Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.3.09

Sidang bawah pokok mempelam

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my


SEJARAH...orang ramai menyaksikan Adun Pakatan Rakyat
mengadakan sidang DUN di bawah pokok mempelam.


IPOH: Belum pernah tercatat dalam sejarah negara sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa diadakan dalam keadaan anggotanya berdiri bawah sebatang pokok mempelam sambil disaksikan orang ramai mengerumuni kawasan itu.

Namun, itulah hakikatnya apabila buat pertama kali 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) berdiri bawah pokok berkenaan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Peristiwa bersejarah itu terlakar berikutan PR tetap berkeras melakukan sidang tergempar itu selepas usaha memasuki bangunan SUK menempatkan DUN gagal.

Semua Adun PR diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, tiba kira-kira jam 9.35 pagi.


Polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagaimanapun menghalang mereka masuk ke bangunan berkenaan.


Bekas Exco kanan kerajaan PR, Datuk Ngeh Ko Ham cuba berunding dengan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias bagi mendapat kebenaran masuk tetapi gagal.

Mereka diiringi lebih 200 penyokong PR yang berkumpul sejak awal pagi kemudian berjalan menuju ke pokok mempelam kira-kira 50 meter dari pintu masuk utama Bangunan SUK.

Di bawah pokok itu, tiga usul diluluskan apabila semua 27 Adun menyatakan persetujuan mereka.

Sidang yang dipengerusikan Speaker DUN, V Sivakumar itu berlangsung 20 minit bermula jam 10.20 pagi.

Usul pertama yang dibentangkan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim, menyatakan sokongan kepada Nizar sebagai Menteri Besar manakala Adun Teja, Chang Lih Kang mengusulkan supaya dewan dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Usul terakhir dikemukakan Adun Pantai Remis, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengesahkan keputusan Speaker melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam anggota Exconya daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan berlangsung dengan bantuan Setiausaha Dewan baru dilantik kelmarin, Mohd Misbahul Munir Masduki dengan penggunaan alat pembesar suara.

Sidang berkenaan turut disaksikan hampir 300 penyokong PR, penyokong Barisan Nasional, petugas media selain orang ramai.

Ia ditangguhkan kepada satu tarikh akan ditetapkan tepat jam 10.40 pagi.

Harian Metro