PUTRAJAYA 23 Ogos - Mahkamah Rayuan hari ini menggariskan beberapa
alasan berhubung keputusan pembebasan Cif Inspektor Azilah Hadri dan
Koperal Sirul Azhar Umar daripada sabitan dan hukuman gantung kerana
membunuh model sambilan, Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lalu.
Salah seorang ahli panel tiga hakim bersidang, Datuk Tengku Maimun
Tuan Mat menyatakan, kuorum itu sebulat suara berpuas hati bahawa
hakim bicara tersilap arah dalam pelbagai aspek ketika mencapai
keputusan untuk menjatuhkan hukuman mati terhadap kedua-duanya.
Ketika membacakan penghakiman ringkas, Hakim Tengku Maimun
menyatakan, hakim berkenaan antaranya gagal menimbang pembelaan alibi
iaitu berkaitan diari polis yang mencatatkan Azilah tiada di tempat
kejadian, sebaliknya berada di Bukit Aman.
Beliau turut berpendapat, isu bahan letupan C4 dan kawalan
terhadapnya yang dikaitkan dengan pembunuhan Altantuya turut tidak
diberi pertimbangan sewajarnya oleh hakim bicara.
Mahkamah turut menyatakan pendirian bahawa hakim bicara tersilap
arah ketika memutuskan isu berhubung maklumat yang diterima yang
membawa kepada pendedahan Azilah dan Sirul Azhar berhubung tempat
kejadian.
Keputusan hari ini bagaimanapun hanya menyentuh isu-isu utama yang
dibangkitkan ketika penghujahan yang didengar selama dua hari
berturut-turut iaitu pada 24 dan 25 Jun lalu.
Pada sesi penghujahan, peguam bela ada membangkitkan isu kemungkinan
hakim bicara telah mengakses bahan-bahan di internet dan
mempengaruhinya membuat keputusan tidak memihak terhadap perayu-perayu.
- UTUSAN ONLINE
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)

Tiada ulasan:
Catat Ulasan