Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

23.7.09

Suasana sedih, pilu di hari pengkebumian Beng Hock

Susunan Muhammad Nor Abd Samad
Thu | Jul 23, 09 | 2:12:37 pm MYT

Lebih daripada 2,000 orang berhimpun dalam majlis pengkebumian Teoh Beng Hock di Alor Gajah Melaka.

Sewaktu acara pengkembumian dimulakan pada pukul 9.45 pagi, tunang Teoh yang mengandung, Soh Sher Wei membacakan ucapan belasungkawa yang menyentuh hati para hadirin.

Beliau menyeru supaya Teoh "kembali". Ramai yang turut menitiskan air mata mendengarkan rintihannya.

Ahli Parlimen Seputeh, Teressa Kok mewakili DAP membacakan ucapan takziah daripada parti itu.

Di antara mereka yang hadir adalah wakil-wakli daripada pertubuhan Cina dan ahli Pakatan Rakyat.

Perarakan jenazah bermula jam 10.45 pagi. Orang ramai berarak beramai-ramai mengiringi kereta jenazah yang dihiasi reben berwarna merah yang menandakan mati mengejut.

Ahli keluarga dan pemimpin Pakatan Rakyat serta penyokong mengikuti kereta jenazah dengan berjalan kaki sejauh kira-kira satu kilometer hingga ke jalan utama.

Ramai yang menangis secara terbuka. Adik-adiknya mendoakan agar Teoh "disemadikan dengan aman".

Di kalangan orang ramai yang berjalan mengiringi jenazah, ada yang mempamerkan poster bersaiz A4 gambar Teoh dengan perkataan, "Jangan biarkan Beng Hock mati sia-sia".

Sebuah poster besar hitam putih yang disediakan oleh parti KeADILan dibawa di hadapan kereta jenazah dengan tulisan "Keadilan untuk Beng Hock".

Poster-poster lain ditulis dalam bahasa Cina yang bermaksud "Keadilan untuk Beng Hock" dan "Rakyat inginkan jawapan".

Perarakan berakhir kira-kira jam 11.05 pagi dan orang ramai mula menaiki kenderaan untuk mengikuti kereta jenazah ke Taman Memorial di Semenyih di mana acara pengkebumian akan diadakan.

Konvoi tersebut tiba di bandar Semenyih pada jam 12.50 tengah hari dan orang ramai telah sedia menunggu bersama banner dan bunga.

Keranda jenazah tiba di taman memorial tersebut 10 minit kemudian dan disambut oleh lebih kurang 500 orang penyokong. Jenazah Teoh kemudian ditempatkan di sebuah kuil di tanah perkuruburan tersebut untuk satu tempoh masa tertentu.

Sebelum itu, pada pagi ini (20 Julai) lebih kurang 500 orang berhimpun di rumah Teoh sekitar jam 9.00 pagi. Suasana sepi tapi jelas menunjukkan tanda protes. Berpuluh-puluh banner dan poster dipamerkan di luar premis.

Antaranya ada yang bertulis "Jangan biarkan kematian Beng Hock sia-sia", "Keadilan untuk Beng Hock, beri jawapan pada rakyat" dan "Tubuhkan suruhanjaya diraja, tunjukkan keadilan".

Adalah dimaklumkan bahawa ahli keluarga Teoh memohon agar orang ramai yang hadir supaya berkabung dalam tenang dan tidak menjeritkan slogan.

Kesemua pemimpin utama Pakatan Rakyat selesai membuat ziarah terakhir pada 10.18 pagi. Mereka turut disertai oleh bekas pemimpin MCA, Dr Chua Jui Meng, yang baru menyertai KeADILan Sabtu lalu.

Kemudian diikuti oleh ahli exco MCA Melaka Gan Tian Loo.

Kira-kira 10 orang anggota polis termasuk polis trafik bertindak mengawal keadaan dan kelancaran lalu lintas.

Pemimpin DAP yang diketuai Lim Kit Siang, Karpal Singh dan Lim Guan Eng mengadakan sidang akhbar pada pukul 9.30 pagi.

Kit Siang berkata, beliau mahu Perdana Menteri Najib Tun Razak mengumumkan penubuhan suruhanjaya diraja sebaik sahaja beliau pulang ke Malaysia dengan tidak perlu menunggu mesyuarat kabinet diadakan Rabu ini untuk membuat keputusan.

Beliau juga menyeru supaya Najib mengarahkan SPRM supaya "berhenti memerangi Pakatan Rakyat", dan menambah bahawa institusi pencegahan rasuah itu "telah menjadi alat Umno untuk menumbangkan kerajaan Selangor".

Karpal berkata, beliau mahu Najib segera menggantung tugas Ketua Pengarah SPRM, Ahmad Said.

Pemimpin de facto KeADILan, Anwar Ibrahim yang turut bercakap kepada media menyeru supaya tindakan tegas segera diambil.

Katanya kerajaan tidak perlu berhelah dan mengemukakan pelbagai alasan kerana pihak polis dan SPRM sama-sama bertanggungjawab atas kematian Teoh.

Tambahnya, pemimpin Pakatan Rakyat akan bermesyuarat dalam masa terdekat untuk membincangkan perkara tersebut.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyokong penuh agar suruhanjaya siasatan diraja ditubuhkan dan tambahnya, rakyat Malaysia berhak tahu apa yang berlaku pada Teoh.

Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng berkata: "Kita ingin beritahu Beng Hock bahawa dia tidak akan dilupakan. Kita juga ingin beritahu SPRM, bahawa mereka juga tidak akan lepas lari".

Teoh, 30, setiausaha politik ahli Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, didapati mati Jumaat lepas.

Beliau telah ditahan Khamis lalu kira-kira jam 5.00 petang untuk disoal siasat oleh SPRM Selangor berhubung penggunaan dana wakil rakyat.

Mayatnya ditemui kira-kira jam 1.30 petang pada keesokan harinya di balkoni tingkat lima bangunan yang menempatkan pejabat SPRM di Shah Alam.

Terjemahan artikel Malaysiakini oleh Muhammad Nor Abd Samad