Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

10.4.12

Gempar isteri Razak

Oleh Murni Wan Omar dan Mohd Razlan Salleh

KUALA LUMPUR: Isteri kepada penganalisis politik terkenal, Abdul Razak Abdullah Baginda menggemparkan Mahkamah Majistret di sini, semalam apabila menjerit-jerit mendakwa suaminya bukan pembunuh dan tidak bersalah dalam kes pembunuhan model Mongolia, Altantuya Shariibuu.

“Bukan dia (Abdul Razak) yang bunuh, dia tak bersalah...sampai hati kamu buat macam ni,” jerit Mazlinda Mahzan ke arah sekumpulan wartawan tempatan sebaik memasuki mahkamah kira-kira jam 12 tengah hari.

Wanita itu mendakwa, suaminya seorang lelaki yang baik dan tidak mungkin melakukan pembunuhan itu.

Drama panas beberapa minit itu bagaimanapun berakhir apabila seorang daripada peguam bela Abdul Razak, M Puravelan, memujuk wanita terbabit selain ditenteramkan beberapa ahli keluarga yang hadir di mahkamah.

Mazlinda bersama anak tunggalnya, Rowena, 19, turut mengulangi perkataan sama ketika berada di luar mahkamah dan hanya mahu bercakap dengan sekumpulan wakil media asing yang menunggu di kawasan terbabit sejak jam 8 pagi.

Terdahulu, Abdul Razak, 46, yang turut mengetuai satu badan pemikir tempatan, didakwa bersubahat dengan Cif Inspektor Azilah Hadri, 30, dan Konstabel Sirul Azhar Umar, 35, membunuh Altantuya, 28.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu antara jam 9.54 pagi hingga 11.05 pagi pada 19 Oktober lalu di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, No 148, Jalan Ampang di sini.

Dia didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibacakan bersama Seksyen 302 kanun sama.

Seksyen berkenaan memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan dan tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin.

Penganalisis politik terbabit yang hadir memakai kemeja berwarna biru kelihatan agak letih dan hanya mengangguk faham terhadap tuduhan yang dibacakan. Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Salehuddin Saidin dan dibantu Noorin Badaruddin.

Selain Puravelan, Abdul Razak diwakili peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah.

Salehuddin kemudian berkata pihak pendakwaan memohon kebenaran supaya kes berkenaan dibicarakan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan permohonan itu tidak dibantah Muhammad Shafee.

Majistret Aizatul Akmal Maharani kemudian membenarkan permohonan kes terbabit dipindahkan ke Mahkamah Tinggi tetapi tidak menetapkan tarikh sebutan.

Turut hadir mengikuti perbicaraan itu, ibu bapa penganalisis politik terbabit, Datuk Abdullah Malim Baginda dan isterinya, Datin Rohana Abdullah.

Kelmarin, Azilah dan Sirul, kedua-duanya anggota Unit Tindakan Khas (UTK) Bukit Aman, dihadapkan ke Mahkamah Majistret Shah Alam atas tuduhan membunuh model sambilan dari Ulan Bator, Mongolia itu di sebuah kawasan Lot 12843 dan Lot 16735, Mukim Bukit Raja, Shah Alam.

Mereka didakwa melakukan perbuatan itu antara jam 10 malam pada 19 Oktober hingga jam 1 pagi 20 Oktober lalu.

Kedua-dua mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman gantung mandatori, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, Salehuddin mengesahkan pihaknya belum lagi menetapkan tarikh sebutan untuk pemindahan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Menurutnya, sebaik tarikh ditetapkan, pihak pendakwaan akan memohon supaya kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam untuk perbicaraan bersama kedua-dua anggota UTK terbabit.

Altantuya dilaporkan tiba ke negara ini bersama dua lagi sepupunya pada 6 Oktober lalu untuk menemui seorang lelaki yang dipercayai mempunyai hubungan intim dengannya.

Bagaimanapun, model terbabit dilaporkan hilang pada 19 Oktober dan kehilangan itu mendorong sepupunya membuat laporan kepada Kedutaan Mongolia di Thailand selain membuat laporan polis.

Berikutan laporan itu, polis berjaya menahan tiga suspek yang kemudian membawa kepada penemuan cebisan tubuh manusia berselerak dipercayai dibunuh dan mayatnya dibom di satu kawasan dekat Puncak Alam.

Tiada ulasan: