Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

14.12.11

Mahkamah batal saman pengikut Syiah

3:17PM Dis 14, 2011

Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, hari ini berjaya dalam permohonan bagi membatalkan saman yang difailkan seorang pengikut Syiah yang ditangkap dalam satu serbuan pada Disember tahun lalu berhubung artikel yang disiarkan di akhbar Utusan Malaysia.

Hakim Datuk VT Singham membenarkan permohonan Utusan untuk membatalkan saman Mohd Kamilzuhairi Abdul Aziz selepas mendengar hujahan peguam M.Reza Hassan yang mewakili Utusan dan Azhana Mohd Khairudin bertindak bagi Mohd Kamilzuhairi.

Dalam keputusannya, Hakim Singham memutuskan plaintif (Mohd Kamilzuhairi) gagal menimbulkan kausa tindakan yang munasabah terhadap defendan pertama (Utusan).

Beliau juga berkata kenyataan yang dikatakan menfitnah dan disiarkan di Utusan Malaysia pada 17 Dis itu tidak sama sekali merujuk kepada plaintif.

Hakim Singham berkata beliau bersetuju dengan hujahan peguam defendan bahawa keputusan mahkamah hari ini harus konsisten dengan keputusan yang dibuat pada 31 Okt lalu berhubung saman yang sama.

Pada tarikh itu, Hakim Singham membenarkan permohonan bekas Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) Datuk Muhammad Khusrin Munawi yang dinamakan sebagai defendan kedua dan Jais sebagai defendan ketiga bagi membatalkan saman Mohd Kamilzuhairi.

Hakim Singham juga menolak permohonan Azhana bagi menggantung prosiding kes saman terhadap Utusan sehingga selesai rayuan mereka berhubung keputusan mahkamah pada 31 Okt lepas, diputuskan di Mahkamah Rayuan.

Beliau berkata plaintif gagal menunjukkan sebarang fakta atau alasan khas bagi mahkamah membenarkan permohonan untuk menggantung prosiding itu.

Beliau memerintahkan Mohd Kamilzuhairi membayar kos sebanyak RM4,500 kepada Utusan.

Pada 16 Jun lalu, Mohd Kamilzuhairi menfailkan saman terhadap penerbit dan pencetak akhbar harian Utusan Malaysia dan akhbar Mingguan Malaysia, Utusan Melayu, Muhammad Khusrin dan Jais atas dakwaan menerbitkan kenyataan fitnah berhubung serbuan itu.

Mohd Kamilzuhairi mendakwa pada 16 Dis tahun lalu, Muhammad Khusrin dan JAIS telah mengeluarkan kenyataan fitnah yang kemudiannya disiarkan di Utusan Malaysia pada 17 Dis.

- Bernama

Tiada ulasan: