Hishamuddin Rais | Nov 20, 08 3:03pm
Apabila saya dibebaskan dari kem tahanan Kamunting pada 2003, saya telah mengeluarkan slogan "Tangkap! Tangkap Madey!" Ramai yang tersalah faham kenapa saya mengeluarkan slogan ini.
Slogan ini bukan kerana dendam. Saya tidak mendendami sesiapa pun. Slogan ini adalah hasil daripada analisis politik.
Di hari Dr Mahathir (Madey) meninggalkan pejabat PM, pada malamnya saya telah mengadakan pesta yang saya panggil "Malam Menghalau Hantu Raya".
Di malam itu, ramai kawan datang untuk berpesta termasuk berbelas-belas anggota polis dan tuan OCPD dari Brickfeilds.
Saya pangil Madey Hantu Raya kerana dari mitologi Melayu ada kepercayaan di mana seseorang yang telah berjanji dengan setan tidak akan mati-mati. Rasa saya metafora Hantu Raya untuk Madey cukup tepat.
Justeru slogan "Tangkap! Tangkap Madey!" itu semakin terbukti tepat. Dan pesta Menghalau Hantu Raya itu juga memang tepat.
Ramai tersalah baca tentang Hantu Raya. Ramai salah analisis dan tidak memahami perjalanan politik. Salah baca ini muncul kerana: Pertama - penganalisisan dan pembacaan politik mereka tidak memiliki asas ekonomi dan kelas. Kedua – penganalisisan politik ini dicampuradukkan dengan harapan dan mimpi si penganalisis itu sendiri.
Politik ialah perebutan kuasa. Kuasa muncul daripada ekonomi. Ekonomi ialah harta dan wang ringgit. Politik ialah perjuangan satu kumpulan atau satu kelas yang ingin mendapatkan kuasa agar dapat memiliki punca harta kekayaan.
Hukum politik dan kuasa ini tidak akan berubah-ubah sama ada di Saudi Arabia yang Islam, di India yang Hindu, di Nepal yang menganut Buddha, di Itali yang Katholik atau di Peranchis yang sekular.
Harus diakui bahawa Hantu Raya ini telah meninggalkan kerusi PM kerana telah dihalau oleh ombak Reformasi. Hantu Raya tidak akan pergi tanpa dihalau. Keputusan pilihanraya umum 1999 membuktikan jika Hantu Raya ini tidak pergi, maka ombak Reformasi akan melingkupkan United Malays National Organisation.
Ketika Hantu Raya mengundur dan hilang kuasa, kita dapat melihat bagaimana polong-polong dan para kroni seperti Halim Saad, Daim Zainuddin, Lim Goh Tong, Ananda Krishan, Eric Chia, Vincent Tan – mula menguncup.
Eric Chia dibawa ke mahkamah untuk kes Pewaja, Vincent Tan dibawa ke mahkamah kerana terlibat dalam kes korek, korek, korek (correct, correct, correct). Malah Hantu Raya sendiri telah diheret ke mahkamah dalam kes pita video Lingam. Keadaan ini cukup menggerunkan Hantu Raya.
Polong dan kroni-kroni Hantu Raya telah mula hilang pengaruh dan hilang kunci untuk dapat merompak dana negara dan merompak harta rakyat tanpa dihalang-halang. Waspada, kaum pemodal yang menjadi polong ini tidak akan pergi tanpa melawan kembali.
Justeru, mereka bersama Hantu Raya telah menyusun strategi untuk kembali berkuasa.
Saya telah banyak menulis dan cuba menerangkan kenapa Hantu Raya ini wajib dilihat sebagai musuh orang ramai. Banyak tulisan yang membuktikan bahawa selama 22 tahun Hantu Raya berkuasa banyak porak-peranda telah menimpa orang ramai.
Dasar penswastaan atau mengagih-agihkan harta rakyat seperti syarikat MAS, syarikat air, elektrik, jalan raya, keretapi, hospital - kepada kroni dan para polong adalah salah satu daripada dasar Hantu Raya yang kita semua rakyat merasai parah akibatnya.
Memaksa kanak-kanak sekolah belajar sains dan ilmu kira-kira dalam bahasa Inggeris adalah satu lagi bukti. Dasar ini dilaksanakan tanpa perbincangan dan pengkajian. Dasar ini telah dan sedang memporakperandakan sistem pembelajaran kebangsaan. Hasilnya bahasa pengucapan kebangsaan semakin parah dan cacamarba.
Hantu Raya juga telah mengusutmasaikan dan merobek lembaga kehakiman negara. Kes pembuangan hakim pada 1988 masih dirasakan musibatnya. Lembaga kehakiman negara menjadi porak-peranda sehinggakan ada susuk peguam, susuk magistret dan susuk hakim boleh dijual beli.
Untuk berkuasa kembali, Hantu Raya telah merancang dengan licik. Hantu Raya telah membuat kelentong hinggakan Tengku Razaleigh Hamzah merasa yakin bahawa dialah yang layak untuk memimpin United Malays National Organisation.
Lihat pula bagaimana Rais Yatim naik ekor dan hampir terpancut apabila badannya diurut-urut oleh Hantu Raya. Tiba-tiba Rais Yatim merasa dialah susuk yang berwibawa untuk menjadi timbalan presiden gerombolan United Malays National Organisation.
Susuk-susuk ini diurut-urut oleh Hantu Raya agar mereka bangun bertandak untuk melekeh dan mengkritik Abdullah Ahmad Badawi. Tidak cukup dengan ini, Hantu Raya telah menggunakan taktik – polis baik dan polis jahat – untuk memberi tekanan kepada Abdullah agar mengundur.
Polis baik ialah Najib Razak. Polis jahat ialah Muhyiddin Yassin. Taktik klasik ini selalu digunakan oleh polis semasa melakukan siasatan. Satu orang akan memberi tekanan secara kasar ganas dan yang satu lagi akan memberi tekanan secara halus. Akhirnya Abdullah Badawi terlucut seluar.
Dari 2003 lagi saya telah menulis dan berkeyakinan bahawa pilihan 'agung' Hantu Raya ialah Najib Razak. Malah kita jangan lupa hampir tiga bulan sesudah menjadi PM, Abdullah Badawi tidak memilih sesiapa pun sebagai timbalan sehingga Hantu Raya membuat pengisytiharan. Abdullah Badawi terpaksa mengiyakan pilihan Hantu Raya.
Maka Najib Razak menjadi timbalannya.
Sila lihat corak siapa yang dilantik dan diyakini dalam kabinet Hantu Raya. Semuanya yang dijadikan pemimpin kanan adalah susuk-susuk yang memiliki masaalah. Rahim dengan budak kecik, Megat dengan penjual kedai video, Nazri dengan teksi-teksinya, Rafidah dengan APnya.
Lagi banyak si menteri bermasalah, lagi setia menteri ini dengan Hantu Raya. Lagi banyak berasuah, lagi senang polong-polong ini mengikut kata Hantu Raya.
Apakah Najib ada masaalah? Saya tidak perlu menjawab soalan bodoh ini. Kalau seekor tikus yang bertanya mungkin saya akan cuba menerangkan kepada tikus ini tetapi kalau warga negara yang celik otak bertanya, maka saya meminta orang yang bertanya ini pindah ke Zimbabwe.
Hantu Raya memiliki strategi berjangka panjang. Semuanya telah, sedang dan akan diatur dengan licik. Tujuan akhir ialah untuk menobatkan anak Hantu Raya. Ini untuk meneruskan dinasti dan memastikan harta kekayaan negara ini akan terus selamat di tangan kaum keluarganya. Juga untuk memastikan Hantu Raya sendiri tidak akan dibawa ke mahkamah untuk menghadapi seribu satu pertuduhan.
Siapa sebenarnya yang diwakili oleh Hantu Raya ini? Jawabnya, bukan Mak Cik dari Felda Taib Andak, bukan tuan punya warong di Pantai Dalam, bukan ahli United Malays National Organisation Bukit Jelutong.
Hantu Raya mewakili borjuis nasional, cukong-cukong besar – Daim Zainuddin, Lim Genting, Vincent Tan, Ananda, Tin Phek Bakun – ini hanyalah beberapa nama cukong borjuis nasional yang diketahui umum.
Mereka ini semuanya menjadi polong kaya-raya menghisap darah kekayaan negara kerana setia kepada Hantu Raya.
Justeru pertempuran antara Hantu Raya dengan Abdullah Badawi wajib dibaca sebagai pertempuran kepentingan ekonomi dari dua kelas yang berbeza. Syarikat Scomi, ECM Libra, atau Ethos Capital adalah pendatang baru yang belum bertahap borjuis nasional. Syarikat-syarikat ini kaya tetapi belum cukup kaya-raya yang melimpah ruah.
Kumpulan kelas baru ini cuba mengambil punca-punca ekonomi melalui payung kuasa Abdullah Badawi. Inilah sebab musabab kenapa Hantu Raya siang dan malam menggodam Khairy Jamaluddin, menggodam Tingkat Empat dan menggodam Kalimullah Hassan.
Penggodaman yang dilakukan oleh Hantu Raya tidak ada sangkut paut dengan Islam, dengan Melayu, United Malays National Organisation, nilai patriotisme, dasar luar negara dan, dan, dan... Pergaduhan politik ini ialah perebutan ekonomi.
Pada akhir 2008, kuda-kuda tunggangan Hantu Raya telah tersedia untuk ditunggang. Kuda sudah sedia. Celana sudah dipasang. Malaysia akan kembali ke zaman gelap Dr Mahathir Mohamad.
Bagaimana dengan Najib Razak? Najib Razak ini siapa?
Malaysia
20.11.08
Langgan:
Catatan (Atom)