Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

12.4.13

Konflik : Anwar batal umum calon PKR Sabah


Datuk Seri Anwar Ibrahim telah membatalkan pengumuman calon PKR Sabah, disebabkan oleh konflik yang gagal diselesaikan berkenaan dengan beberapa kerusi.

Ketua Umum PKR (gambar) itu juga mengatakan beliau telah memberi jaminan kepada ketua cabang PKR Tuaran Ansari Abdullah, calon yang dicadangkan oleh Ansari akan dipertimbangkan.

“Di Sabah, sebab mengapa saya tidak mengumumkan calon sekarang adalah kerana walaupun banyak kerusi telah diselesaikan, masih terdapat konflik di satu dua kerusi,” kata Anwar dalam sidang akhbar di Likas di sini hari ini.

“Saya tidak mahu merumitkan keadaan. Saya belum bersedia mengumumkan lagi,” tambah ketua pembangkang itu.

Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali sebelum ini menolak senarai calon Ansari Jumaat lepas mengatakannya sebagai “cadangan semata-mata”.

Ansari telah mengumumkan beliau akan bertanding di kerusi parlimen Tuaran, selain mengumumkan calon bagi enam kerusi parlimen lagi.

Penyandang kerusi parlimen Tuaran adalah Datuk Seri Wilfred Bumburing yang telah meninggalkan parti komponen BN UPKO dan menubuhkan partinya Angkatan Perubahan Sabah (APS) — bersekutu dengan Pakatan Rakyat (PR).

Walaupun Pilihan Raya 2013 semakin hampir pada 5 Mei, Anwar tidak memberikan tarikh untuk rundingan kerusi di antara parti PR seperti PKR, PAS, DAP dan sekutu mereka APS dan PPPS di negeri Borneo itu.

PPPS diketuai oleh bekas ahli parlimen Beaufort Datuk Seri Lajim Ukin yang meninggalkan Umno Julai lepas.

Anwar menegaskan adalah penting bagi pemimpin PR pusat dan negeri untuk bekerjasama sambil memberitahu populariti di kalangan penduduk tempatan bukan satu-satunya kriteria untuk pemilihan.

“Pada 2008, sesetengah ahli parlimen lemah dan perlu digugurkan. Kelayakan calon termasuk kelulusan dan sikap mereka,” katanya.

Ketua pembangkang itu juga menambah, kesetiaan kepada parti adalah salah satu kriteria untuk dipilih.

PKR telah dikritik kuat kerana mempunyai paling ramai ahli parlimen dan ADUN yang belot selepas Pilihan Raya 2008.

Anwar mengatakan hari ini PAS juga dipertimbangkan untuk pembahagian kerusi walaupun parti Islam itu tidak begitu menonjol di Sabah.

“Jika PAS tidak kuat di beberapa kawasan di Sabah, sama seperti beberapa parti di semenanjung. PAS berikan kerusi kepada PKR di Kelantan, jadi sama seperti itu, kita kena beri peluang kepada PAS,” katanya. -TMI

Tiada ulasan: