnya, mempertikaikan hak seorang hakim dalam membuat keputusan?.

Bukankah sang hakim lebih berhak menentukan hukuman yang paling adil disebabkan beliau berada sepanjang sesi perbicaraan dari kedua-dua belah pihak, mendengar pandangan kesemua pembela dan pendakwa. Justeru, adalah TIDAK ADIL bagi orang di luar mahkamah untuk mengkiritk sewenangnya keputusan hakim, sedangkan mereka tidak mempunyai gambaran sebenar di sebalik sesebuah kes. Mungkin sahaja, si pesalah sendiri redha dan ingin hukuman dilaksanakan. Justeru itulah keadilannya.

Keempat

Bukankah keputusan hakim patut dihormati sebagai menunjukkan autoriti badan kehakiman dari sebarang gangguan luar?. Kita kerap mendengar di mahkamah civil bahawa sebarang keputusan mahkamah tidak boleh dikritik terbuka sama ada di dalam mahkamah atau diluarnya, kerana akan termasuk di dalam kesalahan ‘menghina mahkamah' (contempt of court), lalu mengapa pula pihak yang kurang maklumat di luar ini dengan senang dan mudah mengkritik keputusan mahkamah Syariah?.

Kelima

Di dalam Islam, adil atau tidak bukan terletak pada logik aqal manusia semata-mata, namun adil yang sebenarnya adalah melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah swt dan baginda Nabi s.a.w. Kalau dalam konteks kes ini, pesalah juga telah bersedia menjalani hukuman tersebut sebagai satu proses kesedaran dirinya. Adilkah kita mempersoalkan hak pesalah untuk mendapat hukuman.?

KESIMPULAN

Sebagai kesimpulan kepada beberapa jawapan kepada persoalan yang diutarakan oleh Tun Dr Mahathir.

  • DR. M : Tetapi benarkah hukuman ini tepat bagi jenayah minum arak?

Ye, benar, bukti-bukti berkenaan wujudnya hukuman ini bersumberkan hadis-hadis yang sohih.

  • DR. M : Apakah ada larangan dalam Islam untuk mengkanunkan undang-undang syariah?

Di dalam Islam, tiada larangan sama sekali, malah digalakkan bagi mencapai keseragaman dalam keputusan hakim.

  • DR. M : Jika Kerajaan tidak mengkanunkan undang-undang syariah melalui proses perbahasan dan kelulusan oleh dewan-dewan undangan, atau melalui fatwa oleh ulama-ulama, bolehkah tulisan-tulisan ulama tertentu dijadikan asas hukum mengikut pendapat hakim?

Ini saya tidak pasti, memang sepatutnya tidak boleh hakim menjatuhkan hukuman tanpa undang-undang itu dikanunkan, cuma saya tidak pasti mengapa ia belum dikanunkan. Sepatutnya sesebuah kerajaan negeri bertanggungjawab untuk mengkanunkannya. Namun sebelum ia dikanunkan, pertikaian yang diutarakan oleh Tun memang relevan dalam konteks hukum dunia, namun adalah salah di sisi Islam, kerana semua hukum Islam sepatutnya dikanunkan.

Mahkamah ini pula adalah mahkamah Syariah yang khusus untuk hal ehwal orang Islam dan bukannya mahkamah sivil. Justeru apa ertinya sebuah mahkamah dinamakan ‘SYARIAH' jika keputusan yang berlandaskan hukum Islam juga tidak boleh dilaksanakan.? Jika demikian, tiada erti nama ‘syariah' pada sebuah mahkamah Syariah lagi.

  • DR.M : Dalam Al-Quran terdapat 43 ayat yang menegaskan; "Apabila kamu hukum, hukumlah dengan adil". Apakah mungkin seorang hakim itu tidak adil ataupun tersilap dalam pertimbangannya? Apakah tidak ada dalam Islam belas kasihan bagi yang bersalah buat kali pertama?

Lebih zalim yang mengkritik tanpa ilmu. Hukuman ini adalah adil atau tidak telah diulas di atas, dan ia juga tertakluk kepada penentuan sama ada hukuman sebat peminum arak adalah hudud atau takzir.

  • DR. M : Sudahkah kita rujuk kepada Al-Quran berkenaan dengan minum beer (arak) dan hukuman yang perlu dikenakan supaya keadilan tercapai?

Oleh kerana dirujuk kepada hukum al-Quran dan Hadis nabi, hukuman tersbeut patut dijalankan. Kerna arak terbukti merosakkan umum dan bukan hanya individu terbabit semata-mata. Cuba lihat dan fahami statistik yang disertakan di atas.

  • DR. M : Saya harap pihak-pihak yang pakar dalam perkara ini dapat menunjuk ayat-ayat Al-Quran dan kitab-kitab yang dirujuk oleh hakim apabila hukuman ini dijatuhkan.

Jika seseorang itu berkefahaman sesat 'anti hadis', sudah tentu hanya akan mendakwa tiadanya ayat Quran yang specifik sebagai alasan, namun terlalu banyak ayat-ayat al-Quran yang menjelaskan keperluan untuk taat dan mengikuti Rasulullah, bagaimana cara taat? tidak lain dengan merujuk kepada sumber perincian ayat-ayat Al-Quran yang biasanya bersifat umum, sumber itu adalah hadis-hadis Nabi. Tidak menerima Hadis bermakna seseorang itu tidak menerima Al-Quran. Gelaran yang tepat bagi kumpulan yang tidak meyakini hadis, sebenarnya bukan kumpulan 'anti hadis' tetapi golongan anti 'Al-Quran dan Hadis' sekaligus.

Kalaulah semua hadis itu tidak boleh dipercayai sebagaimana dakwaan kumpulan sesat 'anti hadis (& Quran) tadi,' bagaimana mungkin boleh wujud ayat-ayat Al-Quran seperti di bawah yang menyuruh kita mengikut Rasulullah? Sudah tentu akan berlaku kontradiksi, dan mustahil Allah akan mengarahkan kita kepada sesuatu perkara yang mustahil atau di luar kemampuan untuk diikuti.

Kerana itu jelas bahawa apabila Allah memberitahu bahawa Allah menjaga Al-Quran, maka yang termasuk juga di dalam peliharaan Allah adalah hadis-hadis. Kerana itu sehingga hari ini, kita dapat lihat sistem yang sangat terperinci dalam tapisan sesebuah hadis.

Dalam konteks sebatan ini, ayat-ayat yang menjadi sumber hukumannya merujuk kepada semua ayat-ayat yang mengarahkan kita untuk patuh kepada Nabi s.a.w dan mencontohinya, itulah satu-satunya jalan selamat dan diredhai Allah swt . Sebagai contoh ,ayat nya adalah dari Surah Al-Imran ayat ke- 31

Ertinya : Katakanlah: "Jika kamu (benar-benar) mencintai Allah, ikutilah aku, niscaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosamu." Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. ( Ali- Imran : 31 )

dan sebuah ayat lagi :-

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalilah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya. ( An-Nisa : 59)

Jadi bagaimana ingin mengikuti dan merujuk kepada Rasul dalam konteks hukuman bagi peminum arak ini?. Jawapannya sekali lagi, iaitu dengan merujuk kepada hadis-hadis baginda Nabi. sebahagiannya telah disebut di atas. Manakala kitab-kitab rujukannya boleh rujuk senarai kitab yang dirujuk di dalam nota kaki artikel ini. Itulah kitab-kitabnya. Jika mahu melihat gambar kitabnya, saya sertakan salah sebuah darinya yang amat penting. Semoga dapat membacanya dengan faham.

AKHIRNYA DIHARAP TUN DR MAHATHIR SUDI UNTUK MEMBACA ULASAN DAN JAWAPAN SAYA KEPADA SOALAN-SOALAN BELIAU INI.

Semoga beroleh manfaat, sekian

Zaharuddin Abd Rahman

http://www.zaharuddin.net/

5 Ramadhan 1430 H

26 Ogos 2009

9.8.09

Suspek pengganas Noordin Mohammed Top dibunuh: TV


Ogos 8, 09 11:16am
Suspek pengganas Noordin Mohammed Top dilaporkan terbunuh apabila pasukan polis tindakan khas menyerbu tempat penyembunyiannya di Jawa Tengah selepas mengepungnya selama 17 jam sejak semalam.
Stesen televisyen tempatan - Metro TV - berkata dia terbunuh dalam operasi tersebut, tetapi pihak polis belum mengesahkan laporan tersebut, dan hanya mereka mereka percaya Noordin adalah salah seorang daripada empat penghuni sebuah rumah yang diserbu di Jawa Tengah itu.

Wartawan AFP berkata, dia nampak sekurang-kurangnya tiga mayat dibawa keluar dari rumah tersebut dan pihak polis pula dilaporkan berjabat tangan sesama mereka meraikan kejayaan tersebut, apabila muncul dari rumah berkenaan selepas berjam-jam bertempur dan bunyi letupan.

Polis juga mengumumkan penangkapan lima orang yang dipercayai rakan Noordin dan kematian dua orang lagi yang dipercayai pengebom berani mati, dalam satu lagi serbuan di sebuah rumah di luar Jakarta.

Pasukan polis tersebut menyerbu ke tempat persembunyian itu di Jawa Tengah selepas mengepungnya sejak semalam, ekoran dua insiden pengeboman hotel di Jakarta bulan lalu yang mengorbankan tujuh orang.

Noordin yang dilahirkan di Malaysia dan berusia 40 tahun, dipercayai menjadi dalang serangan tersebut serta tiga insiden pengeboman berani mati terhadap sasaran rakyat Barat di Indonesia yang mengorbankan 40 orang dan beratus lagi cedera.

Polis mengepung rumah tersebut sejak petang semalam selepas menangkap dua orang dekat sebuah pasar yang dilaporkan bersaudara dengan penyewa rumah tersebut.

Serbuan tersebut merupakan kemuncak siri operasi dan penangkapan untuk mengesan Noordin - orang yang paling dikehendaki selepas serangan bom pada 17 Julai lalu di Hotel Marriot dan Ritz-Carlton.

'Jangan benarkan internet ditapis'

Internet tidak perlu ditapis dalam apa cara sekalipun, dan salah untuk melakukannya walaupun ada perkara yang perlu dikawal, tegas bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sebagai contoh, terlalu banyak keganasan datang melalui internet. Itu, saya rasa, kita ada hak untuk tidak membenarkannya," katanya selepas berucap pada sidang kemuncak pemimpin pelajar Malaysia di Kuala Lumpur semalam.

Menurut Bernama, beliau berkata semasa pentadbirannya, apabila kerajaan memulakan Koridor Raya Multimedia (MSC), beliau memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan menapis internet.

"Jadi mungkin ia jaminan yang saya beri ketika zaman saya. Saya tidak tahu sama ada ia akan dipegang oleh kerajaan sekarang," beliau dipetik berkata.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim kelmarin berkata kerajaan akan mengkaji untuk meletakkan tapisan pada internet bagi menghentikan akses kepada laman web yang tidak dikehendaki.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak bagaimanapun berkata kerajaan tidak berhasrat untuk mengawasi dan menapis kandungan internet kerana langkah itu bukan hanya tidak berkesan tetapi juga akan menyebabkan rakyat tidak berpuas hati.

Polis tak dapat sah kematian Noordin Mat Top


Ogos 9, 09 1:43pm
Ketua Polis Indonesia Bambang Hendarso Danuri mengaku belum dapat mengesahkan bahawa lelaki yang mati ditembak di Temanggung,
Jawa Tengah semalam adalah pengganas rakyat Malaysia Noordin Mat Top, walaupun media tempatan melaporkan bahawa keluarga Noordin akan datang ke Indonesia.

Bambang berkata polis hanya akan dapat membuat pengesahan indentiti sebenarlelaki yang ditembak mati dalam serangan polis ke atas sebuah rumah di Desa Kedu semalam setelah ujian DNA dijalankan.

Jenazah lelaki itu kini ditempatkan di Hospital Polis di Jakarta untuk pemeriksaan lanjut, lapor Bernama.

Sementara itu, Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta ketika dihubungi berkata mereka belum mendapat sebarang maklumat dari pihak berkuasa Indonesia mengenai isteri dan tiga anak Noordin yang dikatakan akan datang dari Johor.

Lelaki yang disyaki Noordin itu mati ditembak dalam 'Operasi Tiga Serangkai' yang menurut Bambang dijalankan sejak petang Jumaat.

Selain di Temanggung, polis juga menembak mati dua lagi lelaki yang juga dipercayai pengganas dan merampas beratus kilogram bahan letupan di tempat kejadian.

Media Indonesia hari ini memaparkan besar-besaran berita berkenaan di samping heboh memperkatakan bahawa sasaran terbaru kumpulan pengganas di Indonesia kini ialah Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Ketua Polis Indonesia itu berkata Susilo dijadikan sasaran untuk dibom di kediaman peribadinya di Cikeas, Bogor pada Hari Kemerdekaan Indonesia 17 Ogos ini.

Bagaimanupun, beberapa pihak termasuk ulama Abu Bakar Ba'asyir meragui laporan yang menganggap serbuan terbaru itu sebagai satu kejayaan polis.

Menurut ulama itu ia sebenarnya bagi menutupi kegagalan polis yang sudah bertahun-tahun gagal menangkap Noordin.

Noordin dan seorang lagi rakyat Malaysia Dr Azahari yang sudah ditembak mati beberapa tahun lalu merupakan dua pemimpin kelompok pengganas yang paling dikehendaki di Indonesia kerana dikatakan menjadi dalang dan pakar bom serta berkeupayaan memikat anak-anak muda Indonesia untuk menjadi pengebom berani mati termasuk pengeboman di Hotel J W Marriott dan Ritz Carlton di Jakarta pada 17 Julai lalu.

2.8.09

Sayang Malaysia Negara Polis

Hari ini (1 Ogos 2009) buat kali pertama dalam sejarah hidup saya, saya menjadi mangsa bom gas pemedih mata. Pedih sungguh mata dan hati saya! Inilah pengalaman saya berhimpun dan berarak bersama dengan berpuluh ribu rakyat Malaysia di Kuala Lumpur. Ia benar-benar membuka mata saya di samping memberi banyak pengajaran.

Saya amat terkejut kerana tidak menyangka betapa kejamnya polis bertindak terhadap rakyat yang hanya berhimpun dan berjalan secara aman. Rakyat hanya mahu meluahkan perasaan tentang buruknya Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang perlu dimansuhkan secepat mungkin. Rakyat kita tidak membawa senjata, mereka hanya membawa anak-anak untuk menyedarkan warga kecil betapa kejamnya ISA.

Lelaki, perempuan, tua dan muda, pelbagai kaum, bermacam agama, semuanya berhimpun secara aman di ibu kota. Hak untuk berhimpun secara aman adalah hak asasi rakyat. Tapi nampaknya hak yang dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan ini sudah tidak ada guna lagi. Hak kita sudah hancur kerana polis yang bersenjata, yang berkuasa penuh, yang sombong dan angkuh, kini telah menentukan hak kita.

Bila polis kata perhimpunanan itu haram, maka kita semua yang berhimpun atas dasar kebebasan dan hak yang telah dijamin oleh Perlembagaan Persekutuan, telah menjadi mangsa kekerasan polis. Ya, polis yang mengaku diri sahabat rakyat, kini menunjukkan belang sebenar mereka. Tak sangka, dengan sedikit kuasa itu, mereka sudah merasakan diri seperti Fira’un.

Saya sebagai warga Malaysia yang prihatin telah turut sama menyertai perhimpunan aman ini. Tapi saya bersama dua anak saya dan kawan-kawan lain tak tahu ke mana mahu dituju kerana polis telah tutup banyak jalan. Kami hanya mahu ke Istana Negara untuk menyaksikan penyerahan memorandum anti-ISA.

Kami telah tersepit di sebatang jalan dekat Masjid Negara. Ramai yang berarak menghala ke Jalan Kuching ke arah Selangor Club, kami pun ikut sama. Niat kami hanyalah untuk bersama-sama orang ramai menunjukkan sokongan. Tetapi bila sampai sahaja di belakang Selangor Club, polis dengan ganasnya telah menyembur gas pemedih mata dan menggunakan pancutan air tekanan tinggi. Lintang-pukang orang berlari. Saya pun tunggang-langgang lari.

Polis kemudian meminta orang ramai bersurai. Tetapi ke mana nak bersurai kerana semua jalan sudah ditutup. Tak ada cara lain kecuali patah balik ke arah Masjid Negara. Saya pun bersedia untuk bersurai. Tapi bila sampai dekat dengan Masjid Negara, ada pula sekatan jalan polis. Di situlah saya lihat orang ramai angkat tangan supaya polis membenarkan mereka bersurai ke arah bagunan Dayabumi.

Saya juga angkat tangan kerana kami memang nak bersurai. Ada dua orang wanita tua bersama saya yang merah serta berair mata mereka di samping terbatuk-batuk akibat bom gas pemedih mata. Seorang peserta lelaki yang cacat anggota dengan crutches nya tidak dapat lari. Saya tak tahu apa nasib manusia berani ini. Kasihan saya melihat mereka semua.

Rupa-rupanya polis sudah berniat jahat. Tanda angkat tangan tidak ada erti kepada mereka. Walau pun melihat ramai antara kami yang sudah mahu bersuara, polis terus melepaskan bom pemedih mata. Saya dapat lihat wajah-wajah polis berkenaan, kebanyakannya orang Melayu, yang penuh benci dan kesumat dendam.

Maka terpaksa lagi kami berlari elakan diri. Tapi nak ke mana lagi? Di Jalan Kuching dekat Selangor Club pun polis sudah melemparkan bom pemedih mata. Bom dari canisters yang tidak ada jenama kata kawan saya. Bererti bom jenis buatan haram. Dinegara kita apa pun boleh dilakukan Ramai orang termasuk saya terpaksa lari masuk ke dalam hutan kecil berhampiran Jalan Kuching dengan melompat pagar bangunan di situ.

Mujur juga ada pengawal keselamatan di situ yang baik hati yang telah melepaskan kami keluar dari perkarangan bangunan tersebut. Semoga Allah membalas budi baiknya. Di sana barulah kami dapat keluar untuk bersurai. Masa itu mata kami semua sudah merah, suara parau dan seluar koyak akibat terpaksa melompat pagar. Saya pun baru sedar bila sudah berumur begini lutut sudah tidak sekuat waktu muda dulu.

Memang jelas hak dan kebebasan kita semakin terhakis. Apa yang polis lakukan dengan cara mengepung orang ramai yang hanya mahu berhimpun secara aman dan membelasah mereka dengan semburan air dan bom pemedih mata adalah untuk menunjukan kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional tidak peduli dengan kehendak dan keperluan rakyat.

Mereka mahu mengajar rakyat Malaysia bahawa era Pak Lah yang mahu mencuba membuka ruang kebebasan sudah tidak wujud lagi. Ini era Najib yang tak mahu dengar dan tak terima pandangan rakyat.

Bagi polis yang jelas bekerjasama dengan UMNO dan Barisan Nasional, mereka mahu rakyat takut kepada mereka. Mereka tidak mahu kita di Malaysia bebas seperti Indonesia dan Filipina yang memberi rakyat peluang bersuara dan berhimpun secara aman.

Mereka mahu semua rakyat sedar bahawa Malaysia adalah Negara Polis seperti Myanmar. Sesiapa yang berhimpun dianggap bersalah kecuali mereka yang berhimpun untuk menyokong Najib dan pemimpin UMNO yang lain. Inilah mesej 1Malaysia ciptaan Najib yang memberi amaran kepada rakyat bahawa kekerasan akan digunakan pada bila-bila masa sahaja demi mengekalkan kuasa.

Tapi rakyat Malaysia termasuk saya juga ingin menyampaikan berita kepada Najib. Kita akan berkorban apa saja untuk menentang kekejaman dan kezaliman. Kita yakin kita di pihak yang benar kerana kita menentang salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah. Kuasa rakyat akan menang juga suatu hari nanti di negara Malaysia yang tercinta ini, InsyaAllah.

Luahan Zaid Ibrahim Dalam Postingnya bertajuk “Sayang malaysia negara polis”

http://myzaidibrahim.wordpress.com

Bukti Keganasan POLIS!! (Singgahsana)

Ahad, 2009 Ogos 02


Kanister Gas Pemedih Mata Yang Dilepaskan Secara Tepat...

Peluit:

Kesan ini akan baik, cumanya kesan di hati rakyat begini bagaimana mungkin terhakis. Dia mesti terfikir kenapa & mengapa dia mendapat musibah yang sebegini. Di satu pihak mengatakan ini adalah lantaran degil & bantahan menghadiri penghimpunan haram. Padan muka.

Di satu pihak pula akan mengatakan ini adalah perhimpunan aman kenapa pula Polis mendera kami kami tidak pun berbekal sentaja atau sebarangan ancaman. Lawan tetap lawan.

Yang nyata sekarang semua kita telah menyaksi perkara sebegini terusan berulang. Sampai bila?.

Yang punya diri yang pernah terkena semburan air kimia & musibah begini rasanya amat payah mengakui yang dianya dipihak yang salah. Di jiwanya pasti akan mengatakan aku tetap terus berjuang demi menegakkan keadilan. Selagi sinar keadilan itu tidak ujud selagi itu semua ini akan terus berulang. Bagaimana mungkin mahu menyekatnya.