Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

25.7.09

Wanita MCA desak daftar bayi sebagai anak Teoh


Jul 22, 09 4:20pm
Wanita MCA menggesa kerajaan supaya membenarkan anak yang sedang dikandung oleh tunang Teoh Beng Hock, didaftarkan dengan nama Teoh sebagai bapanya, bila dilahirkan kelak.

Peraturan sekarang mewajibkan kehadiran bapa kandung untuk pendaftaran kelahiran apabila seseorang anak dilahirkan.

Jika tidak, sijil kelahiran anak tersebut akan hanya mengandungi maklumat mengenai ibunya sahaja.

"Dengan mengambil kira persekitaran kematian Teoh dan demi peri kemanusiaan, Wanita MCA menggesa menteri dalam negeri supaya membenarkan anak yang bakal dilahirkan itu, didaftarkan dengan nama bapanya," kata Ketua Wanita MCA, Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mayat Teoh yang juga setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, ditemui tengahari Khamis lalu, selepas disoal siasata oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di negeri itu.

Dalam kenyataan hari ini, Chew berkata, Jabatan Pendaftaran Negara harus mendaftar kelahiran anak Teoh dengan menamakan Teoh sebagai bapanya.

"Tambahan pula, pasangan tersebut telahpun memaklumkan kepada kaum keluarga dan sahabat handai mengenai rancangan untuk mendaftar perkahwinan mereka pada 17 Julai 2009," tambanya.

Oleh itu, kata Chew, ia adalah satu ketidakadilan terhadap anak yang bakal dilahirkan itu, jika didaftar dengan nama ibunya sahaja.

"... dan anak yang tidak bersalah itu, akan menanggung stigma tersebut sepanjang hidupnya.

"Pada bila-bila masa pun, hak seorang anak mendapatkan kerakyatan dan identiti harus dihormati dan dilindungi," tambahnya.

Sehubungan itu, katanya, Wanita MCA dan pasukan petugas kewarganegaraan MCA akan mengkaji undang-undang sedia ada berkaitan dengan soal kerakyatan dan kelahiran.

Syor-syor mengenainya, kata Chew, akan dikemukakan dalam memorandum yang akan diserahkan oleh Wanita Umno kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Kami tidak bermusuh dengan Sultan - MB Nizar

Ekmal Yusof
Fri | Mar 06, 09 | 4:28:43 pm MYT

KUALA KANGSAR, 6 Mac (Hrkh) � "Jangan sekali-kali tuduh kami mengkhianati Sultan. Kami tidak pernah memusuhi baginda, oleh itu tiada sebab kami menaruh kebencian terhadapnya.

"Musuh kami bukan Sultan. Musuh kami bukan Istana, tetapi Najib Tun Razak,� kata Menteri Besar Perak, Dato� Seri Mohammad Nizar Jamaluddin semasa berceramah dalam rangka lawatannya ke seluruh negeri Perak di Sayong Tengah dekat sini kelmarin.

Tegasnya, Najib bersama Umno-Barisan Nasional yang telah mengkhianati Sultan menggunakan "kuasa Istana" untuk merampas Kerajaan Pakatan Rakyat Perak yang sah dari tangan rakyat.

Katanya, Najiblah yang merobek, merompak tiga orang Adun Pakatan Rakyat dan menimbulkan kemelut krisis antara Sultan dengan rakyat Perak.

"Padahal semasa kami memerintah hampir sebelas bulan Pakatan Rakyat Perak, hubungan saya dengan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah cukup intim di mana pada setiap minggu saya datang mengunjungi baginda. Begitu juga kemeseraan saya dengan Raja Muda Perak, Raja Dr Nazrin Shah cukup baik," tegasnya.

Kerana itu, kata Nizar, mereka cemburu. Mereka tidak sanggup melihat pimpinan Kerajaan Pakatan Rakyat Perak menguruskan kerajaanya dengan baik yang dapat diterima oleh Sultan dan pelbagai keturunan rakyat.

Katanya, Umno-BN tidak sanggup melihat kempimpinan kami begitu menarik diterima rakyat berteraskan konsep tugasan dengan keadilan, ketelusan dan kebajikan.

Sehubungan itu Nizar menyeru saki-baki ahli Umno supaya keluar daripada kerajaan haram sekarang dan masuk Pakatan Rakyat, kerajaan yang sah di sisi undang-undang.

"Jangan sokong kerajaan haram, Dun haram, Exco haram," tegas Nizar. - mns

Kes Teoh: Mahfuz persoal percanggahan kenyataan Abdul Gani

Abdul Aziz Mustafa
Sat | Jul 25, 09 | 1:55:03 pm MYT

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar menuntut Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail menjelaskan adakah suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1999 lalu mematuhi undang-undang negara.

"Abdul Gani menekankan bahawa "kita mesti mematuhi undang-undang negara" ketika memberikan kenyataan berkenaan inkuiri berhubung kematian Teoh Beng Hock mengikut Kanun Acara Jenayah

Beliau juga menyatakan bahawa Seksyen 2 Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 jelas merujuk kepada siasatan terhadap tatalaku dan pengurusan pegawai-pegawai dan jabatan-jabatan kerajaan atau bagi kebajikan awam.

"Bagaimanapun, bidang tugas suruhanjaya penyiasatan bagi menyiasat kecederaan yang dialami oleh Anwar dahulu dengan jelas menyatakan tujuannya adalah untuk menyiasat dan mengkaji kecederaan ke atas Anwar yang dialaminya semasa dalam tahanan polis dengan tujuan menentukan sebab kecederaan itu berlaku dan mengenal pasti siapa yang bertanggungjawab serta bersubahat menyebabkan kecederaan tersebut," katanya.

Beliau mempersoalkan, jika suruhanjaya menyiasat kecederaan Anwar dahulu boleh menyiasat sebab kecederaan itu berlaku, mengapa pula sekarang tidak boleh ditubuhkan suruhanjaya menyiasat bila, di mana, dan bagaimana Teoh mati dan juga sama ada mana-mana orang terlibat secara jenayah yang menyebabkan kematian itu?

"Jika sekarang tidak boleh menyiasat punca kematian Teoh, tentulah dahulu juga tidak boleh menyiasat sebab berlakunya kecederaan Anwar. Mengapa ada percanggahan?

"Adakah Peguam Negara bersetuju bahawa bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor boleh mendakwa suruhanjaya yang menyiasat kecederaan Anwar itu tidak "mematuhi undang-undang negara" dan beliau boleh mencabar keabsahan penubuhan serta keputusan suruhanjaya itu?" soal Mahfuz.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu juga mempersoalkan mengapa kerajaan takut hendak memberi kuasa kepada suruhanjaya yang ditubuhkan itu untuk menyiasat punca kematian Teoh?

"Kenapa takut hendak memberi hak kepada suruhanjaya di raja menyiasat punca kematian Teoh?

"Semakin ramai yang menuduh kerajaan cuba menyembunyikan sesuatu serta melindungi Suruhanjaya Pencegahan Rasuh Malaysia (SPRM) berdasarkan skrip yang diilhamkan oleh golongan tidak waras yang sanggup melakukan apa sahaja untuk membantu puak mereka melakukan kezaliman.

"Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pula tidak kelihatan berkemampuan menyangkal tuduhan itu," katanya.

Mahfuz berkata, tindak-tanduk Abdul Gani selama ini yang sering memutuskan sesuatu siasatan itu tidak ada kes menimbulkan lebih banyak keraguan terhadap inkuiri yang ditubuhkan itu.

Antara lain, Abdul Gani sebelum ini menyatakan tidak ada kes dalam dakwaan rasuah ke atas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Musa ketika itu didakwa menerima sogokan sebanyak RM2.1 juta sebagai habuan bagi melepaskan kumpulan gangster.

"Kita juga merasa amat bimbang kerana inkuiri hanya dikendalikan oleh seorang majistret sedangkan majistret pula berada di bawah Jabatan Peguam negara.

"Kalau sebelum ini hakim mahkamah tinggi seperti Datuk Muhammad Kamil Awang boleh mendedahkan beliau diarah menerusi telefon agar petisyen pilihan raya Likas ditolak tanpa perbicaraan, apa jaminan seorang majistret tidak boleh diarah untuk melakukan perkara-perkara yang pelik?" soal beliau.

Jabatan Peguam Negara pula pernah mengemukakan pertuduhan yang dipertikaikan dalam kes Anwar dahulu di mana tarikh diubah dan tempat yang belum wujud didakwa sebagai tempat berlakunya perbuatan jenayah, katanya.

Sebab itulah, kata Mahfuz, siasatan yang dianggap berwibawa ke atas punca kematian Teoh hanya boleh dijalankan oleh suruhanjaya di raja.

"Wang rakyat tidak sepatutnya dibazirkan untuk menubuhkan badan siasatan yang tidak dipercayai oleh majoriti rakyat," katanya lagi.

Kes lilin: PAS Selangor minta jangan kelirukan masyarakat

Nyza Ayob
Sat | Jul 25, 09 | 10:37:48 am MYT

KUALA LUMPUR, 25 Julai (Hrkh) - PAS Selangor menggesa mana-mana pihak agar tidak cuba mengelirukan masyarakat berhubung isu Ahli Parlimen Bukit Gantang, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin menyalakan lilin sebaliknya terus berusaha meningkatkan martabat keadilan dan ketelusan di negara ini yang semakin tercemar selepas insiden kematian Teoh Beng Hock.

Setiasusaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Mohd Khairuddin Othman menegaskan bahawa acara menyalakan lilin bukanlah termasuk di dalam ibadat mahupun pemujaan agama, sebaliknya merupakan adat kaum Cina serta penzahiran simbolik bantahan terhadap SPRM.

Jelas Khairuddin, PAS Selangor memahami bahawa tindakan Mohammad Nizar adalah sebagai menyatakan simpati dan protes terhadap kematian msiteri Beng Hock semasa berada dalam tahanan SPRM.

Beliau menegaskan PAS Selangor menghormati dan meraikan budaya bangsa lain termasuk menyalakan lilin sebagai tanda bantahan.

Sebelum ini, isu Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin menyalakan lilin menimbulkan reaksi pelbagai pihak apabila Menteri Besar Perak, Dato' Zambry Abdul Kader meminta ulama PAS mengeluarkan fatwa tentang tindakan Nizar itu. - mns_

Penulis blog jangan baling batu sembunyi tangan: MB Selangor

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata pihak yang mempunyai dakwaan berhubung sesuatu penyelewengan perlu bertanggungjawab melaporkannya kepada pihak berkuasa dan bukan setakat mendedahkan dakwaan itu di dalam blog.

Abdul Khalid berkata penulis blog mesti bertindak secara 'gentleman' dengan mendedahkan identiti mereka dan bukan 'baling batu sembunyi tangan'.

Beliau berkata kerajaan negeri mengalu-alukan tindakan (melaporkan) itu bagi membuktikan kesahihan dakwaan.

"Kalau berlaku penyelewengan, tanggungjawab masyarakat bukan menulis dalam blog saja tetapi bawa ke pihak yang perlu ambil tindakan. Saya memang galakkan usaha itu tetapi pada saya ada kalanya cerita dalam blog tidak semestinya seratus peratus benar," katanya dalam sidang media selepas merasmikan Pesta Buku Negeri Selangor 2009 di sini hari ini.

Abdul Khalid diminta mengulas dakwaan sebuah laman blog yang mendedahkan dakwaan penyelewengan seorang Exco Selangor yang mempunyai kaitan dengan kematian Teoh Beng Hock.

Laman blog http://www.t4tbh.blogspot.com dalam pendedahannya mendakwa berlaku penyelewengan lebih 300 projek kecil bernilai ratusan ribu ringgit di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Exco terbabit.

Penulis blog itu yang hanya mahu dikenali sebagai ‘T4TBH’ atau ‘Truth for Teoh Beng Hock turut mendakwa Teoh telah meninggalkan salinan bukti berupa senarai lebih 300 projek kecil itu.

Abdul Khalid berkata ada laman blog yang diwujudkan bertujuan untuk memberi satu pandangan buruk kepada pihak yang disasarkan dan beliau berharap setiap penulis blog mempunyai etika tertentu supaya maklumat yang dikemukakan sahih.

Ditanya sama ada kerajaan negeri akan menyiasat dakwaan laman blog itu, beliau berkata: "Kita pantau. Kalau betul dakwaan benar-benar berlaku kita ambil tindakan tetapi sekarang kita harap bloggers jangan jadi agen kepada pihak tertentu kerana mereka (bloggers) dianggap kumpulan yang hormati 'press freedom' (kebebasan akhbar) dan keadilan kepada masyarakat".

"Kita bagaimanapun tidak akan mencari identiti penulis blog ini kerana ia ternyata membuang masa. Kita mesti terima hakikat bila kita adakan 'an open and transparent society' kita akan hadapi keadaan ini tetapi rakyat sendiri punya fikiran matang dan mereka boleh nilai yang mana betul dan yang mana tidak betul," katanya. - Bernama

24.7.09

Suruhanjaya Diraja: Peluang Terbaik Himpit Najib Ke Dinding

Posted on Friday, July 24 @ 18:00:00 PDT by KetamBatu
Artikel Oleh: professor

"BANGI 24 Julai - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, fungsi Suruhanjaya Diraja bagi menyiasat punca kematian Setiausaha Politik kepada seorang Exco Selangor, Teoh Beng Hock tidak akan diperluaskan

Perdana Menteri berkata, Suruhanjaya itu akan kekal seperti yang telah beliau umumkan kerana ia selaras dengan peruntukan undang-undang manakala punca kematian Beng Hock akan diketahui menerusi inkues khas.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan Dasar Teknologi Hijau Negara di sini hari ini. – Utusan

Ulasan

Ini adalah peluang terbaik untuk Pakatan Rakyat , bukan bermaksud untuk memperalatkan kematiian Teo Beng Hock , tetapi bagi tujuan mengekalkan momentum tuntutan rakyat dan juga keluarga mendiang , supaya skop penyiasatan ditumpukan kepada punca kematian.

Ini adalah peluang terbaik untuk memberikan satu daya tujahan ke atas parti UMNO dan kerajaan BN , kerana ketakutan mereka dalam menangani isu ini ketara sekali seperti permintaan Muhyidin supaya suruhanjaya diraja dihormati Sila KLIK di sini

ni juga merupakan satu cara untuk terus mengekalkan tekanan politik ke atas UMNO yang selama ini menjadi punca kepada semua masalah dalam Negara , samada ekonomi , politik , pendidikan , agama dan sebagainya.

Antara Michael Jackson & Syahidah Marwa ash-Sharbini

Posted on Friday, July 24 @ 20:30:00 PDT by KetamBatu
Artikel Oleh IbnuMustafa

Sedih & Pilu.. Itulah yang saya rasakan ketika melihat tayangan pengkebumian the King of Pop, Michael Jackson atau lebih dikenali dengan panggilan Jacko yang begitu gegap gempita di seluruh television kita sepanjang hari. Beberapa stesyen tv menayangkan tayangan eksklusif secara langsung dari AS acara penghormatanterakhir bagi si Raja Muzik Pop sampai ke pagi! Dan entah berapa juta mata masyarakat Malaysia yang sanggup menahan ngantuk demi menyaksikan acara itu.

Saya sedih, bukan kerana kematian MJ yang dipuja jutaan orang di dunia. Tetapi saya sedih, kerana pada saat yang sama, berlangsung pengkebumian seorang muslimah yang InsyaAllah menjadi seorang syahidah kerana mempertahankan jilbabnya demi agamanya.

Marwa Ash-Sharbini, seorang ibu beranak satu yang sedang mengandung tiga bulan, syahid akibat ditikam sebanyak 18 kali oleh seorang pemuda Jerman berketurunan Rusia yang cukup anti-Islam dan anti-Muslim. Tetapi berita ini, sama sekali tidak kelihatan mahupun terpampang di kaca-kaca tv kita, negara yang majaroti penduduknya Muslim malah digelar sebagai Negara Islam al-Hadhari, bahkan mungkin, tidak ramai dari kita yang tahu akan peristiwa yang menimpa Marwa Ash-Sharbini.

Ribuan orang di Mesir yang menghantar jenazah Marwa Ash-Sharbini ke tempat persemadiannya yang terakhir, memang mungkin lebih ramai yang menangisi kepemergian Raja Pop Michael Jackson. Marwa Ash-Sharbini hanyalah seorang ibu dan bukanlah orang ternama mahupun superstar seperti MJ. Tetapi kepemergian Marwa Ash-Sharbini adalah lambang jihad paling agung seorang muslim di abad ini. Marwa Ash-Sharbini mempertahankan harga dirinya sebagai seorang Muslimah yang mematuhi ajaran agamanya meskipun untuk itu ia sanggup menggadaikan nyawanya.

Marwa Ash-Sharbini ditikam di ruang mahkamah kota Dresden, Jerman ketika perbicaraan sedang dijalankan. Kejadian ini rentetan dari sebutan kes dimana seorang pemuda jerman yang menghalang anaknya dari bermain di tempat permainan. Lantas Marwa Ash-Sharbini menghalang tindakan pemuda Jerman tersebut yang bernama Alex yang sering menyebutnya sebagai 'teroris' hanya kerana ia memakai tudung 'jilbab'. Dalam suatu kesempatan di ruang mahkamah, pemuda itu yang pernah menyerang Marwa sebelum ini, berusaha melepas tudung 'jilbab' Muslimah Mesir itu. Di perbicaraaan itulah, Alex kembali menyerang Marwa, kali ini dengan lebih ganas di mana ia menikam Marwa Ash-Sharbini berkali-kali, dikatakan sehingga 18 kali tikaman. Malah suami Marwa Ash-Sharbini yang berusaha melindungi isterinya, turut terkena tembakan pihak berkuasa polis yang berdalih secara tidak sengaja tertembak suami Marwa yang kini dalam keadaan cedera parah di hospital Dresden.

Peristiwa ini diam begitu sahaja dari laporan-laporan media massa Jerman mahupun dunia kerana yang menjadi korban adalah seorang muslimah yang dibunuh oleh orang Barat yang anti-Islam dan anti-Muslim. Situasinya mungkin akan berbeza jika yang menjadi korban adalah seorang Jerman atau orang Barat yang dibunuh oleh seorang ektrimis Islam. Sudah tentu beritanya agak lebih meluas dan gempar ke seluruh dunia.

Itulah sebabnya, mengapa di tv-tv kita cuma sibuk dengan berita pengkebumian Raja Pop Michael Jackson yang mengharubirukan dunia itu. Tidak ada langsung berita berkenaan pengkebumian Syahidah Marwa Ash-Sharbini yang mendapat jolokan "Pahlawan Jilbab". Malah tidak ada langsung protes dari dunia Islam, khususnya negara asalnya Mesir atas kematiannya, dimanakah OIC pada ketika itu?. Tidak ada langsung tangisan kaum muslimin seluruh dunia untuknya. Tetapi tidak mengapa Marwa Ash-Sharbini, kerana engkau telah dijanjikan suatu tempat yang paling mulia dan istimewa di sisiNya ALLAH SWT.

Seiring doa dari orang-orang yang mencintaimu. Selamat jalan saudariku, Serikandi Islam, Pahlawan jilbab, maafkan kami di atas ketidak pedulian ini… Al-Fatihah...

-ibnumustafa-

- sumber : dari blog Sesemut Emas.

PAS Selangor desak tubuh suruhanjaya siasatan

Saidah Hairan
Fri | Jul 24, 09 | 4:43:29 pm MYT

KUALA LUMPUR, 24 Julai (Hrkh) - PAS Selangor memandang serius insiden kematian Setiausaha Politik Exco kerajaan negeri, mendiang Teoh Beng Hock semasa berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Setiausaha Badan Perhubungan PAS Selangor, Khairuddin Othman berkata, PAS Selangor mendesak agar kerajaan menubuhkan satu suruhanjaya bebas yang dianggotai semua parti politik serta panel berkecuali dalam tempoh 14 hari daripada tarikh insiden.

PAS Selangor juga katanya, mendesak agar suruhanjaya tersebut mengeluarkan kertas putih dan umumkan kepada rakyat.

Menurut beliau, PAS Selangor berpendirian SPRM hanya boleh disiasat oleh suruhanjaya bebas yang lain kerana pihak polis tidak mempunyai bidang kuasa yang mencukupi untuk menyelesaikan kes tersebut.

Katanya, ini sekali gus bagi membersihkan nama SPRM kerana terikat pada peraturan yang diletakkan oleh Menteri Dalam Negeri.

PAS Selangor mendesak agar semua siasatan yang dilakukan terhadap mana-mana exco kerajaan negeri dihentikan serta merta sehingga suruhanjaya siasatan selesai melakukan siasatan dan SPRM membersihkan namanya.

"Peristiwa ini sangat memalukan SPRM dan menghilangkan kenyakinan rakyat terhadapnya terutama terhadap tahap keselamatan saksi semasa berada dalam tahanan," katanya.

Beliau menegaskan, jika suruhanjaya itu tidak dilakukan maka proses pengembalian keyakinan tidak berlaku, kredibiliti dan profesionalisme SPRM sebagai agensi penguatkuasa kerajaan akan terus dipertikaikan masyarakat.

Selangor turut mengucapkan takziah keapada keluarga dan sahabat mendiang di atas peristiwa yang sangat menyedihkan itu, katanya.

Semoga pihak yang terlibat dapat bersabar di atas kehilangan tragis orang yang disayangi, katanya.

Khairuddin mewakili Pesuruhjaya PAS, Dato' Dr Hasan Mohd Ali yang kini berada di Timur Tengah atas urusan kerajaan negeri. - lanh _

23.7.09

Polis didakwa ugut siswa kes 'puaka' UM


Abdul Rahim Sabri
Jul 23, 09
4:31pm

kemaskini 5.53pm Seorang pelajar Universiti Malaya didakwa diugut dengan pistol polis sewaktu ditahan berhubung kes contengan "bini puaka" dan cubaan membakar di sebuah dewan kuliah, hujung bulan lalu.

Anggota polis yang berpakaian biasa itu, tanpa menunjukkan kad kuasanya dan juga waran tangkap, menayangkan senjata apinya yang terselit di pinggang sewaktu Mohd Syahruldeen Ahmad Rosli ditangkap di rumah sewanya di Kampung Kerinchi, 25 Jun lalu.

Mohd Syahruldeen yang dituduh bersama rakannya Mohd Izzuddin Hilmi Mohamad Zaini akan dibicarakan 7 Disember depan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur.

Beberapa kumpulan mahasiswa akan membuat aduan berhubung perkara itu kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) jam 10 pagi esok.

Presiden Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI), Hilman Idham memberitahu Malaysiakini, kedua-dua tertuduh kes tersebut dijangka turut serta membuat laporan.

"Tidak sepatutnya berlaku perkara tersebut, polis ada etika dan cara untuk menjalankan soal siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Izzuddin Hilmi dan Mohd Syahruldeen dituduh mengikut Seksyan 427, 436 dan 447 Kanun Keseksaan berhubung insiden awal pagi 24 Jun lalu, beberapa jam sebelum isteri perdana menteri Rosmah Mansor hadir untuk satu program di dewan berkenaan.

Mereka didakwa cuba melakukan perbuatan khianat di pintu dewan kuliah utama Akademi Pengajian Islam (API).

Kedua-duanya pelajar tahun dua jurusan syariah API Univerisiti Malaya.

Menurut Hilman lagi, selain aduan berhubung kes tersebut, kumpulan mahasiswa tersebut turut membuat aduan berhubung penahanan tujuh mahasiswa, termasuk dua wanitam pada Jumaat lalu.

Mereka ditahan berhubung perhimpunan untuk menyerahkan memorandum kepada kedutaan Thailand bagi membantah keganasan terhadap rakyat Islam Thailand di selatan negara itu.

Selain itu, tambah Hilman, aduan itu juga berkaitan penahanan dua aktivis Gerakan Demokratik Belia dan Pelajar Malaysia (Dema) yang didakwa menceroboh Universiti Malaya, 12 Julai lalu.

Kedua-dua pelajar tersebut – setiausaha Dema, Ong Jing Cheng dan penyelaras pelajar Dema Yap Heng Lung – ditahan di kampus kira-kira jam 9 malam.

Mereka ditahan reman selama dua hari.

Selain KAMI dan Dema, Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dan Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) akan hadir di pejabat Suhakam di Jalan Raja Laut.

Suasana sedih, pilu di hari pengkebumian Beng Hock

Susunan Muhammad Nor Abd Samad
Thu | Jul 23, 09 | 2:12:37 pm MYT

Lebih daripada 2,000 orang berhimpun dalam majlis pengkebumian Teoh Beng Hock di Alor Gajah Melaka.

Sewaktu acara pengkembumian dimulakan pada pukul 9.45 pagi, tunang Teoh yang mengandung, Soh Sher Wei membacakan ucapan belasungkawa yang menyentuh hati para hadirin.

Beliau menyeru supaya Teoh "kembali". Ramai yang turut menitiskan air mata mendengarkan rintihannya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok mewakili DAP membacakan ucapan takziah daripada parti itu.

Di antara mereka yang hadir adalah wakil-wakli daripada pertubuhan Cina dan ahli Pakatan Rakyat.

Perarakan jenazah bermula jam 10.45 pagi. Orang ramai berarak beramai-ramai mengiringi kereta jenazah yang dihiasi reben berwarna merah yang menandakan mati mengejut.

Ahli keluarga dan pemimpin Pakatan Rakyat serta penyokong mengikuti kereta jenazah dengan berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer hingga ke jalan utama.

Ramai yang menangis secara terbuka. Adik-adiknya mendoakan agar Teoh "disemadikan dengan aman".

Di kalangan orang ramai yang berjalan mengiringi jenazah, ada yang mempamerkan poster bersaiz A4 gambar Teoh dengan perkataan, "Jangan biarkan Beng Hock mati sia-sia".

Sebuah poster besar hitam putih yang disediakan oleh parti KeADILan dibawa di hadapan kereta jenazah dengan tulisan "Keadilan untuk Beng Hock".

Poster-poster lain ditulis dalam bahasa Cina yang bermaksud "Keadilan untuk Beng Hock" dan "Rakyat inginkan jawapan".

Perarakan berakhir kira-kira jam 11.05 pagi dan orang ramai mula menaiki kenderaan untuk mengikuti kereta jenazah ke Taman Memorial di Semenyih di mana acara pengkebumian akan diadakan.

Konvoi tersebut tiba di bandar Semenyih pada jam 12.50 tengah hari dan orang ramai telah sedia menunggu bersama banner dan bunga.

Keranda jenazah tiba di taman memorial tersebut 10 minit kemudian dan disambut oleh lebih kurang 500 orang penyokong. Jenazah Teoh kemudian ditempatkan di sebuah kuil di tanah perkuruburan tersebut untuk satu tempoh masa tertentu.

Sebelum itu, pada pagi ini (20 Julai) lebih kurang 500 orang berhimpun di rumah Teoh sekitar jam 9.00 pagi. Suasana sepi tapi jelas menunjukkan tanda protes. Berpuluh-puluh banner dan poster dipamerkan di luar premis.

Antaranya ada yang bertulis "Jangan biarkan kematian Beng Hock sia-sia", "Keadilan untuk Beng Hock, beri jawapan pada rakyat" dan "Tubuhkan suruhanjaya diraja, tunjukkan keadilan".

Adalah dimaklumkan bahawa ahli keluarga Teoh memohon agar orang ramai yang hadir supaya berkabung dalam tenang dan tidak menjeritkan slogan.

Kesemua pemimpin utama Pakatan Rakyat selesai membuat ziarah terakhir pada 10.18 pagi. Mereka turut disertai oleh bekas pemimpin MCA, Dr Chua Jui Meng, yang baru menyertai KeADILan Sabtu lalu.

Kemudian diikuti oleh ahli exco MCA Melaka Gan Tian Loo.

Kira-kira 10 orang anggota polis termasuk polis trafik bertindak mengawal keadaan dan kelancaran lalu lintas.

Pemimpin DAP yang diketuai Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng mengadakan sidang akhbar pada pukul 9.30 pagi.

Kit Siang berkata, beliau mahu Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya diraja sebaik sahaja beliau pulang ke Malaysia dengan tidak perlu menunggu mesyuarat kabinet diadakan Rabu ini untuk membuat keputusan.

Beliau juga menyeru supaya Najib mengarahkan SPRM supaya "berhenti memerangi Pakatan Rakyat", dan menambah bahawa institusi pencegahan rasuah itu "telah menjadi alat Umno untuk menumbangkan kerajaan Selangor".

Karpal berkata, beliau mahu Najib segera menggantung tugas Ketua Pengarah SPRM, Ahmad Said.

Pemimpin de facto KeADILan, Anwar Ibrahim yang turut bercakap kepada media menyeru supaya tindakan tegas segera diambil.

Katanya kerajaan tidak perlu berhelah dan mengemukakan pelbagai alasan kerana pihak polis dan SPRM sama-sama bertanggungjawab atas kematian Teoh.

Tambahnya, pemimpin Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara tersebut.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyokong penuh agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan dan tambahnya, rakyat Malaysia berhak tahu apa yang berlaku pada Teoh.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata: "Kita ingin beritahu Beng Hock bahawa dia tidak akan dilupakan. Kita juga ingin beritahu SPRM, bahawa mereka juga tidak akan lepas lari".

Teoh, 30, setiausaha politik ahli Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, didapati mati Jumaat lepas.

Beliau telah ditahan Khamis lalu kira-kira jam 5.00 petang untuk disoal siasat oleh SPRM Selangor berhubung penggunaan dana wakil rakyat.

Mayatnya ditemui kira-kira jam 1.30 petang pada keesokan harinya di balkoni tingkat lima bangunan yang menempatkan pejabat SPRM di Shah Alam.

Terjemahan artikel Malaysiakini oleh Muhammad Nor Abd Samad

22.7.09

Inkues cari punca kematian Teoh


Jimadie Shah Othman
Jul 22, 09
11:28am
kemaskini 6.28pm Mesyuarat mingguan jemaah menteri hari ini tunduk kepada desakan popular pelbagai pihak, termasuk pemimpin BN, agar menyiasat secara bebas punca kematian Teoh Beng Hock.

Keputusan rasmi kabinet itu yang diumumkan oleh Datuk Seri Najib Razak dalam satu sidang media khas di pejabat perdana menteri di Putrajaya menyebut:

Pertama, Kementerian Dalam Negeri dan polis diarahkan menyelesaikan siasatan secepat mungkin dan laporan siasatan tersebut, yang sedang berjalan, akan diumumkan.

Dua, satu inkues atau siasatan awam yang diketuai oleh seorang majistret untuk menentukan punca kematian Teoh.

Tiga, menubuhkan suruhanjaya diraja dengan bidang kuasa khas untuk menilai kaedah soal siasat yang diguna pakai oleh SPRM dan menentukan sama ada pernah berlaku pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disiasat mulai petang 15 Jun hingga awal pagi esoknya.

Susulan kematian mengejut dan penuh tanda tanya Teoh selepas disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan salah guna peruntukan DUN di Selangor, banyak pihak menggesa penubuhan suruhanjaya tersebut.

Teoh merupakan setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah.

Dalam sidang media yang dinanti-nantikan itu, Najib juga berkata, beliau sendiri akan memaklumkan keputusan siasatan tersebut kepada keluarga Teoh apabila ia telah selesai.

"Saya ingin menegaskan bahawa kerajaan akan melakukan apa sahaja yang perlu untuk mencari kebenaran. Saya juga akan memaklumkan sendiri kepada keluarga saudara Teoh hasil siasatan ini nanti," katanya di Putrajaya.

Sementara menunggu keputusan siasatan, Najib menyeru semua pihak agar tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh mengelirukan rakyat dan menimbulkan tanggapan yang salah.

Beliau turut menafikan kabinet mendapat tekanan berhubung kematian misteri Teoh sehingga memutuskan menubuhkan inkues dan suruhanjaya diraja bagi menangani perkara itu.

Ditanya berhubung tempoh masa yang ditetapkan kabinet bagi menyelesaikan siasatan kes itu, Najib berkata, siasatan polis dan suruhanjaya diraja dijangka dapat diselesaikan "secepat mungkin".

Sementara inkues pula bergantung kepada keputusan majistret, tambahnya.

Mengulas status siasatan SPRM terhadap dakwaan salah guna peruntukan DUN Selangor di kalangan ADUN Pakatan Rakyat, Najib berkata, ia akan diteruskan seperti biasa dengan kumpulan penyiasat yang baru.

"Setiap dakwaan salah laku akan disiasat SPRM. Kita tidak buat sebarang keputusan menggantung siasatan tersebut," katanya.

Beliau menafikan siasatan SPRM telah digantung susulan berlakunya kematian Teoh.

Kes Teoh: Ahli BN demo sokong SPRM, polis

Abdul Rahim Sabri
Jul 22, 09
5:51pm

Kira-kira 60 penyokong Umno dan parti komponen BN menyertai demonstrasi di hadapan pusat membeli-belah Ampang Point untuk menyatakan sokongan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis untuk meneruskan siasatan terhadap kematian Teoh Beng Hock dan tidak mahu ia dipolitikkan oleh parti pembangkang.

Perhimpunan selama kira-kira 15 minit diketuai oleh ketua Umno bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo.

Ia disertai ahli Umno bahagian-bahagian Ampang, Gombak dan Pandan. Manakala ahli-ahli MCA, MIC, PPP dan Gerakan pula semuanya dari Ampang.

Dalam perhimpunan ringkas itu, mereka membawa kain rentang yang bertulis 'Umno bahagian Ampang yakin kredibiliti SPRM dan polis untuk teruskan siasatan' dan 'Umno bahagian Ampang menyokong tindakan SPRM dan polis".

Mereka juga membawa poster yang antaranya bertulis 'Jangan ganggu tugas SPRM dan polis, teruskan siasatan' dan 'Pembangkang jangan alihkan isu!!!'.

Mereka turut melaungkan 'Hidup Umno' dan 'Hidup BN'.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ismail menegaskan sokongan kepada SPRM yang menurutnya mempunyai kekebalan sewajarnya dalam menjalankan siasatan.

Katanya, mereka juga memberi sokongan dan kepercayaan penuh kepada polis dalam menjalankan siasatan secara adil dan profesional.

Polis arah bersurai

Ismail berkata, mereka percaya amanah yang diberikan kepada SPRM dan polis akan dilaksanakan menurut budi bicara dan undang-undang negara sebagai badan bebas yang berkanun.

Beliau juga memberi amaran tegas kepada pihak-pihak yang menurutnya tidak bertanggungjawab supaya jangan menimbulkan isu perkauman daripada kes kematian Teoh tersebut.

Sementara itu, dalam sidang akhbar selepas itu, Ismail menyampaikan simpati mereka kepada keluarga Teoh.

Sambil menggesa supaya isu itu tidak dipolitikkan, beliau sebaliknya berkata, isu sebenarnya ialah rasuah dalam kepimpinan negeri Selangor.

"Kalau isu cuba dieksploitasi (oleh pembangkang), kita beri kata dua, kenyataan yang boleh membuatkan negara huru-hara, kita 'membujur lalu, melintang patah'. Oleh itu, SPRM dan polis, teruskanlah jalankan siasatan," kata Ismail, sambil disambut sorakan peserta demonstrasi itu.

Oleh itu, Ismail meminta rakyat supaya jangan terkeliru dengan isu tersebut dan tidak terpengaruh dengan dakyah dan kenyataan berat sebelah parti pembangkang, sehinggalah selesai siasatan polis.

Ketika sidang akhbar selepas perhimpunan itu, pegawai polis menemui Ismail dan meminta beliau mengarahkan perhimpunan itu bersurai.

Berikutan itu Ismail, dengan menggunakan pembesar suara, meminta mereka bersurai.

Sementara itu, Ketua Polis Ampang Jaya, ACP Abdul Jalil Hasan memberitahu pemberita bahawa perhimpunan itu diadakan tanpa permit polis.

Oleh itu, katanya, polis akan memanggil pihak penganjur untuk memberi keterangan.

Katanya, pihak polis mengarahkan mereka bersurai kerana perhimpunan itu mengganggu lalulintas di Jalan Ampang.

Tunang: Teoh, selamat tinggal sayang


Jul 22, 09 7:37pm

Berikut teks luahan hati Soh Sher Wei kepada tunangnya Teoh Beng Hock di upacara penghormatan terakhir kepada setiausaha politik exco kerajaan Selangor pada 20 Julai 2009.

Ia diterbitkan semula untuk dikongsi bersama dengan mereka yang tidak dapat hadir di Alor Gajah, Melaka.

Beng Hock, kau tiba-tiba pergi tanpa sebarang pesan.

Kau kata, masih banyak yang kita ingin lakukan bersama.

Banyak lagi tempat yang sepatutnya kita kunjungi

Kau kata akan menemaniku sepanjang perjalanan hidup ini

Tapi apa yang harus kulakukan sekarang?

Bagaimana dapat kita bertemu lagi?

Kau sentiasa diingatanku

Aku selalu mengingatimu... aku mahu dikau kembali, muncul semula di pangkuanku

Dalam beberapa hari ini, aku sentiasa menantimu

Tetapi ia sungguh mengecewakan

Aku hanya ingin tahu sama ada kau selamat, apakah kau menderita?

Jangan biarkan aku terus menunggu? Aku mahu menemuimu sekali lagi. Cukuplah walau sekali.

Bila titisan air mataku tidak dapat menghidupkan dirimu

Aku terpaksa menerima hakikat kau telah pergi buat selama-lamanya

Hari ini, aku masih perlu mengucapkan selamat tinggal

Aku berjanji, aku akan jalani kehidupan seadanya.

Tetapi, kau mesti berjanji sentiasa di sisiku, dan kita bersama-sama membesarkan (bayi ini).

Beng Hock, perjalanan kita berdua dalam hidup ini sudah berakhir.

Tetapi aku berharap, kalaulah ada kehidupan selepas ini, aku amat berharap kita dapat bersama-sama meneruskan perjalanan kita.

Kekasihku, semoga dikau tenang di alam abadi.

Pemikiran Arena Wati mengenai rasuah dan kekuasaan H Fansuri

Wed | Jul 22, 09 | 11:57:50 pm MYT

Arenawati atau nama aslinya Muhammad Dahlan bin Abdul Biang, Andi Mohalan Andi Beang tidak hanya sasterawan, malah wartawan terbilang, pejuang yang jelas yang muncul sejak zaman yang pernah menyaksikan pelbagai jenis perang yang melanda negara kita.

Kekayaan khazanah pengalamannya tidak terhitung. Beliau lahir pada 30 Julai 1925 di Makasar, Indonesia. Lelaki yang hidupnya penuh kaya dengan pengalaman ini memiliki kekuatan jalur bahasanya yang tersendiri.

Arena mendapat pendidikan awal di sekolah Belanda, Hollands Indische School, sebelum meletus Perang Dunia II. Semasa Perang Dunia II, beliau memulakan kerjayanya sebagai pelaut pada tahun 1943.

Pengalamannya dalam bidang ini meningkatkan lagi kemampuan beliau dalam penulisan dan menghasilkan novel yang baik. Beliau menamatkan pengajian menengahnya di Makasar pada tahun 1953.

Selepas tamat persekolahan, Arena bekerja dengan syarikat penerbitan di Singapura, dan kemudiannya ke Johor Baru dan Brunei. Dalam tempoh ini, beliau telah menjadi warganegara Malaysia dan antara tahun 1962 hingga 1974, beliau bertugas di Pustaka Antara, Kuala Lumpur.

Arena Wati terjun dalam dunia kewartawanan sekitar tahun 1954 dan pernah menjadi editor di Pustaka Antara dan akhirnya menerima anugerah Sasterawan Negara pada 1988. Kebanyakan karya Arena Wati berbentuk akademik, imaginatif, mencabar minda dan kritikannya pedas dan berbisa.

Pendirian Arenawati mengenai rasuah

Dalam Seminar Pemikiran Sasterawan Negara Arenawati yang diadakan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) pada 9 - 10 Jun lalu, Mana Sikana lewat kertas kerjanya telah menyimpulkan bahawa Pak Arena mempunyai pendirian yang keras ke atas isu rasuah dalam sesebuah negara.

Hal ini, beliau rujuk berdasarkan kajiannya ke atas skrip drama Pak Arena berjudul 'Kutukan Dari Langit' yang memperihal kisah Patigo dan kekasihnya Ratina. Drama ini banyak menyentuh hal kekuasaan, rasuah, skandal dan penyelewengan.

"Lingkaran pertuduhan dan penghujahan dalam Kutukan Dari Langit karya Arena Wati, kelihatan berlegar di sekitar pusat pemikiran pengadilan di mahkamah. Namun, secara tidak langsung turut dihadirkan pelbagai subjek lainnya, yang turut berangkaian dengan pelbagai macam, terutamanya persoalan rasuah.

"Di sana sini, pengarang menyentuh dengan sinis penyalahgunaan kekuasaan dalam pemerintahan dan masyarakat, yang menggalakkan rasuah," kata beliau.

Secara umum, menurut beliau drama Arena ini menelanjangi perilaku rasuah dan sikap pemerintah atau penguasa. Suburnya rasuah seiring dengan kata-kata akronim ABS: asal bapak senang, dan bermaharajalelalah sang rasuah.

Menyentuh karya Pak Arena itu, beliau menyifatkan bahawa lingkaran birokrasi digambarkan sangat menggerunkan. Zaman order-order baru yang kaya dengan kejahatan rasuah itu, dicontohkan pada halaman 18, .. "untuk jadi polis, mesti bayar wang bernilai 20 sapi.

Untuk jadi tentera, mesti bayar wang bernilai 25 sapi. Bagaimana akan diganti pembayaran itu? Gaji mereka hanya cukup dimakan seminggu. Wajar, jika mereka rasuah dan amalkan pungutan paksa".

"Sikap idealis pengarang untuk mendedah dan memperbaiki moral masyarakat sangat menonjol, sehingga drama ini menyentuh unsur moral supaya masyarakat menyedari setan masyarakat yang boleh menjahanamkan negara. Motif rasuah dihadirkan, yang membayangkan Arena Wati semacam muak dengan kehidupan terkini yang kaya dengan rasuah itu.

"Ia mencela habis-habisan dalam drama ini, sesungguhnya ia tidak wajar, tidak bermoral, dan melakukan munafik kepada seluruh manusia.

"Diheretnya juga, kemajuan ilmu pengetahuan yang telah menjadikan manusia sombong, seolah-olah dia sahaja yang pandai, tetapi rupa-rupanya menggunakan ilmunya untuk pemantapan dirinya, ia digelar bagaikan Fir'aun moden, kerana ia juga melakukan rasuah ilmu," kata beliau.

Kajian ke atas watak perasuah

Patigo: ..Rasuah, penipuan dan pencurian berleluasa. Ilmu digunakan berperanan salah.. Penyelewengan dianggap kebijaksanaan. Ramai anggota polis sepakat mencuri. Ramai anggota tentera bersubahat merompak dan tembak rakyat sendiri.. Nasionalis menggadai hak negara. Keadilan dikalahkan penganiayaan. Dalam situasi dan keadaan begitu Ratina semakin kaya. (Kutukan dari Langit: 79)

Mana Sikana berkata, tuduhan rasuah ini jugalah yang ditimpakan kepada salah satu watak yang cuba dijelmakan dalam skrip itu, iaitu Ratina. Patiga, seorang pensyarah telah menghantar tiga orang siswazah, calon sarjana bidang insektologi dan botani, membuat kerja lapangan di sekitar Bintamurung, Manoli, Lamakaji, Sunda Besar.

Tambah beliau, hasil daripada kajian inilah Patigo mengetahui Ratina masih hidup, malah memiliki kebun bunga dan dusun buah seluas 496 hektar, iaitu 'Ratina Bloomen Per' dan Ratina Rozen Tuin'.

"Patigo sampai kepada suatu puncak, apabila dia ditekan-tekan dengan pelbagai tuduhan terhadap Ratina: sebenarnya dia melakukan rasuah. Tetapi soalnya bagaimana dia hendak meyakinkan mahkamah di sebuah negara yang rasuah itu? Bagaimana cara pembuktian perasuahan dilakukan oleh Ratina?

Berikut dikepilkan petikan dialog seorang ketua hakim yang meminta warga mahkamah berhati-hati terhadap Patigo.

Ketua Hakim: Mahkamah diperingatkan! Jangan bersikap ala Henrik Ibsen di Norway itu, apabila hadapi Patigo. Dia matang dan memiliki keyakinan. Nanti terjerumus ke dalam lubang yang kamu gali. Patigo itu profesor. (Kutukan dari Langit: 112)

Ketika merujuk perenggan berisi dialog di atas, Mana Sikana berkata, petikan dialog tersebut menunjukkan bahawa telah wujud kepekaan sasterawan negara itu ke atas isu rasuah melalui penelitian tajamnya terhadap naskhah agung milik bapa drama dunia moden.

"Arena Wati sengaja menghadirkan tokoh Henrik Ibsen dalam konteks pengukuhan tekstualiti dramanya. Daripada sudut lain untuk membayangkan kearifan penulis terhadap Henrik Ibsen; bapa drama dunia moden itu.

"Membaca Kutukan dari Langit kita akan berhadapan dengan An Enemy of the People (1882), yang menggambarkan hal skandal, rasuah dan mencitrakan moraliti zaman yang bobrok.

"Antara 27 buah drama realisme Ibsen, An Enemy of the People sering dijadikan ikonik kepada kerja pendramanya, kerana pencitraan yang 'real', tetapi penuh rumit dan kompleks. Ciri-ciri itu saya kira diwarisi oleh Kutukan dari Langit," kata Mana Sikana.

Pendirian Arena Wati berhubung kekuasaan

Daripada segi politik, sikap dan pendirian sasterawan negara ini sangat jelas sekali memihak kepada kekuasaan politik yang mengambil perhitungan unsur-unsur kemanusiaan; keadilan, kesaksamaan, kasih sayang dan kepekaan ke atas golongan lemah yang perlukan bantuan.

Mana Sikana berkata, menerusi skrip drama 'Kutukan dari Langit', aspek kekuasaan disentuh dengan banyaknya. Tambahnya secara politik, kekuasaan menjadi dasar pengaturan negara atau institusi, alat untuk mencapai dan mempertahankannya. Dalam perjalanan kekuasaan, penguasa mempunyai pelbagai cara.

"Dalam 'Kutukan dari Langit' pengarang mengemukakan beberapa pandangan, ada ketua secara mulia berkongsi kuasa, menyerahkan mandat kepada ahli untuk berbincang dan hanya kata putus bila kiranya ada perbalahan.

"Ada juga ketua, yang hanya memberi perintah, memutuskan dan memberi arahan, orang bawahnya dikerah untuk memudahkan kerja-kerja pemerintahannya, ia bersifat diskriminatif dan menolong kepada orang-orang yang pernah menolongnya.

"Kutukan dari Langit sangat mengutuk ketua jenis kedua, kerana ia membenihkan praktik menyalahgunakan kekuasaan dan akhirnya menimbulkan sistem anarki. Akibatnya, negara Doinensia mengalami kerumitan dan banyak masalah," katanya.

Laut pengetahuan dan samudera pengalaman Pak Arena Wati itu telah menakung segala macam ribuan buruk baik sikap kita. Dan kita ini masih belum mencedok selaut pemikiran Pak Arena berhubung isu kedudukan agama (Islam), bahasa Melayu dan kebudayaan.

Apakah pendirian Pak Arena berhubung hal kedudukan agama, bahasa Melayu dan budaya kita itu? Mungkin petikan di bawah ini adalah gambaran awal ke atas setitis mutiara ilmu yang terpercik dari lautan hikmahnya yang sempat kita sambut dengan penuh teliti dan waspada.

Trilogi Busa: Busa Hati. (2002). Arena Wati. Penerbit UKM

5:44 p.m, 22 Julai
Sekolah Pemikiran Kg Baru

Pandangan dan maklumbalas boleh dimajukan lewat mel-e ibnuamir@yahoo.com.Alamat email ini telah dilindungi dari spam bots, anda perlukan Javascript enabled untuk melihatnya

21.7.09

Kes Teoh: Polis panggil 40 orang awam


Jul 21, 09 12:29pm
Seramai 40 orang awam lagi akan dipanggil untuk diambil keterangan berhubung kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang exco Selangor, dalam masa terdekat ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata sehingga semalam polis telah mengambil keterangan daripada 33 individu termasuk 25 pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Buat masa ini, seramai 33 orang telah kita ambil keterangan dan kini ada 40 orang lagi yang sudah dikenalpasti untuk diambil keterangan. Kita mahu soalan-soalan yang ditanya dan dipersoalkan oleh orang awam terjawab, lapor Bernama.

"Sebelum ini siasatan kita menjurus kepada bangunan, bilik siasatan dan lokasi mayat mendiang ditemui dan kali ini kita akan menambah siasatan daripada keterangan mereka bersama dua lagi ADUN," katanya kepada pemberita di Petaling Jaya hari ini.

Hishammuddin turut memberi jaminan bahawa kes tersebut akan disiasat secara telus dan profesional hingga ke lubang cacing dan mengingatkan kepada mana-mana pihak agar tidak mencetuskan ketegangan dengan memutar belitkan fakta kes kematiannya.

Hishammuddin berkata beliau akan melaporkan perkembangan siasatan kes tersebut kepada mesyuarat jemaah menteri esok.

"Kita tengok nanti apa kata jemaah menteri. Namun saya secara peribadi melihat apa yang dilakukan pihak polis amat cukup teliti dan saya beri keyakinan dan jaminan siasatan yang dilakukan telus dan profesional. Saya sendiri mahu kes tersebut dapat disesaikan dengan segera, rapi dan teliti.

"Saya juga sedih tetapi biarkan pihak berkenaan jalankan tugas tanpa ada rasa syak wasangka atau diputarbelitkan fakta oleh pihak tidak bertanggungjawab... kadang-kadang perkara negatif yang digembar-gemburkan tidak berasas," katanya.

Beliau berkata jika selepas siasatan kes itu selesai namun masih wujud 'soalan-soalan yang perlu dijawab' maka saluran alternatif lain akan digunakan bagi meyakinkan masyarakat dalam menegakkan keadilan dan kebenaran.

"Saya sendiri memantau siasatan polis terhadap kes ini, saya tidak mahu ada perkara yang masih menjadi tanda tanya, kita hanya mahu kebenaran dan keadilan untuk mendiang dan keluarganya justeru kita harap masyarakat boleh tunggu hingga siasatan selesai," katanya.
Teoh, 30, ditemui mati pada pukul 1.30 tengah hari Khamis lepas di koridor luar tingkat lima bangunan Plaza Masalam di Shah Alam yang turut menempatkan pejabat SPRM Selangor di Tingkat 14.

Teoh, yang merupakan setiausaha politik kepada Ean Yong Hian Wah, ADUN Seri Kembangan, merupakan seorang daripada saksi dalam siasatan SPRM berhubung dakwaan penyalahgunaan peruntukan negeri baru-baru ini.

20.7.09

Kejutan buat PAS di Manek Urai

Mohd Rashidi Hassan | rashidi@harakah.net.my
Mon | Jul 20, 09 | 11:30:36 am MYT

Alhamdulillah syukur ke hadrat Allah yang memberikan kemenangan kepada calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Manek Urai, menewaskan calon Barisan Nasional daripada Umno.

Dengan kemenangan tipis ini, kerusi Dun Manek Urai kekal di tangan PAS, kesinambungan daripada mandat yang diberikan kepada PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) 8 Mac 2008.

Bagaimanapun, penulis melihat keputusan ini sebagai wake-up call kepada PAS khususnya dan pada Pakatan Rakyat umumnya.

Dari segi rekod Pilihan Raya Kecil (PRK) di Kelantan, PAS pernah menang di Dun Pulai Chondong (Machang) pada Januari 1997, tewas di Dun Semerak (Pasir Putih) pada Ogos 1997 dan tewas di Pengkalan Pasir (Pasir Mas) pada Disember 2005.

Keputusan di Manek Urai dianggap suatu kejutan kerana ia merupakan kubu tradisi PAS sejak PRU pertama lagi.

Manek Urai kekal di tangan PAS lebih 40 tahun dan PAS hanya tewas pada PRU 2004 dengan hanya 53 undi. PAS merampas kembali kerusi Dun pada PRU 2008 dengan majoriti 1352. Kali ini PAS kekal dengan majoriti yang amat tipis.

Kejutan ini mengajak kita untuk meneliti beberapa aspek terutamanya yang berkait rapat dengan pemilihan calon, strategi, sasaran dan keberkesanan kempen.

Kejutan ini berlaku di saat PAS memasuki PRK Manek Urai, dengan kesepaduan jitu di kalangan Pakatan Rakyat dan keampuhan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Kesepaduan dan semangat bekerja yang tinggi di kalangan ahli dan penyokong PAS mendorong PAS untuk mendominasi kempen PRK Manek Urai. Dari sudut propaganda setempat jentera PAS menguasai keseluruhan kempen sehingga menyebabkan jentera BN tenggelam.

Jentera BN dilihat berfungsi dan tampak hebat hanya melalui propaganda media cetak dan media elektronik arus perdana yang dikuasai mereka.

Analisis fakta pengundian

Calon PAS, Mohd Fauzi Abdulah mendapat 5347 undi menewaskan calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat yang memperolehi 5283 undi dengan majoriti 64 undi. Ada 92 undi rosak daripada 10722 pengundi yang keluar mengundi. Peratus keluar mengundi juga tinggi iaitu 87.22 peratus.

Daripada fakta dua PRU lepas, pada 2004 Calon BN Zulkepli Omar mendapat 4362 undi menewaskan calon PAS Ustaz Mohd Zamzuri yang memperolehi 4309, majoriti 53 undi.

Pada PRU 2008, calon PAS Ismail Yaakub memperolehi 5746 undi menewaskan Zulkepli Omar yang mendapat 4396, dengan majoriti 1352 undi.

Beza antara dua PRU (2004 dengan 2008), calon PAS memperolehi peningkatan 1437, manakala undi calon BN bertambah 34 undi.

Beza PRU 2008 dengan PRK Manek Urai cukup besar. Undi yang diperolehi Fauzi berkurangan 399 undi berbanding undi yang diperolehi Ismail.

Manakala undi calon BN, Tuan Aziz, meningkat sebanyak 887 undi berbanding undi yang diperolehi Zukepli pada PRU 2008.

Fakta-fakta ini menimbulkan beberapa persoalan untuk dikaji kepimpinan PAS dari sudut dalaman, khususnya post-mortem yang bakal dilakukan oleh pihak Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat.

Antaranya, ialah mengapa peratus pengundi keluar mengundi begitu tinggi berbanding beberapa pilihan raya lepas.

Mengapakah undi PAS merosot? Adakah ianya kerana faktor calon? Jika ianya faktor calon, mengapakah orang yang mengundi Ismail tidak mengundi Fauzi?

Adakah wujud faktor yang boleh diistilahkan sebagai sabotaj dari pihak-pihak tertentu, yang mungkin boleh menjejaskan potensi PAS meraih undi yang lebih tinggi.

Harus juga dikaji mengapa undi BN meningkat, adakah mereka mendapat undi dari pengundi yang dahulunya mengundi PAS, kini beralih mengundi Umno-BN? Atau barangkali wujud peningkatan kesedaran yang luar biasa iaitu pengundi yang tidak keluar mengundi pada PRU lepas, kini mengundi BN.

Atau juga mungkin terdapat pengundi-pengundi baru atau pengundi muda yang beralih menyokong BN?

Atau mungkin juga berlaku pemalsuan kad pengenalan pengundi yang nampaknya tidak dapat dihidu jentera pilihan raya PAS?

Bagaimana persepsi terhadap prestasi Najib

Kita boleh menolak Umno-BN dan mengatakan dalam tempoh 100 hari, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri banyak yang negatif kerana kita mengukur kemampuannya dari kacamata kita.

Kita harus menilai prestasi Najib pada sudut pandangan awam, non-political ataupun golongan muda yang baru layak menjadi pengundi.

Pada tahap ini Pakatan Rakyat harus membuat kajian yang mendalam, sejauhmana penerimaan rakyat terhadap apa yang disifatkan sebagai wajah baru Umno-BN di bawah kepimpinan Najib.

Ini kerana rakyat Malaysia, khususnya orang-orang Melayu mempunyai sindrom kurang daya tahan pendirian.

Orang-orang Melayu, sifatnya suka beralah, lemah lembut, bersangka baik dan suka memberi peluang, khususnya kepada orang-orang baru seperti Najib

Ini terbukti apabila kemenangan memberangsangkan pakatan Barisan Alternatif pada PRU 1999 yang berjaya memenangi 45 kerusi Parlimen dan dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu, tersekat pada PRU 2004.

Pada ketika itu, rakyat seolah-olah terpukau dengan penampilan baru Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi yang baru beberapa bulan mengambil alih jawatan PM daripada Dato' Seri Dr Mahathir Mohamad.

Rakyat ketika itu seolah-olahnya melupakan salahlaku BN dan kezaliman yang dilakukan terhadap rakyat sepanjang 22 tahun memerintah, hanya kerana hendak memberi peluang kepada orang baru.

Justeru apakah fenomena ini barangkali tidak boleh berulang pada PRU ke 13 nanti?

Sudah tentu boleh, kerana pengundi di Manek Urai yang 99 peratus Melayu, memberikan signal yang jelas bahawa mereka mahu memberi BN peluang.

Mereka seolah-olahnya terpukau dengan kata-kata, 'kalau beri BN menang pun bukan boleh jatuh kerajaan Tok Guru', 'Berilah BN menang, boleh dapat jambatan baru, nanti PRU ke 13 kita undi PAS balik' dan sebagainya.

Pemikiran sebegini amat berbahaya, jika ia wujud sehingga PRU ke 13, nescaya akan mengulangi nasib yang menimpa pakatan pembangkang pada 2004.

Menilai taktik dan strategi BN

PAS sebagai parti pembangkang yang paling matang dan berpengalaman selama 12 kali PRU dan banyak menyertai PRK seluruh negara, sepatutnya sudah cukup masak dengan taktik dan strategi BN.

Sejak turun-temurun BN mengamalkan pelbagai taktik yang tidak boleh dinafikan keberkesanannya, kerana mereka berjaya mengekalkan kuasa sehingga lebih 50 tahun.

Antara taktik yang mereka gunakan ialah menggunakan jentera kerajaan secara berleluasa, propaganda dan penipuan media, menyogok rakyat sama ada dalam bentuk wang atau pun pembangunan, memeras ugut pengundi, membuat provokasi untuk memburuk-burukkan lawan, menggunakan pengundi-pengundi hantu dan sebagainya.

Selain media massa arus perdana yang sering menjadi menerap doktrin Umno-BN, kita juga sedar bahawa mereka turut disokong dengan gerakan inteligen, sama ada perisik tentera atau Special Branch yang sentiasa setia kepada Umno-BN.

Semua taktik dan strategi ini barangkali sukar untuk berkesan bagi Umno-BN ketika menghadapi PRU, kerana pemimpin-pemimpin terpaksa menumpukan kepada kawasan mereka secara individu.

Sebaliknya, taktik ini boleh berkesan, khususnya dalam Dun yang sekecil Manek Urai dengan hanya 12 ribu pengundi.

Jika dibandingkan dengan penguasaan dan gerak kerja pilihan raya, BN jauh ketinggalan berbanding PAS.

Jentera BN hampir tidak kelihatan, kereta-kereta yang memakai lambang BN boleh dikira dengan jari. Di sepanjang jalan Kuala Krai ke Gua Musang, didominasi oleh PAS, kereta dan motorsikal yang berlambangkan PAS bertebaran di serata jalan.

Namun kadang-kadang penguasaan iklim kempen ini tidak diterjemahkan dalam bentuk undi. Dari segi suasana di Manek Urai, memang PAS kuasai, tetapi Umno-BN nampaknya lebih fokus dan membuat sasaran yang tepat.

Sama ada Umno-BN merasuah pengundi, memeras ugut dan sebagainya, ia bukan alasan yang tidak diketahui. Soalnya apakah iman dan pegangan pengundi Manek Urai begitu rapuh sehingga undi mereka boleh digadaikan?

Maka pada penulis, tidak dinafikan ada di antara taktik-taktik itu BN itu dapat dikekang, ada yang juga tidak dapat, malah kadang-kadang tidak dapat dikesan langsung.

Langkah memuhasabah PAS

Untuk jangka panjang, kita tidak harus mudah mengutarakan kata-kata yang hanya 'buat penyedap hati' bahawa ini hanya PRK, PRU nanti kita akan menang lebih besar.

Kita tidak seharusnya bersikap apologetik dengan keputusan PRK yang tidak memihak sebagaimana yang dikehendaki.

Sudah tentu BN tidak akan menang atau bertambah undi jika mereka tidak melakukan penipuan. Itu rahsia umum yang kita sudah ketahui.

Justeru, orang-orang PAS juga harus dididik supaya tidak terpesona atau syok sendiri dengan ramainya pengunjung ceramah-ceramah PAS atau pun banyaknya kenderaan yang mengibarkan bendera PAS di serata jalan raya.

Mewar-warkan syiar memang penting, tetapi jangan sehingga kita terlalai dari tanggungjawab untuk menarik seberapa banyak undi buat calon PAS.

Oleh itu, daripada mereka bertebaran mengibarkan bendera PAS atau membunyikan hon tanda sokongan terhadap PAS, lebih baik mereka masuk ke kampung-kampung bertemu dengan pengundi.

Pada saat ini kepimpinan PAS harus memperkukuhkan dan mengembalikan sokongan di kalangan rakyat, khususnya dari kalangan orang-orang Melayu yang beragama Islam, yang kelihatannya sedikit terhakis.

Sejak beberapa kali PRU lepas, PAS sudah berjaya memenangi kawasan Melayu-Islam yang didominasi Umno.

Rakyat sudah mula meletakkan keyakinan untuk PAS menggantikan Umno-BN, kerana PAS adalah sebuah parti yang mempunyai ideologi serta doktrin perjuangan yang jauh lebih baik daripada Umno.

Jika PAS mahu berjaya, keyakinan ini harus dipupuk sehingga PRU ke 13 dengan sebaik-baiknya._

14.7.09

Pakaian hitam sokongan moral buat Anwar, 15 Julai

Shamsul Iskandar M Akin
Tue | Jul 14, 09 | 6:48:52 pm MYT

Gerakan Rakyat Tolak Konspirasi Jahat Terhadap Dato' Seri Anwar Ibrahim (KEJAM) menyeru rakyat serta penyokong Pakatan Rakyat untuk hadir memberikan sokongan moral kepada Dato' Seri Anwar Ibrahim sewaktu perbicaraan kes beliau pada 15hb Julai 2009, esok di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Jalan Duta jam 9 pagi.

Umum mengetahui bahawa Dato' Seri Anwar sekali lagi menjadi mangsa kekejaman dan konspirasi jahat pimpinan kerajaan Barisan Nasional diketuai oleh PM Najib yang mengulangi konspirasi jahat tahun 1998. Tentunya konspirasi yang bermotifkan politik ini dilakukan dengan tujuan yang jelas untuk menghalang beliau daripada terus memimpin perubahan di Malaysia ini sebagai Perdana Menteri Malaysia 'in waiting'.

Justeru untuk menzahirkan bantahan yang jelas dan keras terhadap konspirasi jahat dan zalim ini maka KEJAM mengajak orang ramai untuk berpakaian serba HITAM sebagai satu tanda protes terhadap pengulangan konspirasi jahat ini yang memaparkan perangai keji dan jijik dalang-dalang konspirasi ini.

Sekali lagi rakyat akan menyaksikan bagaimana seluruh jentera kerajaan termasuk institusi perundangan negara akan disalahgunakan guna untuk memuaskan nafsu serakah sang penguasa.

KEJAM juga menggesa agar kehadiran secara aman oleh orang ramai ini kelak tidak diganggu atau wujudnya usaha-usaha provokasi luar kerana jelas kehadiran orang ramai bukti cinta kepada keamanan dan keadilan.

Justeru KEJAM berharap pihak PDRM akan memberikan kerjasama yang baik untuk orang ramai memberikan sokongan dan bersama-sama mengikuti perbicaraan mahkamah.

KEJAM mendoakan agar Dato' Seri Anwar Ibrahim, keluarga serta pendokong keadilan dan kebenaran di negara ini terus diperkukuhkan semangat dan iltizam untuk membawa 'Harapan Baru Untuk Malaysia' seluruhnya.

---

Shamsul Iskandar M Akin adalah Pengerusi KEJAM_