Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

13.4.13

PKR kecam penyokong PAS Bera?

PKR Temerloh hari ini dalam satu kenyataan mengecam tindakan penyokong PAS Bera yang menggunakan media arus perdana bagi mendesak supaya kerusi Parlimen terbabit tidak diberikan kepada rakan komponen mereka dalam Pakatan Rakyat (PR).

Ketua cabang PKR Temerloh, Ahmad Nizam Hamid dalam satu kenyataan hari ini berkata PAS Bera sewajarnya menghormati setiakawan yang terjalin sesama parti dalam PR dan sepatutnya berbincang secara baik untuk menyelesaikan sebarang pertikaian.

“Berbeza dengan PAS Bera, PKR Temerloh membuat bantahan dengan cara yang tertib, mengikut saluran, disiplin, berhemah dan tidak bersifat konfrontasi,” kata Ahmad Nizam yang merujuk kepada bantahan ke atas Ketua Pemuda PAS Nasrudin Hassan yang diumum PAS sebagai calon kerusi parlimen Termerloh.

Ahmad Nizam juga mendakwa PAS Bera memutar-belit fakta mengatakan PKR telah berjanji untuk mengembalikan kerusi Parlimen Temerloh kepada PAS selepas Pilihan Raya 2008 seperti yang dilaporkan oleh TV3 dan juga akhbar pro-Umno, Utusan Malaysia.

“Tidak ada sebarang perjanjian di antara Keadilan Temerloh dan PAS pada tahun 2008 untuk mengembalikan Parlimen Temerloh kepada PAS.

“Dakwaan PAS Bera tersebut bukan sahaja tidak tepat, malah mungkin mereka terkhilaf menerima maklumat,” kata beliau lagi.

Malahan, Ahmad Nizam juga berkata keputusan melibatkan Parlimen Bera telah diputuskan rundingan dan perbincangan, bukannya secara memihak kepada satu pihak sahaja.

“Kami difahamkan keputusan berkaitan Parlimen Bera dibuat secara bersesama dan bukannya tanpa sebarang perundingan dan persetujuan dengan PAS.

“Ini berbeza dengan layanan terhadap kami di mana Presiden PAS sebagai sebahagian dari taktik bagi mendapatkan Parlimen Temerloh membuat pengumuman bersifat unilateral,” terangnya lagi.

Dalam Pilihan Raya 2008, calon Barisan Nasional (BN) Datuk Saifuddin Abdullah menewaskan Ahmad Nizam Bin Hamid dengan majoriti 2,441 undi.

“Di saat getir ini kewajarannya ialah seluruh kekuatan Pakatan Rakyat perlu difokuskan bagi menjamin kemenangan Pakatan Rakyat bukan sahaja di Parlimen Bera malah di seluruh negeri Pahang,” tegasnya lagi.

Pada Pilihan Raya 2008, PR berjaya memenangi empat kerusi daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan dua daripada 14 kerusi parlimen di Pahang. -TMI

Tiada ulasan: