Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

3.3.09

Persidangan Tergempar Dewan Perak Tidak Berperlembagaan

03 Mac, 2009 23:14 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri tergempar hari ini tidak mengikut perlembagaan, menurut pakar undang-undang perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau berkata tiga usul yang diluluskan adalah tidak berperlembagaan.

Ini kerana persidangan itu diadakan 100 meter dari Bangunan Dewan Undangan Negeri, bertentangan dengan Aturan Mesyuarat, yang menyatakan bahawa masa dan tempat persidangan itu mestilah yang diwartakan, katanya.

Beliau merujuk Aturan Mesyuarat 10(1) yang menyatakan terma Dewan Undangan Negeri ialah pada masa dan tempat yang ditentukan oleh Sultan Perak dari masa ke semasa melalui pengisytiharan yang diwartakan.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini.

"Jika di atas pokok pun ia sah", itu pandangannya ketika ditanya mengenai kesahihan "persidangan tergempar" itu yang diadakan di bawah pokok di luar bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, di Ipoh pagi ini.

Persidangan itu, yang dipanggil oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar, berlangsung selama kira-kira 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohammad Agus, seorang pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan bahawa tiga usul yang diluluskan itu juga sah dan tidak boleh dicabar di dalam mahkamah.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

"Sebelum ini Dewan Undangan Negeri Perak hanya ditangguhkan dan tidak dihentikan. Jika ditangguhkan, maka Speaker mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan tergempar itu tanpa mendapat perkenan Sultan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan berkata perkara yang berlaku di Perak di luar dugaan dan membabitkan isu perundangan yang kompleks.

Sungguhpun ia tidak munasabah untuk satu pandangan konklusif mereka, sesetengah perkara itu hendaklah ditangani sebagai satu perkara prinsip, katanya dalam kenyataan.

Beliau menanyakan sama ada dibenarkan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan di luar Bangunan Sekretariat Negeri.

"Tentulah, Bangunan Sekretariat Negeri di mana Dewan Undangan Negeri patut diadakan.

"Bagaimanapun, Speaker dan Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang daripada mengadakannya di satu tempat yang sesuai oleh polis dan ini membangkitkan isu serius mengenai kesahihan tindakan polis.

"Dengan itu Speaker tersebut tidak ada pilihan tetapi untuk bertindak dalam apa yang dilihat sebagai kuasa yang luas untuk mengadakan persidangan ini di tempat lain," kata beliau.

Beliau berkata ada pandangan berbeza, tetapi keadaan itu di luar dugaan dan Aturan Mesyuarat mungkin tidak meliputi sepenuhnya seperti keadaan yang tidak diingini, menyerahkan kepada Speaker dengan kuasa untuk bertindak mengikut keadaan kes itu.

Sreenevasan berkata keadaan itu tidak boleh dipertahankan daripada kritikan dan hanya mendesak untuk satu perkara iaitu pilihan raya negeri.

"Kini ada harapan untuk ini berlaku. Biarlah rakyat menentukan," tambah beliau.

-- BERNAMA