Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

1.2.02

Pengalaman seumur hidup

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my

2010/01/21

MENGEMBARA dengan menaiki kereta api, walaupun ada kalanya memakan masa tetapi amat menyeronokkan.

SYURGA DUNIA...bercuti ke Pulau Sibu di Johor.
SYURGA DUNIA...bercuti ke Pulau Sibu di Johor.

JAMU SELERA...Kluang Rail Coffee di Kluang, Johor JAMU SELERA...Kluang Rail Coffee di Kluang, Johor BELI-BELAH...Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan BELI-BELAH...Pasar Siti Khadijah di Kota Bharu, Kelantan

JAMU SELERA...Kluang Rail Coffee di Kluang, Johor
MAHU CUBA...pengalaman mengembara dengan kereta api.
MAHU CUBA...pengalaman mengembara dengan kereta api.

MENGEMBARA dengan menaiki kereta api, walaupun ada kalanya memakan masa tetapi amat menyeronokkan.

Pemandangan sawah padi menguning, pekan kecil berselang-seli dengan landskap semula jadi air terjun, hutan di celah banjaran pergunungan mungkin memberi perspektif baru ke destinasi percutian. Peluang menaiki perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) adalah pengalaman seumur hidup.

  • Stesen Ibu kota - Stesen KTMB Kuala Lumpur Reka bentuknya menggabungkan kegemilangan seni bina abad ke- 13 dan 14 dengan pengaruh Moghul Islam, Moorish dan Yunani. Arkiteknya, warga British, Arthur Benison Hubback.

    Dihiasi menara dan kubah putih, ia memberi pemandangan nostalgia Kuala Lumpur sebelum merdeka.

    Pernah menjadi hab kereta api di Semenanjung sebelum diambil alih Stesen KL Sentral.

    Ia terletak berhampiran Masjid Negara, Taman Burung, Taman Rama-rama, Muzium Kesenian Islam, Masjid Negara, Muzium Polis Diraja Malaysia, Dataran Merdeka dan Bangunan Sultan Abdul Samad. Ia menghubungkan stesen Komuter ke Seremban, Rawang, Pelabuhan Klang dan Sentul. Dari stesen Pelabuhan Klang, anda boleh menaiki bot untuk menikmati makanan laut segar di Pulau Ketam.

  • Stesen selatan - Stesen KTMB Kluang Sebelum budaya kopitiam menjadi gaya hidup kota, Kluang Rail Coffee menarik tetamu sejak tahun 1930-an. Ada datang dari Johor Bahru semata-mata mahu menikmati aroma kopi dan roti bakar di stesen berusia 70 tahun itu. Dari stesen ini, pelancong boleh ke Taman Negara Endau Rompin, Johor yang pernah kecoh dengan kisah 'bigfoot'.

    Ada dua jeram (Jeram Panjang dan Jeram Guntung Keriung) serta Air Terjun Mahkota setinggi 45 meter untuk mandi-manda. Jika berminat ke pulau peranginan, ambil bas atau teksi ke jeti Mersing, pintu masuk ke Pulau Tioman, Pulau Besar, Pulau Tinggi dan Pulau Rawa. Pilihan lain adalah Pulau Sibu, kira-kira sejam perjalanan dari jeti Tanjung Leman.

  • Stesen Kluang Terletak lima jam perjalanan dari Stesen Sentral Kuala Lumpur. Kereta api dari utara dan timur melalui Kluang: Ekspres Sinaran Pagi, Ekspres Rakyat, Ekspres Senandung Malam, Ekspres Lambaian Timur, Ekspres Timuran.

  • Lawatan ke Taman Negara memerlukan tempahan awal dengan agensi pelancongan selain permit khas. Untuk ke Jeti Mersing, mengambil masa sejam, manakala setengah jam ke Jeti Tanjung Leman.Jika mahu ke pulau, pastikan jadual perjalanan bot bagi mengelak menanggung kos tambahan.

  • Stesen tengah - Stesen KTMB Kuala Lipis

  • Jika tidak kerana Datuk Siti Nurhaliza, mungkin masih ramai tidak tahu lokasi bandar yang pernah menjadi ibu negeri Pahang sebelum 1953. Ia juga tanah kelahiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak. Perkembangan Kuala Lipis banyak disumbangkan menerusi perlombongan emas. Kini, tinggalan British seperti Pejabat Daerah dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Clifford dan rumah penyanyi nombor satu negara itu. Dari bandar ini, anda boleh menempah pakej ke Taman Rimba Kenong untuk meneroka sembilan rangkaian gua batu kapur.

  • Sejam pemanduan akan membawa anda ke santuari kelah di Taman Negara. Jika mahu bermalam, Homestay Kuala Medang menyediakan bayaran RM50 semalam.

  • Stesen Kuala Lipis terletak enam jam dari ibu kota. Kereta api dari selatan melalui Kuala Lipis: Ekspres Wau, Ekspres Lambaian Timur, Ekspres Timuran.

  • Lawatan ke Taman Negara dan Taman Rimba Kenong perlu mendapat bantuan agensi pelancongan termasuk permit masuk.

  • Pengalaman homestay boleh diaturkan menerusi www.homestaykualamedang.com.

  • Stesen pantai timur - Stesen KTMB Wakaf Bharu Stesen KTMB Wakaf Bharu hanya lima kilometer dari bandar Kota Bharu. Jika ke negeri Cik Siti Wan Kembang, mulakan langkah di pasar malam di tengah kota atau Wakaf Che Yeh untuk membeli pelbagai barangan.

  • Pasar Siti Khadijah dan Pasar Budaya antara lokasi membeli belah wajib jika mengunjungi Kelantan. Atau, jika sempat terus ke Pangkalan Kubur, bersempadan Thailand.

  • Ada beberapa pantai peranginan di sini, antaranya Pantai Cahaya Bulan, Pantai Sabak dan Pantai Melawi. Makanan, pastinya nasi ulam, nasi kerabu, laksam atau budu.

  • Stesen ini terletak 13 jam dari Kuala Lumpur. Kereta api melalui Wakaf Bharu : Ekspres Wau, Ekspres Lambaian Timur, Ekspres Timuran.

  • Stesen utara - Stesen KTMB Arau Di stesen ini, tarikannya ialah "Jus Cinta" di Warung Mek Siti. Ia menggunakan ketulan asam boi yang diproses dan selain sebiji limau kasturi, bagi menambah keenakannya.

  • Stesen ini terletak 10 jam dari Kuala Lumpur. Kereta api dari selatan yang melalui Arau : Ekspres Langkawi. RUJUKAN PERCUTIAN Menawarkan diskaun khas buat pelajar dan tambang konsesi, layari http://www.ktmb.com.my.
  • 2.1.02

    M JUSOFF TAIB: Salam kepada bukan Islam


    M Jusoff Taib


    DI TENGAH kalut kalangan umat Islam yang menonjolkan perjuangan Islam di sebalik isu ‘nama Allah’, yang pada saya ramai yang masih mengenepi kedaulatan Allah dari hati nurani, Tok Guru Nik Aziz memunculkan isu ‘boleh beri salam kepada bukan Islam.’

    Secara moralnya, bagi saya Muslim wajib memberi salam (jaminan kesejahteraan) kepada bukan Islam, iaitu secara sikap moral dan tertanam dalam batin atau hati nurani. Malah itu berupa sikap akidah, yang tidak boleh dicuaikan jika kita benar-benar seorang Muslim – yang menyerah diri kita kepada konsep hidup Islam demi Allah.

    Salam secara maknawi adalah menjamin kesejahteraan, keselamatan dan pembelaan terhadap sesama Islam mahu pun sesama manusia yang tidak bermusuhan, malah sedia bermuafakat dan membantu kita dalam menyempurnakan masyarakat berkerukunan dan saling membantu.

    Jadi falsafah ucapan salam ialah menyedarkan kontrak sosial, terutamanya sesama umat Islam. Misalnya moral memberi salam menurut Nabi saw, Muslim yang berkenderaan patut dan utama memberi salam terlebih dahulu kepada yang berjalan kaki. Maknanya yang elit lebih layak menjamin keselamatan sesama yang lebih daif dan berkurangan. Bukan sebaliknya.

    Dalam fekah, umat Islam dikehendaki menjamin keselamatan orang bukan Islam yang sewarga negara dengan kita. Agama, maruah, harta mereka wajib dipastikan selamat dari pencerobohan orang Islam. Malah dibenarkan menentang seperti menentang kafir harbi kepada Muslim yang melakukan kejahatan dan kezaliman kepada mereka yang telah menerima hidup berkerukunan dengan kita.

    Kenapakah sedemikian ? Kerana agama Islam yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad saw melalui wahyu Al-Quran, bukanlah agama eksklusif seperti slogan “Islam milik orang Melayu”. Slogan begini menjadikan seseorang Muslim itu memaling agama suci anutan mereka menjadi agama eksklusif seperti Judaisme – agama Yahudi.

    Ketika kita bersolat, kita membaca surah Al-Fatihah. Di hujung surah itu ayatnya ialah “ Ghairi al-maghdhuubi ’alaihim wala adh-dhaalliiin”. Ayat ini ditafsir oleh Nabi Muhammad saw sendiri. “ Al-Maghdhu” sebagai “ Al-Yahud” – Yahudi. “Wala adh-dhaallinn” sebagai “ An-Nashara”. Jadi melalui Al-Fatihah setiap solat kita, telah ditentukan Allah supaya kita tidak meng-eksklusif-kan agama kita bagai Yahudi, dan tidak pula tersesat ke dalam emosi apabila beragama Islam. Kita wajib tunduk kepada pengertian dan fahaman berdasarkan ilmu.

    Dan apabila disebut ilmu, ada dua ilmu penentu kesucian, kemuliaan dan kesahihan agama kita, iaitu Al-Quran dan Sunnah yang berdasarkan sumber yang sahih segi sanad dan matannya. Hujah ini sahajalah merupakan kesucian agama.

    Apabila disebut ulama khilaf dalam satu-satu hal, ia menunjukkan ketiadaan dalil kuat yang mendokong satu-satu pandangan itu secara muktamad. Maka di sini kita harus menggunakan akal yang mendalam, murni dan waras dengan keadaan semasa untuk membuat pilihan demi kebaikan agama kita. Malah dengan tujuan demi Allah, bukan demi nafsu dan prasangka emosional kita.

    Bebalik kepada pandangan Tok Guru Nik Aziz tentang salam kepada bukan Islam, beliau dipetik oleh tabloid Siasah sebagai berkata: “Ada orang pernah tanya bolehkah orang Islam beri salam bila jumpa orang Cina atau India (bukan Islam). Setengah ulama kata boleh, setengah ulama pula kata tak boleh.”

    “Jadi bagi ambo (saya), boleh. Sebab ia perkara khilaf. Bila ia cuma satu khilaf kenapa kita masih nak ambil yang tak boleh. Mana baik kita beri salam dengan tak beri salam.”

    “Tambah-tambah dunia sekarang dunia orang tengah balah (bertelagah), kita beri salam maknanya selamat untuk kamu. Di mana tak baiknya beri salam.”

    Dari kenyataan yang dipetik sebagai kenyataan Tok Guru di atas, satu kesimpulan kaedah fiqh dakwah Islamiyah telah diberi oleh Tok Guru.

    (1) Dalam permasalahan khilaf, pemilihan yang tepat harus dilakukan,
    (2) Pemiliohan itu harus berdasarkan maslahat dan hikmah demi Allah dan agama-Nya.
    (3) Mendalami kehendak semasa dan mencitrakan Islam sebagai kemuliaan dari Allah melalui mengamalan ke dalam budaya umat.

    Dalam hal salam ini, jika kita merujukkan kepada Bustanul Arifin yang dikarang oleh Syekh Nashr bin Muhammad As-Samarqandi, kita dapati beliau menyebut tentang adanya khilaf.

    Berkata Syekh Syeikh Nashr : “Para ulama berselisih (khilaf) mengenai memberi salam kepada ahli zimmah. Sebahagian mereka memperbolehkannya. Dan sebahagian lain melarangnya. Akan tetapi bila mereka memberi salam, kita boleh membalasnya dengan jawapan. Pendapat inilah yang kami anut.”

    Menurut Syeklh Nashr, pihak yang membolehkan memberi salam kepada Ahli Zimmah berdasarkan pendapat Abdullah bin Mas’ud r.a. Sementara yang tidak membolehkannya pula, mengambil hujah dari Abdullah bin ‘Umar.

    Untuk memberikan makna yang mendalam tentang hikmah agama Allah tentang memberi salam kepada bukan Islam ini yang dinyatakan oleh Tok Guru Nik Aziz itu, elok rasanya kita membuka Al-Quran dalam keadaan yang tenang, dan menghadap hati kepada Allah, lalu merenung ayat 84 hingga ayat 87 Surah An-Nisaa’.

    Mudah-mudahan dicurahi hikmah ke dalam hati nurani kita. WaLahu a’lam bish-showaab !

    Harakah