Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.10.11

Kaji semula peraturan universiti

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Sultan Perak, Sultan Azlan Shah mahu peraturan berkaitan pengurusan universiti yang boleh menjadi penghalang kemajuan dan tidak lagi relevan pada era ini dikaji semula, dipinda dan diperkemas selaras dengan perkembangan semasa.

Sultan Azlan bertitah, ia sejajar dengan hasrat negara dalam mengamalkan urus tadbir yang lebih terbuka dan telus.

Pada masa sama, titah baginda, mahasiswa perlu didedahkan kepada realiti budaya, sosioekonomi dan politik negara pada masa kini.

"Persekitaran kehidupan mahasiswa mendewasakan diri di dalam kampus hendaklah seboleh mungkin tidak terpisah dan berlainan dengan persekitaran kehidupan masyarakat,'' titah baginda ketika merasmikan Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-50 di sini, hari ini.

Turut berangkat pada majlis itu, Raja Muda Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Sultan Azlan yang juga Canselor universiti itu berkata, setiap warga universiti perlu memahami cabaran yang sedang dihadapi dalam hasrat memastikan universiti berada di mercu tanda teratas dan diiktiraf sebagai sebuah universiti cemerlang.

"Warga akademik perlu terus memperkenalkan pembaharuan dari segi kokurikulum, pendekatan serta kaedah pembelajaran dan pengajaran selaras dengan perkembangan pendidikan terkini,'' titahnya.

Menurut baginda, kuasa autonomi merupakan prasyarat penting untuk membantu usaha-usaha universiti mencapai tahap kecemerlangan.

Titah baginda, dengan memperoleh status autonomi, universiti berkeyakinan untuk menyusun strategi yang lebih dinamik, proaktif, berinovasi dan berdaya saing.

"Peranan universiti amat berbeza dengan peranan jabatan agensi kerajaan yang lain. Justeru, skim perkhidmatan, imbuhan warga akademik dan budaya urus tadbir di kalangan warga universiti tidak boleh disamakan dengan perkhidmatan-perkhidmatan awam lain,'' titahnya.

Pada majlis konvokesyen itu, baginda turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada Profesor Wu Zongyu atas sumbangan besar beliau dalam memartabatkan bahasa Melayu di peringkat antarabangsa.

Turut menerima anugerah yang membawa gelaran Profesor Emeritus ialah pakar Sejarah dan Undang-Undang Islam, Prof. Datuk Paduka Dr. Mahmood Zuhdi Ab. Majid dan pakar bidang Perubatan Mikrobiologi, Prof. Datin Dr. P. Savithri Devi Ampalam.

Tiada ulasan: