Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.10.11

Kaji dari segi sosio, ekonomi cadangan lanjut usia bersara

KUALA LUMPUR 3 Okt. - Kerajaan perlu melihat dari perspektif sosio dan ekonomi serta daya saing negara dalam cadangan melanjutkan usia persaraan kakitangan kerajaan.

Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Datuk Irmohizam Ibrahim berkata, ini kerana cadangan itu dikhuatiri akan mewujudkan lambakan pengangguran di kalangan generasi muda kerana peluang yang terhad selain peningkatan graduan baru saban tahun.

"Kerajaan perlu mengambil kira faktor untuk meremajakan institusi awam supaya negara berada pada tahap yang kompetitif dan mempunyai daya saing yang cemerlang.

"Dalam masa sama, faktor kesihatan dan produktiviti dalam kalangan pegawai kerajaan juga wajar menjadi pertimbangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam yang antara lain berpandangan 'orang lama' boleh menyumbang kepada kecekapan sistem penyampaian bersandarkan pengalaman mereka.

Irmohizam berkata, usia persaraan wajib yang dilihat sesuai adalah 58 tahun manakala pilihan untuk terus berkhidmat pula sehingga ke 60 tahun sekiranya kakitangan kerajaan itu menunjukkan prestasi serta kesihatan yang membanggakan.

Dalam masa sama, tambahnya, faktor kenaikan pangkat kakitangan awam perlu dilihat secara menyeluruh supaya tiada yang terpaksa melupakan hasrat tersebut kerana tiada kekosongan.

"Sehubungan itu, kajian serius perlu dilakukan dengan mengambil kira semua aspek termasuk pandangan masyarakat serta suara generasi muda yang sangat bersemangat untuk membangunkan negara menerusi medium perkhidmatan awam," katanya.

Tiada ulasan: