Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

13.12.11

Gabungan dua negara serumpun


Gandingan tiga pelawak ini iaitu (dari kiri) Jepp, Saiful Apek dan Suhaimi sebagai pengacara nyata menghiburkan penonton yang hadir.

Oleh MOHD. KHAIRUL MOHD. ALI
Gambar ABDUL NAZIR MOHAMED

KERJASAMA dua stesen penyiaran tetangga iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Mediacorp telah bermula sejak 20 tahun yang lalu.

Sebagai meneruskan kesinambungan tersebut, sebuah Konsert Muzika Ekstravaganza telah diadakan dan disiarkan secara langsung dari Auditorium Perdana, Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Konsert yang merupakan kali keenam diadakan itu mengenengahkan corak persembahan yang berbentuk gala dan orkestra.

Buat julung kalinya RTM menjadi tuan rumah kepada konsert yang mengimbau kembali nostalgia zaman kegemilangan bintang besar yang pernah mencipta fenomena tersendiri terhadap industri seni serantau.

Konsert ini dihoskan oleh gandingan pelakon dan pelawak dari kedua buah negara iaitu Saiful Apek, Jepp Sepah dan juga Suhaimi dari Singapura.

Gandingan tiga nama yang berbeza generasi ini sememangnya menjadi apabila lawak yang disampaikan walaupun bersahaja mengundang tawa hadirin yang memenuhi auditorium tersebut.

Persembahan yang memakan masa selama dua jam ini dimulakan dengan nyanyian harmoni daripada kumpulan Aristana sebagai pembuka tirai dan diikuti oleh persembahan nyanyian daripada barisan artis terkenal kedua buah negara.

Antara artis dari Malaysia yang membuat persembahan pada malam penuh gemilang tersebut ialah Datuk David Arumugam, Francissca Peter, Azlan & The Typewriter serta Izwan Pilus.

Manakala artis dari seberang yang membuat persembahan penuh bertenaga pada malam tersebut adalah Rahayu, Nana, Eiss, Hanafie Warren dan juga Rudy Djoharnaen.

Persembahan yang dapat disaksikan pada malam tersebut penuh bertenaga kerana setiap penyanyi yang membuat persembahan diiringi dengan muzik hasil gabungan bersama pemuzik Orkestra RTM dan Singapura.

Keunikan yang dapat disaksikan pada malam tersebut bukan sahaja kerana barisan artis yang ditampilkan tetapi juga persembahan kolaborasi antara artis daripada dua negara.

Antara persembahan yang memukau hadirin adalah nyanyian Datuk David Arumugam bersama Hanafie Warren yang menyanyikan lagu Suara Kekasih, Penyesalan dan Sampaikan Salam.

Selain itu, paduan suara antara Azlan dan Eiss, dua penyanyi generasi muda yang mempunyai lontaran vokal yang tinggi ini juga turut menghiburkan hadirin apabila membawa lagu popular kumpulan Search iaitu Pelesit Kota, Isi dan Kulit serta Pawana Pawaka.

Persembahan penuh gemilang yang disiarkan secara langsung melalui saluran TV2 dan Suria yang menandakan kerjasama antara dua buah negara ini diakhiri dengan semua penyanyi menyanyikan lagu Ikhlas Tapi Jauh.

Antara yang hadir menyaksikan konsert pada malam tersebut ialah Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim beserta timbalannya, Datuk Magdelin Dennis D'Cruz dan Ketua Pengarah Jabatan Penyiaran Malaysia, Datuk Norhyati Ismail.

Manakala antara kenamaan dari negara jiran yang hadir termasuklah Menteri Penerangan, Perhubungan dan Kesenian Republik Singapura, Dr. Yaacob Ibrahim; Pesuruhjaya Tinggi Republik Singapura, Ong Keng Yong serta Ketua Pegawai Eksekutif Media Development Authority, AuBeck Kam.

Tiada ulasan: