Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.3.09

Bincang dengan Speaker

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan berbincang dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar dan membuat beberapa dokumentasi terlebih dulu sebelum menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dalam tempoh terdekat, bagi mendapat perkenan membubarkan DUN.

Beliau juga menyifatkan persidangan itu sebagai amat bermakna dan bersejarah kepada rakyat Perak kerana orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana Pakatan Rakyat menjalankan ‘sidang DUN’ dengan teratur.

“Kami baru selesai mengadakan mesyuarat keempat penggal pertama DUN pada jam 10.15 pagi tadi dalam suasana terbuka dan amat mesra rakyat.

“Ia terpaksa dibuat di bawah pokok kerana kami memang mendapat notis daripada Speaker (menghadiri sidang tergempar DUN) tetapi bila sampai bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 9.20 pagi, kami dihalang sekumpulan orang tidak dikenali.


“Kami cukup bersedih kerana pasukan keselamatan langsung tidak memberi kerjasama... kami menyatakan bantahan,” katanya pada sidang media di pejabat DAP Perak di sini, semalam sejurus selepas mengadakan sidang DUN di bawah sebatang pokok di tempat letak kenderaan di depan bangunan Perak Darul Ridzuan.


Ditanya mengenai dakwaan Adun Barisan Nasional (BN) yang mereka tidak menerima notis berkenaan, Mohammad Nizar berkata, ia mungkin disebabkan masalah teknikal.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, pula berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap pasukan polis mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang wakil rakyat daripada menjalankan tugas, yang boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Tuanku Sultan menitahkan semua sidang DUN mesti dibuat di dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan tetapi polis menghalang. Kita juga akan bertindak terhadap Menteri Dalam Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri serta mana-mana kakitangan kerajaan yang bersubahat terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Perak kini menjadi ‘negeri polis’ kerana pasukan polis lebih berkuasa daripada wakil rakyat serta negeri yang tiada undang-undang kerana polis menerima arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan bukannya wakil rakyat.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku tadi... ini adalah satu kematian kepada demokrasi kecuali rakyat bangkit di bawah Pakatan Rakyat.

“Oleh itu, saya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Zambry (Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) setuju dengan keputusan membubarkan DUN bagi menyelesaikan krisis politik di negeri ini,” katanya.