Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.5.08

Azizah terkejut

KUALA LUMPUR: Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata beliau terkejut dengan keputusan bekas Ketua Pemuda parti itu, Ezam Mohd Nor yang dilaporkan ingin menyertai Umno semula.“Itu keputusannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam memetik sumber mengenai hasrat Ezam itu.

Dr Wan Azizah berkata, walaupun Ezam sudah meletak jawatan daripada PKR tahun lalu, hubungan mereka masih baik.Katanya, beliau tidak terkilan dengan hasrat Ezam itu dan ia juga tidak menjejaskan kedudukan PKR kerana parti itu mempunyai ramai lagi anggota.

Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata Umno tiada halangan untuk menerima kembali Ezam jika beliau boleh menerima dasar perjuangan parti dan berhasrat mengukuhkan lagi Umno.

“Kita alu-alukan sekiranya dia berminat nak menyertai Umno secara sukarela, barangkali dia sudah tidak yakin lagi dengan dasar dan perjuangan parti yang disertainya sebelum ini,” katanya.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal berkata hasrat Ezam menyertai Umno perlu diserahkan kepada pucuk pimpinan parti untuk membuat keputusan.“Kalau dia dapat memenuhi syarat yang diletakkan sebagai seorang bekas anggota Umno yang mahu masuk semula dan sekiranya ia sebagai satu langkah untuk menguatkan parti Umno, mengapa tidak kita terima,” katanya.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz pula berkata beliau kenal rapat dengan Ezam dan berasa gembira dengan hasrat bekas pemimpin PKR itu.“Ketika saya jadi Ketua Pemuda Umno, Ezam antara orang yang saya beri kepercayaan menyediakan ucapan saya. Apabila dia keluar Umno, saya amat sedih (tetapi sekarang) saya gembira beliau ingin sertai semula Umno,” katanya. — Bernama