Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

2.2.00

BANGLO @ ISTANA KHIR TOYO DI SHAH ALAM













Rumah mewah milik Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo di Shah Alam mencetus kontroversi kerana kosnya dikatakan melebihi kemampuannya atau menteri besar yang berkhidmat selama lapan tahun.

ADUN Sekincan, Ng Suee Lim mendakwa anggaran kos pembinaan rumah di kawasan seluas 50,000 kaki persegi atau 0.5 hektar itu, ialah RM20 juta, manakala tanahnya dibeli dengan harga RM3.8 juta."Beliau berhak untuk membina sebuah rumah sebesar mana sekalipun. Tetapi sebagai bekas menteri besar, beliau mesti menjelaskan bagaimana beliau membiayai pembinaan rumah tersebut," kata wakil rakyat DAP itu, yang membawa sekumpulan wartawan untuk menyaksikan rumah Dr Mohd Khir pagi tadi.Rumah tersebut terletak di Jalan 1/7L di Seksyen 7, Shah Alam.

Berbekalkan dokumen dari Pejabat Tanah dan Galian Selangor, Ng menunjukkan bukti bahawa Dr Mohd Khir, 44, dan isterinya Zahrah Kechik, 44, memberi secara bersama tanah tersebut dari Ditamas Sdn Bhd pada 2007.Dokumen itu menunjukkan bahawa seorang pengarah Ditamas - yang dikenali sebagai Shamsuddin Hayroni - didakwa Ng sebagai kawan Dr Mohd Khir.Sambil menggelarkan rumah tersebut sebagai "istana bergaya Bali", Ng berkata, pakar industri pembinaan menganggarkan kos pembinaan dan kelengkapan rumah tersebut ialah kira-kira RM20 juta."Pintu gerbang sahaja berharga kira-kira RM290,000. Jubin yang anda lihat adalah diimport," katanya.

Ng juga mendakwa, rumah Dr Mohd Khir itu jauh lebih besar daripada bunglo 17 bilik yang dibina oleh allahyarham Zakaria Mat Deros sehingga mencetuskan kontroversi pada 2006.

Merujuk pengisytiharan harta oleh Menteri Besar Selangor sekarang Tan Sri Khalid Ibrahim, Ng berkata pendapatan seorang menteri besar ialah RM576,000 setahun dan oleh itu, Dr Mohd Khir tidak mungkin dapat mengumpulkan wang yang cukup untuk membayar kosnya sebanyak RM24 juta.Dr Mohd Khir seorang doktor gigi sebelum meningkat dalam hirarki Umno dan menjadi menteri besar pada 2001 ketika berusia 33 tahun.

1.2.00

Mimpi Flor De La Mar

Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
2009/12/31

Alami pengalaman berbeza dengan bermalam di perut replika kapal Portugis, sekali gus dekati melalui sejarah gemilangnya

UNIK...tidur bertemankan artifak lama dalam perut kapal.
UNIK...tidur bertemankan artifak lama dalam perut kapal.

WARISAN..pemandangan malam kincir air Kesultanan Melayu Melaka.
WARISAN..pemandangan malam kincir air Kesultanan Melayu Melaka.

FILEM A Night in the Museum (2006) membawa khalayak berfantasi mengenai artifak yang kembali hidup selepas muzium dalam cereka itu, Museum of Natural History di New York, ditutup kepada kunjungan pelawat pada malam hari.

Dari rangka Tyrannosaurus Rex; angkatan tentera Rom diketuai jeneralnya, Octavius kepada tentera koboi dan Jeddiah, bintang utamanya, Ben Stiller turut bertemu dengan mantan Presiden Amerika Syarikat, Theodore Roosevelt.

Kini, keunikan pengalaman seperti itu dapat anda peroleh jika mengikuti pakej bermalam di replika kapal Portugis, Flor De La Mar di tengah Melaka.

Muzium di Jalan Quayside berhampiran muara Sungai Melaka itu dibina setinggi 34 meter (m) tinggi, 36 m panjang dan lapan m lebar. Ia dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 13 Jun 1994.

Meskipun peserta tidak akan 'bertembung' tokoh dan artifak silam seperti mana di layar Hollywood, ia tetap menawarkan pengalaman unik seumpama bermalam dalam perut kapal perang lama.

Pengunjung akan diajak menghayati sejarah kegemilangan empayar Kesultanan Melayu Melaka sebagai pusat perdagangan sebelum jatuh ke tangan Portugis pada 1511.

Untuk itu, bahan pameran dibahagikan kepada empat era meliputi zaman kegemilangan Kesultanan Melayu Melaka bermula 1400-1511, Portugis (1511-1641), Belanda (1641-1795) dan British (1824-1957) sehingga kemerdekaan negara pada 1957.

Ini diperjelas menerusi bahan pameran seperti rempah ratus yang menjadi rebutan penjajah, diorama, audio visual, lukisan, peta lama, model kapal dan artifak berkaitan sejarah maritim di Nusantara.

Pengalaman bermalam dalam kapal ini tidak lengkap jika tidak meneliti kisah Panglima Awang - dipercayai sebagai Henry The Black atau Enrique of Melaka, Melayu yang turut serta dalam misi pelayaran Ferdinand Magellan mengelilingi dunia pada 1519.

Ada berpendapat Awang adalah pendekar Melayu yang berjuang mempertahankan Melaka daripada serangan tentera Portugis pada 1511. Selepas ditangkap musuh dan dijadikan hamba, dia ditugaskan sebagai jurubahasa serta pembantu kepada Magellan.

Namun, Magellan gagal dalam misinya apabila mati dalam Peperangan Mactan di kepulauan Filipina pada 1521. Rekod rasmi Sepanyol menyatakan Enrique of Melaka bersama 27 yang lain terselamat dan angkatan itu kembali ke Sepanyol.

Diari Antonio Pigafetta, sukarelawan Itali yang turut serta dalam pelayaran Magellan, menyatakan Enrique adalah hamba berketurunan Melayu dari Sumatera, namun tiada penjelasan mengenai nasibnya selepas kematian Magellan.

Selain dikelilingi peta lama, model kapal tradisional Melayu, Inggeris, Belanda dan Portugis, malam hari akan ditemani beberapa patung 'banduan' yang diletakkan dalam kurungan besi di salah satu tingkat dalam perut kapal ini.

Meskipun kelihatan agak menggerunkan, ia memberi idea kesengsaraan hidup tahanan yang bersesak dalam ruang sempit ketika Magellan belayar mengelilingi dunia.

Menurut Pengurus Besar, Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Khamis Abas replika Flor De La Mar itu menyimpan sejarah kejatuhan Melaka ke tangan Portugis dan bermulanya penjajahan kuasa Barat di Tanah Melayu.

Katanya, kapal perang yang dibina di Lisbon, Portugal pada 1509 itu dikatakan boleh membawa 600 penumpang dengan had muatan sehingga 500 tan.

"Tidak ramai mengetahui sejarah Flor De La Mar yang pernah menjadi kapal utama armada Portugis ketika Afonso de Albuquerque menyerang Melaka pada 1511.

"Setahun kemudian, ia karam di Aru Temiang di perairan Indonesia," katanya.

Justeru, katanya, kunjungan ke muzium itu memberi pengalaman unik terutama untuk pelajar memahami sejarah perkembangan politik di rantau Nusantara.

Menurutnya, program bermalam di muzium itu sudah menarik lebih 500 peserta termasuk pelajar sekolah dari Singapura.

"Program ini memberi mesej bahawa jika kita kehilangan kuasa politik, maka hilanglah semuanya," katanya.

>>Info

Replika Flor de La Mar adalah fasa 1 Muzium Samudera yang menjadi sebahagian daripada kompleks Muzium Maritim.

Selain itu, kompleks sama menempatkan Muzium Samudera Fasa Dua, Muzium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Kapal Ex-KD Sri Terengganu, semuanya terletak berhampiran satu sama lain.

Selain bermalam dalam perut kapal dibina menggunakan kayu cengal, pengunjung juga dapat melihat bahan pameran seperti helikopter jenis Wasp Has MK 1, kompas magnet gegasing, carta gerakan komando anti Jepun.

Mereka juga dapat menyaksikan replika kapal seperti KD Hang Tuah, KD Mutiara, selain kapal KD Sri Terengganu yang dipamerkan di luar bangunan muzium.

Ia juga memberi pengunjung menyaksikan peralatan peperangan, visi dan misi setiap kapal dan skuadron.

Muzium sama turut mempamerkan koleksi Timbalan Panglima Tentera Laut, Tan Sri Mohd Sharif Ishak seperti cenderahati penghargaan dari negara luar dan cenderahati pemeriksaan tahunan KD Seri Medini 1988.

Menurut Khamis, pakej bermalam di muzium itu ditawarkan Perzim dengan kerjasama Hotel Naza Tallya pada harga RM65 dan RM95 dan meliputi lawatan ke tapak bersejarah, river cruise dan pilihan sarapan pagi.

"Sebelum bermalam, peserta dibawa dulu melawat bangunan bersejarah peninggalan penjajah termasuk Kota A Famosa dan Dataran Merah Stadthuys.

"Ini kemudian diikuti pakej menyusuri Sungai Melaka dan taklimat mengenai Muzium Samudera sebelum mereka bermalam dalam perut kapal," katanya.

Menariknya, dari kawasan replika kapal ini yang terletak berhampiran dengan muara Sungai Melaka, peserta dapat melihat keindahan tarikan pelancongan utama negeri itu pada malam hari.

Ini termasuk Eye on Melaka, kawasan Pulau Melaka yang menempatkan masjid terapung, dan Kincir Air Kesultanan Melayu Melaka.

Maklumat lanjut, layari www.perzim.gov.my.

Kunjungan wakil media dari ibu kota ke Melaka diaturkan Bahagian Promosi Pelancongan, Jabatan Ketua Menteri Melaka.