Translate

Bantu Ketik Blog ini

Sejak 10.10.10

RangBul@n

Semua catatan di situs ini dikutip dari pelbagai blog di dunia maya; tiada kena mengena dengan pemilik blog. Sebarang komen peribadi sila e-mel rangbulan@gmail.com

4.3.09

Perlu perkenan sultan

Oleh Mohd Feroz Abu Bakar
am@hmetro.com.my



KEPUTUSAN...Fairoz Hussein membacakan keputusan dibuat Pesuruhjaya
Kehakiman.


IPOH: “Sila lihat Undang-undang Tubuh Negeri Perak dengan teliti. Satu-satunya individu yang boleh memanggil Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) ialah Sultan Perak. Sangat jelas bahawa tiada peruntukan beliau (Speaker V Sivakumar) memanggil sidang. Perkara 36 (1) Undang-undang Tubuh Negeri Perak menyatakan hanya Sultan Perak boleh memangil sidang DUN.

“Keputusan Pesuruhjaya Kehakiman Ridwan Ibrahim mengembalikan kerajaan berasaskan perlembagaan dan ketenangan di Perak kini dalam keadaan bercelaru,” kata Ketua Panel Peguam Barisan Nasional (BN), Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Beliau berkata demikian ketika mengulas keputusan Ridwan mengenai permohonan injuksi Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) bagi menghentikan apa-apa sidang DUN yang tidak berlandaskan Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Ridwan petang semalam mengeluarkan perintah menghalang Sivakumar daripada mengadakan sebarang sidang DUN termasuk sidang tergempar tanpa perkenan Sultan Perak, Sultan Azlan Shah.

Firoz Hussein berkata, keputusan Ridwan itu dibuat mengikut Seksyen 44 Akta Relif Spesifik dan keputusan berkenaan satu perintah, bukannya injuksi.


Sementara itu, seorang lagi peguam BN, Datuk Hafarizam Harun berkata, Ridwan membuat keputusan itu dibuat tanpa memberi tempoh masa, bermakna sidang tergempar DUN dibuat di luar Bangunan Perak Darul Ridzuan pagi semalam, tidak sah.

Permohonan injuksi dibuat pagi semalam, sebagai permohonan sampingan selepas Dr Zambry dan enam Adun berkenaan memfail saman pemula petang kelmarin, meminta mahkamah mengisytiharkan keputusan Sivakumar menggantung mereka daripada menghadiri sidang DUN sebagai tidak sah.

Mahkamah belum memutuskan tarikh mendengar bagi saman pemula deklarasi berkenaan.

Terdahulu, Ridwan memutuskan panel lima peguam swasta tiada locus standi mewakili Sivakumar kerana speaker sebahagian daripada kerajaan dan Sivakumar penjawat awam.

Ketua Peguam berkenaan, Tommy Tomas berkata, Ridwan memutuskan hanya Peguam Negara atau peguam yang dilantik Peguam Negara boleh mewakili speaker.

Penolong Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Perak, Zulqarnain Hassan dibenarkan mewakili Sivakumar.

Namun, Sivakumar mengeluarkan kenyataan 2.40 petang semalam mengatakan beliau tidak pernah melantik Penasihat Undang-Undang Kerajaan Perak mewakilinya dalam perbicaraan injuksi berkenaan.

Katanya, beliau terkejut dengan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan Zulqarnain mewakilinya kerana Penasihat Undang-Undang Kerajaan Negeri Perak tidak pernah memaklumkan melantik peguam mewakili beliau.

Peguam Sivakumar, M Kulasegaran menghantar surat bantahan kepada Ridwan bahawa speaker tidak memberi sebarang arahan kepada Penasihat Undang-Undang Kerajaan Perak pelantkan peguam mewakilinya dalam perbicaraan semalam.

Esok Mahkamah Tinggi Ipoh dijadual mendengar permohonan tiga Adun yang keluar parti masing-masing awal bulan lalu bahawa status mereka sebagai Adun masih sah.

Sivakumar sebelum ini mengisytiharkan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi, Adun Changkat Jering, Kapten (B) Osman Jailu dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong sudah meletak jawatan.

Kronologi DUN

8.15 pagi - Dua pintu utama Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di Jalan Panglima Bukit Gantang (hadapan) dan Jalan Istana (belakang) ditutup dan hanya kakitangan SUK dibenarkan masuk. Beberapa trak dan lori FRU berkawal di situ.

8.30 pagi - Seramai 100 anggota polis dan 40 Unit Simpanan Persekutuan (FRU) lengkap bersenjatakan rifle serta pelancar gas pemedih mata mula berkawal. Mereka turut mengadakan beberapa sekatan jalan raya menghalang kenderaan keluar masuk di sekitar bangunan itu.

9.00 pagi - Kira-kira 200 penyokong Pakatan Rakyat (PR) dan pengamal media cetak dan elektronik mula memenuhi persekitaran bangunan.

9.30 pagi - Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin tiba bersama 28 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) daripada PR menuju ke bangunan itu namun dihalang 30 orang dipercayai penyokong Barisan Nasional (BN).

9.35 pagi - Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias meminta semua Adun supaya beredar apabila mereka cuba masuk ke dalam bangunan dan mengatakan hanya Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar dibenarkan memasuki bangunan berkenaan

9.40 pagi - FRU terpaksa menghalang kemaraan mereka dan Azisman mengarahkan supaya anggota FRU bersedia menembak meriam air ke arah kumpulan itu namun, dihentikan kerana mereka beredar secara aman.

9.45 pagi - Bekas Exco kanan negeri, Datuk Ngeh Koo Ham cuba mengadakan perbincangan dengan Azisman bagi memperoleh kebenaran namun, Azisman berkata beliau mendapat arahan daripada Setiusaha Kerajaan Negeri, Datuk Abdul Rahman Hashim cuma Sivakumar dibenarkan masuk ke bahagian dalam bangunan.

10.00 pagi - Nizar dan Adun PR mula meninggalkan pintu masuk utama bahagian belakang bangunan itu dan menuju ke arah sebatang pokok yang menjadi tempat letak kereta kira-kira 50 meter dari bangunan berkenaan untuk menjalankan Sidang Tergempar DUN. Turut kelihatan Sivakumar.

10.15 pagi - Sidang Tergempar DUN dipengerusikan Sivakumar bermula dengan tiga usul dibentangkan serta diluluskan sebulat suara semua 27 Adun PR termasuk Nizar dengan berpakaian rasmi.

10.35 pagi - Persidangan DUN ditangguhkan ke satu tarikh belum ditetapkan dan Nizar serta 27 Adun terbabit menuju ke pejabat DAP Perak mengadakan sidang media.

11.00 pagi - Selepas sidang media berakhir, beberapa pemimpin PR berucap di hadapan kira-kira 300 penyokong mereka di hadapan ibu pejabat DAP.

11.20 pagi - Penasihat DAP, Lim Kit Siang tiba di pejabat DAP sambil mendapat tepukan gemuruh dari penyokong PR dan meninggalkan bangunan itu 20 minit kemudian.

11.35 pagi - Nizar dan Sivakumar meninggalkan perkarangan pejabat DAP menaiki Toyota Camry bernombor pendaftaran AGS 10.

12.00 tengah hari - Semua Adun PR, penyokong dan orang awam bersurai.

DI MAHKAMAH TINGGI, IPOH.

9.30 pagi - Panel tujuh peguam BN diketuai Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin memasuki mahkamah.

9.45 pagi - Peguam BN Datuk Hafarizam Harun dan Ketua Peguam Sivakumar, Tommy Tomas memasuki kamar Pesuruhjaya Kehakiman, Ridwan Ibrahim

10.20 pagi - Tomas mengadakan sidang akhbar bahawa Ridwan memutuskan peguam swasta tidak boleh mewakili Speaker kerana Sivakumar adalah penjawat awam.

2.00 petang - Panel tujuh peguam BN diketuai Firoz Hussein memasuki mahkamah.

2.30 petang - Peguam Sivakumar, Penolong Penasihat Undang-undang Kerajaan Negeri Perak, Zulqarnain Hassan memasuki mahkamah.

2.40 petang - Peguam Sivakumar, M Kulasegaran menyerahkan surat kepada Ridwan membantah tindakan Zulqarnain mewakili Speaker.

2.55 petang - Peguam kedua-dua pihak memasuki kamar Ridwan.

4.45 petang - Peguam kedua-dua pihak keluar dan Firoz Hussein mengadakan sidang akhbar mengatakan Ridwan memutuskan Sivakumar dihalang daripada mengadakan sebarang Sidang DUN tanpa perkenan Sultan Perak.

Harian Metro

Bincang dengan Speaker

IPOH: Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin akan berbincang dengan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), V Sivakumar dan membuat beberapa dokumentasi terlebih dulu sebelum menghadap Sultan Perak, Sultan Azlan Shah, dalam tempoh terdekat, bagi mendapat perkenan membubarkan DUN.

Beliau juga menyifatkan persidangan itu sebagai amat bermakna dan bersejarah kepada rakyat Perak kerana orang ramai boleh melihat sendiri bagaimana Pakatan Rakyat menjalankan ‘sidang DUN’ dengan teratur.

“Kami baru selesai mengadakan mesyuarat keempat penggal pertama DUN pada jam 10.15 pagi tadi dalam suasana terbuka dan amat mesra rakyat.

“Ia terpaksa dibuat di bawah pokok kerana kami memang mendapat notis daripada Speaker (menghadiri sidang tergempar DUN) tetapi bila sampai bangunan Perak Darul Ridzuan pada jam 9.20 pagi, kami dihalang sekumpulan orang tidak dikenali.


“Kami cukup bersedih kerana pasukan keselamatan langsung tidak memberi kerjasama... kami menyatakan bantahan,” katanya pada sidang media di pejabat DAP Perak di sini, semalam sejurus selepas mengadakan sidang DUN di bawah sebatang pokok di tempat letak kenderaan di depan bangunan Perak Darul Ridzuan.


Ditanya mengenai dakwaan Adun Barisan Nasional (BN) yang mereka tidak menerima notis berkenaan, Mohammad Nizar berkata, ia mungkin disebabkan masalah teknikal.

Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham, pula berkata pihaknya akan membuat laporan polis terhadap pasukan polis mengikut Seksyen 124 Kanun Keseksaan kerana didakwa menghalang wakil rakyat daripada menjalankan tugas, yang boleh dikenakan penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

“Tuanku Sultan menitahkan semua sidang DUN mesti dibuat di dalam Bangunan Perak Darul Ridzuan tetapi polis menghalang. Kita juga akan bertindak terhadap Menteri Dalam Negeri; Setiausaha Kerajaan Negeri serta mana-mana kakitangan kerajaan yang bersubahat terhadap perkara ini,” katanya.

Beliau juga menyifatkan Perak kini menjadi ‘negeri polis’ kerana pasukan polis lebih berkuasa daripada wakil rakyat serta negeri yang tiada undang-undang kerana polis menerima arahan daripada Setiausaha Kerajaan Negeri dan bukannya wakil rakyat.

“Saya amat sedih dengan apa yang berlaku tadi... ini adalah satu kematian kepada demokrasi kecuali rakyat bangkit di bawah Pakatan Rakyat.

“Oleh itu, saya meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Zambry (Menteri Besar baru, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir) setuju dengan keputusan membubarkan DUN bagi menyelesaikan krisis politik di negeri ini,” katanya.

Sidang bawah pokok mempelam

Oleh Raja Norain Hidayah Raja Abdul Aziz
am@hmetro.com.my


SEJARAH...orang ramai menyaksikan Adun Pakatan Rakyat
mengadakan sidang DUN di bawah pokok mempelam.


IPOH: Belum pernah tercatat dalam sejarah negara sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) terpaksa diadakan dalam keadaan anggotanya berdiri bawah sebatang pokok mempelam sambil disaksikan orang ramai mengerumuni kawasan itu.

Namun, itulah hakikatnya apabila buat pertama kali 27 Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakatan Rakyat (PR) berdiri bawah pokok berkenaan di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Peristiwa bersejarah itu terlakar berikutan PR tetap berkeras melakukan sidang tergempar itu selepas usaha memasuki bangunan SUK menempatkan DUN gagal.

Semua Adun PR diketuai bekas Menteri Besar, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, tiba kira-kira jam 9.35 pagi.


Polis dan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) bagaimanapun menghalang mereka masuk ke bangunan berkenaan.


Bekas Exco kanan kerajaan PR, Datuk Ngeh Ko Ham cuba berunding dengan Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias bagi mendapat kebenaran masuk tetapi gagal.

Mereka diiringi lebih 200 penyokong PR yang berkumpul sejak awal pagi kemudian berjalan menuju ke pokok mempelam kira-kira 50 meter dari pintu masuk utama Bangunan SUK.

Di bawah pokok itu, tiga usul diluluskan apabila semua 27 Adun menyatakan persetujuan mereka.

Sidang yang dipengerusikan Speaker DUN, V Sivakumar itu berlangsung 20 minit bermula jam 10.20 pagi.

Usul pertama yang dibentangkan Adun Titi Serong, Khalil Idham Lim, menyatakan sokongan kepada Nizar sebagai Menteri Besar manakala Adun Teja, Chang Lih Kang mengusulkan supaya dewan dibubarkan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan.

Usul terakhir dikemukakan Adun Pantai Remis, Datuk Ngeh Koo Ham yang mengesahkan keputusan Speaker melarang Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir serta enam anggota Exconya daripada menghadiri persidangan dewan.

Persidangan berlangsung dengan bantuan Setiausaha Dewan baru dilantik kelmarin, Mohd Misbahul Munir Masduki dengan penggunaan alat pembesar suara.

Sidang berkenaan turut disaksikan hampir 300 penyokong PR, penyokong Barisan Nasional, petugas media selain orang ramai.

Ia ditangguhkan kepada satu tarikh akan ditetapkan tepat jam 10.40 pagi.

Harian Metro

'Menteri Pasola' Huru Hara kan Perak



Dilulus terbit pada Wednesday, March 04 @ 20:19:33 MYT oleh TokPenghulu


Oleh fezuljengka

"Pada tahun 1972 Allahyarham P.Ramlee barangkali telah meramalkan apa yang bakal terjadi di Perak pada tahun ini. Peristiwa Sidang DUN bawah pokok pagi semalam telahpun dikisahkan oleh P.Ramlee dalam filem Laksamana Do Re Mi.

Pemerintah sah kerajaan negeri Pasir Dua Butir bersama beberapa menteri yang masih setia terus mendirikan kerajaannya di bawah pokok selepas negeri tersebut di landa huru hara angkara Menteri Pasola yang membuat khianat.


Menteri Pasola ialah bekas Menteri Pertahanan yang ingin memperisterikan puteri Tuanku pemerintah negeri Pasir Dua Butir,tetapi lantaran tidak diperkenankan ,Pasola bertindak merampas kuasa dan melarikan puteri Tuanku.

Menteri yang huru harakan Perak sekarang pun bekas Menteri Pertahanan juga!

Dengan bantuan 3 pendekar ,Laksamana Do Re Mi yang diutuskan Raja Damsyik Jani dari negeri Pasir Berdengung telah dapat membantu mengembalikan pemerintahan yang sah kepada kerajaan negeri Pasir Dua Butir.

"Dinding dinding istana pun habis dikopak sampai bumbung pun tak de lagi ,ada ka patut?",cerita seorang Menteri yang terselamat."Tak patut,tak patut",jawab ketiga tiga Laksamana Do Re Mi."Sungguh kejam Menteri Pasola ,akai pun tak dak!",tambah menteri tersebut

Angkara Menteri Pasola lah,DUN Perak dikunci dikawal polis,nak bersidang pun tak boleh,bersidanglah dibawah pokok .Ada ka patut?Tak patut ,tak patut!

"Kenapa Tuanku tak lari bersembunyi?",tanya salah seorang Laksamana."Dato Laksamana Kalau Tuanku lari beerti negeri ini tak bekerajaan lagi,kami dato dato yang tertunggul di sini menjadi batu asas menandakan kerajaan Dua Butir ini dok ada lagi,kalau tidak kamipun dah lama blah!".

Tahniah kepada Menteri Besar Perak YAB Hj Nizar serta seluruh Exco dan YB Pakatan Rakyat yang terus bertahan walaupun di bawah pokok.Maka tahu lah rakyat Perak mereka masih ada kerajaan negeri lagi.

Bersabarlah,terus pertahan kerajaan yang sah,sampai masanya Menteri Pasola yang ada kekebalan itu akan mati juga .Carilah buluh runcing dan cucuk pada kakinya.Akan tamatlah riwayat Menteri Pasola itu.

Tiga orang,Laksamana Do Re Mi juga bakal turun ke Perak untuk membantu.Siapakah mereka?Adakah akan ada wakil rakyat Umno yang akan terbang ke Pakatan Rakyat.Tungguu..

Dari blog
http://tukulbesi.blogspot.com/
"

Permit demo anti-PPSMI dimohon

Jimadie Shah Othman | Mar 4, 09 4:47pm
kemaskini 6.56pm

Permit polis untuk perhimpunan membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik (PPSMI) di Istana Negara pada Sabtu ini telah dimohon petang ini, kata Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP).

Timbalan setiausaha GMP Suhaizan Kaiat berkata, permohonan itu dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi dan Brickfields.

Tambahnya, permohonan dibuat di balai-balai tersebut kerana perhimpunan mereka melibatkan Masjid Negara, Pasar Seni dan pusat membeli-belah Sogo bawah pengawasan kedua-dua IPD berkenaan.

Beliau diminta mengulas kenyataan Ketua Polis Kuala Lumpur hari ini yang dilaporkan memberi amaran kepada orang ramai supaya tidak menyertai perhimpunan itu.

Datuk Mohammad Sabtu Osman berkata polis mengkelaskan program itu sebagai haram kerana penganjur tidak memohon permit untuk tujuan itu, lapor Bernama.

Tambahnya, polis tidak berkompromi dengan penganjurnya dan mereka yang melibatkan diri dalam perhimpunan itu kerana ia boleh menggugat ketenteraman awam.

Tindakan akan diambil mengikut Seksyen 27 Akta Polis terhadap orang ramai termasuk penganjur yang mengingkari arahan.

Dihubungi Malaysiakini, Suhaizan yang juga exco penerangan Dewan Pemuda PAS berkata, walaupun permohonan dibuat hari ini, tetapi usaha untuk mendapatkan permit telah dibuat sejak Ahad lagi.

Tambahnya, seorang wakil GMP pada mulanya hadir ke Bukit Aman bagi tujuan itu tetapi disarankan berbuat demikian di IPD Dang Wangi dan kemudian diminta ke IPD Brickfields.

Wakilnya itu menyerahkan sepucuk surat rasmi yang bertandatangan timbalan pengerusi GMP Dr Shahrir Mohd Zain memaklumkan butiran perhimpunan 7 Mac ini.

Istana setuju terima memo anti-PPSMI

Jimadie Shah Othman | Mar 4, 09 3:48pm

kemaskini 4.51pm

Istana Negara memberikan reaksi positif bagi menerima memorandum membantah pelaksanaan dasar Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI), Sabtu ini.

Persetujuan istana itu dianggap "kemenangan pertama" aktivis bahasa dan sastera dalam Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) yang menganjurkan perhimpunan besar ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Pengerusi GMP Datuk Dr Hassan Ahmad berkata istana tidak melarang majlis penyerahan memorandum tersebut.

Beliau dimaklumkan Tuanku Mizan Zainal Abidin tidak berada di istana pada masa yang dijadualkan dan memorandum tersebut akan diserahkan kepada seorang pegawai bagi pihak baginda.

Dr Hassan menambah, satu salinan memorandum tersebut telah disampaikan kepada istana melalui setiausaha sulit kanan Yang di-Pertuan Agong semalam.

Memorandum lapan halaman itu diserahkan awal, tambahnya, sebagai makluman kehadiran mereka di istana, petang 7 Mac ini.

GMP merancang berhimpun di tiga tempat di ibu negara – kompleks membeli-belah Sogo, Pasar Seni dan Masjid Negara – sebelum berarak beramai-ramai ke Istana Negara pada jam 2 petang.

Mereka merancang berarak dalam pakaian putih sebagai lambang pembersihan PPSMI, tanpa sebarang logo, bendera dan simbol parti-parti politik walaupun GMP turut disertai PAS dan PKR.

Selain Dr Hassan, Sasterawan Negara A Samad Said dan pemimpin pembangkang termasuk penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dijadual hadir.

Menjelang perhimpunan besar itu, GMP akan menghabiskan empat programnya di seluruh negara sebelum ceramah akhir di Markaz Tarbiah PAS di Taman Melewar, Gombak pada Jumaat ini.

Malam ini, satu forum isu PPSMI akan berlangsung di Universiti Islam Antarabangsa (UIA).

Selain Dr Hassan, ketua Pemuda PAS Salahuddin Ayub dan ahli parlimen BN Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman turut membahaskan isu ini.

Ditanya tindakan lanjut GMP jika kerajaan tetap enggan melayan tuntutan mereka, Dr Hassan berkata gabungan itu akan terus memperjuangkan pemansuhan dasar kontroversi itu sehingga berjaya.

"Tidak ada tempoh tamat. Kita akan terus berjuang sehingga kembali kepada dasar asal (sebelum diperkenalkan PPSMI pada 2003)," katanya.

Sementara itu, Setiausaha GMP Hasni Abas berkata 1,000 anggota Unit Amal PAS dikerahkan bagi mengawal keadaan dan lalulintas supaya perhimpunan itu terkawal dan aman.

Pada mulanya, kata Hasni, GMP telah menghantar permohonan untuk mendapatkan permit berhimpun ke ibu pejabat polis persekutuan di Bukit Aman, Sabtu lalu.

Bagaimanapun, katanya, mereka dinasihatkan supaya mengemukakan permohonan itu kepada di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.

Pada 17 Februari lalu, seramai 20 aktivis bahasa dan sastera GMP berarak ke Parlimen dari Tugu Negara bagi menyerahkan memorandum membantah PPSMI kepada ahli-ahli parlimen, termasuk Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Manakala pada 31 Januari pula, tokoh-tokoh utama GMP buat pertama kali turun ke jalanraya sempena pelancaran kempennya di pusat membeli-belah Sogo.

Mereka juga menabur 50,000 risalah mengenai kempen menentang dasar itu ketika pilihanraya kecil parlimen Kuala Terengganu, 17 Januari lepas.

TIMAH BUKAN PERAK

By Dr. Mahathir Mohamad

on February 22, 2009 7:42 PM | Permalink | Comments (519) | TrackBacks (0)
1. Kita sedang melihat banyak peristiwa yang pelik berlaku di Perak yang dahulu terkenal dengan timahnya. Tetapi tidak ada yang lebih lucu daripada nasihat Perdana Menteri kepada Dato' Dr Zambry Abdul Kadir, Menteri Besar Barisan Nasional supaya beliau membuat laporan polis berkenaan dengan penggantungannya oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak.

2. Jika keputusan yang dibuat oleh Speaker boleh dianggap sebagai satu jenayah, apa akan jadi jika Speaker Dewan Rakyat menggantung ahli pembangkang kerana apa-apa sebab? Dan ini kerap berlaku. Apakah ahli pembangkang akan lapor kepada polis? Jika boleh maka bolehlah kita anggap bahawa polis berkuasa keatas Speaker Dewan.

3. Memang ada jenayah yang boleh dilakukan oleh Tuan Speaker tetapi menggantung seseorang ahli Dewan bukanlah diantara jenayah yang boleh diambil tindakan oleh Polis.

4. Sekarang dilaporkan yang Dr Zambry akan hadir sidang Dewan Undangan Negeri Perak. Mengikut aturan peraturan Dewan, Speaker boleh arah pegawai Dewan untuk keluarkan Yang Amat Berhormat Dr Zambry dari Dewan. Dapatkah pegawai berkenaan yang bukan terdiri daripada parti Pakatan Rakyat berbuat demikian?

5. Dimana pula tempat duduk YAB Zambry? Apakata kalau YB Dato Seri Mohamed Nizar Jamaluddin duduk di tempat Menteri Besar? Apakah pegawai Dewan akan disuruh oleh Speaker untuk paksa Nizar kosongkan kerusinya? Apakah YAB Zambry akan berada di Dewan atau di luar Dewan setelah Speaker mengarah pegawai sekat YAB Zambry daripada berada dalam Dewan.

6. Bersama-samalah kita rakyat lihat akan peristiwa yang akan berlaku.

3.3.09

Persidangan Tergempar Dewan Perak Tidak Berperlembagaan

03 Mac, 2009 23:14 PM

KUALA LUMPUR, 3 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Undangan Negeri tergempar hari ini tidak mengikut perlembagaan, menurut pakar undang-undang perlembagaan Prof Madya Dr Shamrahayu Abdul Aziz daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Beliau berkata tiga usul yang diluluskan adalah tidak berperlembagaan.

Ini kerana persidangan itu diadakan 100 meter dari Bangunan Dewan Undangan Negeri, bertentangan dengan Aturan Mesyuarat, yang menyatakan bahawa masa dan tempat persidangan itu mestilah yang diwartakan, katanya.

Beliau merujuk Aturan Mesyuarat 10(1) yang menyatakan terma Dewan Undangan Negeri ialah pada masa dan tempat yang ditentukan oleh Sultan Perak dari masa ke semasa melalui pengisytiharan yang diwartakan.

Sementara itu, penganalisis politik Prof Madya Dr Mohammad Agus Yusoff mempunyai pandangan yang berbeza mengenai perkara ini.

"Jika di atas pokok pun ia sah", itu pandangannya ketika ditanya mengenai kesahihan "persidangan tergempar" itu yang diadakan di bawah pokok di luar bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan Dewan Undangan Negeri Perak, di Ipoh pagi ini.

Persidangan itu, yang dipanggil oleh Speaker DUN Perak V. Sivakumar, berlangsung selama kira-kira 30 minit bermula 10.20 pagi, dihadiri semua 27 ADUN PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mohammad Agus, seorang pensyarah Pusat Pengajian Sejarah, Politik dan Strategi Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) berpandangan bahawa tiga usul yang diluluskan itu juga sah dan tidak boleh dicabar di dalam mahkamah.

Usul-usul itu ialah menyatakan sokongan kepada Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar; membubarkan Dewan bagi membolehkan pilihan raya negeri diadakan; dan mengesahkan keputusan Speaker Sivakumar melarang Menteri Besar Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri daripada menghadiri persidangan dewan.

"Sebelum ini Dewan Undangan Negeri Perak hanya ditangguhkan dan tidak dihentikan. Jika ditangguhkan, maka Speaker mempunyai kuasa untuk mengadakan persidangan tergempar itu tanpa mendapat perkenan Sultan," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan berkata perkara yang berlaku di Perak di luar dugaan dan membabitkan isu perundangan yang kompleks.

Sungguhpun ia tidak munasabah untuk satu pandangan konklusif mereka, sesetengah perkara itu hendaklah ditangani sebagai satu perkara prinsip, katanya dalam kenyataan.

Beliau menanyakan sama ada dibenarkan untuk mengadakan persidangan Dewan Undangan di luar Bangunan Sekretariat Negeri.

"Tentulah, Bangunan Sekretariat Negeri di mana Dewan Undangan Negeri patut diadakan.

"Bagaimanapun, Speaker dan Adun Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilarang daripada mengadakannya di satu tempat yang sesuai oleh polis dan ini membangkitkan isu serius mengenai kesahihan tindakan polis.

"Dengan itu Speaker tersebut tidak ada pilihan tetapi untuk bertindak dalam apa yang dilihat sebagai kuasa yang luas untuk mengadakan persidangan ini di tempat lain," kata beliau.

Beliau berkata ada pandangan berbeza, tetapi keadaan itu di luar dugaan dan Aturan Mesyuarat mungkin tidak meliputi sepenuhnya seperti keadaan yang tidak diingini, menyerahkan kepada Speaker dengan kuasa untuk bertindak mengikut keadaan kes itu.

Sreenevasan berkata keadaan itu tidak boleh dipertahankan daripada kritikan dan hanya mendesak untuk satu perkara iaitu pilihan raya negeri.

"Kini ada harapan untuk ini berlaku. Biarlah rakyat menentukan," tambah beliau.

-- BERNAMA