Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.10.11

Udara kotor rencat kecerdasan

SERDANG 3 Okt. - Umum mengetahui pencemaran udara mampu mengganggu sistem pernafasan manusia bagaimanapun tidak ramai yang menyedari bahawa ia juga boleh merencatkan kecerdasan otak (IQ) kanak-kanak.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia (UPM) mendapati, IQ kanak-kanak yang tinggal di Kemaman, Terengganu adalah lebih tinggi berbanding kanak-kanak yang membesar di Kuala Lumpur dan Johor Bahru.

Ketua Unit Kesihatan Persekitaran dan Pekerjaan UPM, Prof. Dr. Zailina Hashim berkata, walaupun daripada segi nutrisi (pemakanan) kanak-kanak di Kemaman tidak begitu berkhasiat dibandingkan dengan kanak-kanak di kedua-dua bandar tersebut, namun IQ mereka dikesan lebih cekap.

"Kami menghabiskan masa tiga bulan untuk menyempurnakan ujian IQ di Kuala Lumpur kerana kanak-kanak terbabit tidak dapat memberi tumpuan dan lebih hiperaktif.

"Sebaliknya di Kemaman, ujian yang sama dapat dihabiskan hanya dalam tempoh sebulan sahaja," katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Kata Zailina, udara di kawasan luar bandar yang lebih bersih berbanding di bandar adalah faktor yang membantu meningkatkan IQ kanak-kanak.

Dalam masa sama, katanya, keburukan pencemaran udara juga boleh membantutkan proses tumbesaran paru-paru yang berlaku sehingga seseorang itu mencapai usia 21 tahun.

Mengambil contoh negara Mexico, kata Zailina, kanak-kanak di sana mempunyai saiz paru-paru lebih kecil kerana berhadapan masalah pencemaran udara yang serius.

Malah katanya, keadaan tersebut bakal menimbulkan masalah dalam usaha melahirkan individu yang aktif seperti seorang atlet.

"Seseorang atlet perlu mempunyai saiz paru-paru yang besar. Sekiranya, pencemaran udara di kawasan bandar tidak dikawal, sukar untuk negara mencari atlet di masa hadapan," katanya.

Sehubungan itu, kata Zailina, sudah sampai masanya kerajaan mengkaji semula Garis Panduan Kualiti Udara Ambien Malaysia yang diguna pakai kini untuk memastikan kualiti hidup rakyat di negara ini dapat dipertingkatkan.

Menurut beliau, standard yang digunakan pada masa ini perlu diturunkan supaya bersesuaian dengan tahap kesihatan rakyat Malaysia khususnya bagi mereka yang berpenyakit.

"Walaupun tahap kualiti udara semasa negara berada jauh daripada paras tidak sihat, namun ia masih memudaratkan kesihatan golongan sensitif seperti pesakit lelah dan jantung, bayi serta warga emas," katanya.

Tiada ulasan: