Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.10.11

‘Bahasa Melayu sebati dengan jiwa saya’

KUALA LUMPUR 3 Okt. – Bahasa Melayu bukan asing bagi seorang pensyarah dari China, Prof. Wu Zongyu kerana beliau telah mendalaminya selama 55 tahun malah penguasaannya dalam bahasa itu menjadikannya sebagai penghubung antara dua negara.

Beliau yang kini berusia 72 tahun dan pernah diberi anugerah Tokoh Persahabatan Malaysia-China itu menganggap bahasa Melayu telah sebati dalam dirinya.

Sebab itulah penerima Ijazah Kehormat Doktor Persuratan dari Universiti Malaya (UM) sempena konvokesyen universiti itu hari ini, berharap bahasa tersebut turut dapat dituturkan lebih ramai penduduk di dunia.

Minat kepada bahasa Melayu mendorong beliau mempelajari bahasa Indonesia di Universiti Peking, China pada 1956 sebelum memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera lima tahun selepas itu.

Pada usia seawal 23 tahun, beliau diberi tanggungjawab untuk menubuhkan jurusan bahasa Melayu di Universiti Pengajian Luar Beijing (BFSU) sebagai titik permulaan kepada perkembangan bahasa Melayu di China.

“Kesukaran dalam usaha mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu ketika itu menyebabkan saya mengambil inisiatif menunggu siaran radio Malaya.

“Saya berasa gembira apabila dapat mendengar suara juruhebah radio berkata ‘Inilah Radio Malaya’,’’ katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali Ke-50 di sini, hari ini.

Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Persuratan kepada beliau itu disampaikan oleh Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Zongyu berkata, penguasaan bahasa Melayu beliau bermula ketika menjejakkan kaki ke negara ini sewaktu ditugaskan sebagai jurubahasa kepada rombongan Akrobatik China yang berkunjung ke negara ini pada 1987.

Katanya, kefasihan berbahasa Melayu beliau telah mendapat perhatian daripada masyarakat setempat dan kerajaan yang juga berhasrat mahu mengeratkan hubungan Malaysia dan China.

Tiada ulasan: